Tag Archive | Ajaran Arianisme

Siri Islam Sebelum ISLAM: Ajaran Arianisme(Siri 2)

Oleh: takusahrisau

 

Bagi siri ke-2, penulis akan menceritakan bagaimana sejarah pengembangan agama yang berteraskan tauhid sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, pada siri ke-2, fokus penulis adalah agama Nasrani fahaman Arianisme.

 

Mukadimmah

Daripada Adam as sehingga Nabi Nuh as, umat manusia masih lagi berpegang kepada agama yang menyembah tuhan yang Esa. Tempoh masa daripada Adam as sehingga Nuh as adalah beribu-ribu tahun lamanya – Cukup panjang untuk mereka mempunyai iman yang tetap kepada Allah swt yang Esa.

Namun, selepas kematian empat orang soleh iaitu Wadd, Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr, mereka telah mengambil inisiatif untuk mengingati mereka dengan membuat patung yang persis wajah keempat-empat mereka. Menurut riwayat, Wadd, Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr hidup sezaman dengan Nuh as

Walaubagaimanapun, kaum Nuh as pada mulanya tidak menyembahnya tetapi hanya sekadar menjadi pemangkin kepada amal soleh mereka. Namun, hari berganti hari, syaitan akhirnya berjaya menusuk kalbu dengan mencucuk jarum kejahilan dalam diri mereka. Mereka mula lupa pada Allah yang Esa dan akhirnya terus menerus menyembah berhala sehingga lupa bahawa Allah swt adalah tuhan yang satu-satunya wajib disembah. Pada saat itulah, Nuh as diutuskan oleh Allah swt untuk membawa mereka ke landasan yang betul. Menurut Ibnu Abbas ra, ia adalah asal sejarah penyembahan patung atau paganisme dalam sejarah kehidupan manusia.

Berkenaan berhala-berhala tersebut, Allah swt telah berfirman di dalam surah Nuh ayat 23 yang bermaksud,

“Dan mereka berkata jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan kamu dan jangan pula kamu tinggalkan Wadd, dan jangan pula Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr.”

Dalam ayat ini, Allah swt telah memberi gambaran kepada Rasulullah saw tentang keadaan yang berlaku ketika Nabi Nuh as menjalankan misi dakwahnya.

 

Kristian aliran Triniti yang sesat lagi menyesatkan!

Zaman bertukar zaman, Rasul bertukar Rasul, penyembahan berhala terus membiak miskipun banyak kali teladan dan peringatan telah Allah swt berikan kepada mereka dalam bentuk pembinasaan kaum seperti yang berlaku kepada Kaum Lut as, bencana alam yang memudaratkan seperti yang berlaku kepada Kaum Hud as dan Kaum Nuh as dan ketidak-berkatan yang Allah swt timpakan 10 kabilah Bani Israel yang akhirnya berkelana di bumi Allah swt tanpa arah tujuan. Menurut tradisi Bani Israel, 10 kabilah Bani Israel tersebut dipercayai telah ‘pupus’.

Kristian Triniti dipercayai terpengaruh secara total dengan paganisme.

 

 

 

 

Dalam meniti hari, agama-agama samawi tidak terkecuali daripada terus mendapat impak daripada sejarah kaum mereka yang menyembah berhala. Agama Kristian adalah contoh yang paling kuat mengambil elemen-elemen paganisme untuk dimasukkan dalam doktrin-doktrin agama mereka.

Sebenarnya, permulaan paganisme dalam agama Kristian bermula dengan penyebaran doktrin triniti dalam agama Krisitian. Ajaran Triniti antara lain mempercayai bahawa Nabi Isa  adalah anak Tuhan, Nabi Isa adalah Roh Suci dan Nabi Isa adalah Tuhan. Ajaran sedemikian meniru bulat-bulat ajaran paganisme Yunani yang kuat kepercayaan mereka terhadap dewa-dewi.

Ajaran Triniti diasaskan oleh seorang mubaligh awal Kristian iaitu Saul of Tarsus (kekadang disebut Paul of Tarsus). Beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyebarkan ajaran tersebut. Saul of Tarsus dipercayai ramai cendiakiawan Islam dan anti-triniti sebagai seorang yang sesat kerana menyebarkan ajaran yang menyerupai ajaran paganisme berbanding ajaran agama tauhid yang diperturunkan Allah swt kepada setiap Rasul-NYA.

Firman Allah swt dalam surah al-Mai’dah ayat 72-73,

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. 

 

Melalui ayat ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Saul of Tarsus sememangnya telah sesat dan sangat menyesatkan. Miskipun, doktrin-doktrin yang dibawa Saul of Tarsus mampu menarik minat ramai masyarakat Rom, namun ia gagal menambat hati masyarakat sekitar tanah Arab terutama di kawasan yang kuat pegangan ajaran Hanif (ajaran Tauhid yang dibawa Nabi Ibrahim as).

Saul of Tarsus turut tidak bersependapat dalam banyak perkara asas dengan mubaliqh-mubaliqh lain yang berjuang bersama-sama dengannya. Antaranya adalah dalam hukum berkhatan bagi orang Kristian.

Saul of Tarsus sememang seorang yang sangat sesat.!

(pembaca boleh membaca artikel mengenai Saul of Tarsus dalam artikel penulis di SINI)

 

Munculnya Arius yang tampil berani menentang ajaran Triniti

Arius adalah seorang pendakwah tauhid yang lahir pada 256M iaitu 315 tahun sebelum lahirnya rasul junjungan kita, Muhammad SAW. Sepertimana yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, Arius membawa ajaran yang sangat berlawanan dengan ajaran Triniti iaitu menyatakan Nabi Isa as adalah makhluk dan Rasul Allah.

Arius

 

Arius memiliki jalan dakwah yang berliku dek kerana kelancangan beliau menyoal pendirian ajaran triniti yang ternyata sudah terpesong jauh daripada ajaran sebenar Nabi Isa as.

 

Berguru dengan Lucian of Antioch

Arius yang diyakini lahir di Libya dan berketurunan Berber itu telah berguru dengan seorang paderi Nasrani terkemuka, Lucian of Antioch. Lucian of Antioch adalah individu yang paling berpengaruh dalam diri Arius kerana daripada Lucian inilah, Arius mendapat didikan tauhid yang sebenar dalam mengesakan Allah swt. Menurut ajaran Lucian, Nabi Isa as hanya seorang Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada manusia bagi memandu mereka ke jalan tauhid yang sebenar. Fahaman inilah yang membawa kepada konsep unitriniti kemudian hari.

 

Berdakwah kepada Gereja Ortodoks

Arius ternyata individu yang paling berani pada abad beliau dilahirkan. Pada 319, beliau telah menulis surat kepada gereja Ortodoks dengan niat untuk memperbetulkan kesyirikan mereka kepada Allah swt. Banyak juga paderi-paderi dan bishop-bishop telah memeluk ajaran tauhid Arius. Ini menimbulkan rasa tidak senang paderi-paderi fahaman Triniti. .

Pada 325M, Arius mendapat tentangan yang sengit apabila diajak berdebat di Persidangan Nicaea. Arius tidak sedikitpun gentar dengan pelawaan itu miskipun mengetahui bahawa di dalam persidangan itu dihadiri 22 orang Bishop yang hampir kesemuanya adalah berfahaman Triniti. Beliau hanya mendapat sokongan rakan rapatnya, Eusebius of Nicomedia dan beberapa rakan lain.

 

Memulakan perdebatan dengan ayat John 14:28

Miskipun ketika itu umur Arius dalam lingkungan 69 tahun, ia tidak menghalangnya daripada memberi tentangan yang terbaik kepada setiap paderi yang berdebat dengannya. Arius dianugerahi Allah SWT dengan kepetahan berbicara dan ketinggian ilmu agama. Ini diperakui oleh Epiphanius of Salamis.

Tinggi dan kurus, perwatakan seorang tokoh dan tutur kata yang bersopan. Kaum wanita sangat suka padanya dek kerana tarikan ketampanan dan tersentuh dengan kezuhudan dirinya. Kaum lelaki pula kagum dengan aura ketinggian ilmu pengetahuanya.”

Dalam satu rekod sejarah Persidangan Nicaea 325M, Arius telah memulakan perdebatan dengan membacakan ayat dalam kitab Injil kepada hadirin yang bermaksud,

“You heard me say, ‘I am going away and I am coming back to you.’ If you loved me, you would be glad that I am going to the Father, for the Father is greater than I”

John 14:28 

“Kamu dengar aku berkata, “Aku pergi tetapi aku akan kembali lagi pada kamu. Jika kamu sayang aku, kamu akan gembira bahawa aku pergi kepada Tuhan, (yang mana) Tuhan adalah jauh lebih AGUNG daripadaku”

John 14:28 

Ayat Injil itu dipercayai intipati sebenar ajaran tauhid Arius. Namun, dipercayai bahawa injil yang digunakan Arius adalah jauh berlainan dengan Injil yang terdapat pada hari ini. Injil yang terdapat pada hari ini adalah Injil yang telah disusun selepas Persidangan Nicaea 325M. Dalam Injil tersebut, segala ayat-ayat yang bertentangan dengan ajaran Triniti telah dibuang dan diganti dengan ayat yang lebih sesuai dengan doktrin mereka. Dotrin mereka telah diistiyharkan secara rasmi sebagai Nicean Creed.

Daripada detik itulah Injil mula terpesong secara rasmi sehingga hari ini.

 

Perdebatan dengan Nicholas of Myra

Di persidangan of Nicaea pada 325M, perdebatan paling diingati adalah perdebatan antara Arius dan Nicholas of Myra yang ketika itu berusia 55 tahun. Perdebatan ternyata sampai ke tahap paling sensitif dalam ajaran Nasrani.

Miskipun Arius telah diasak dengan soalan bertubi-tubi oleh paderi-paderi Triniti sebelumnya, namun Arius kelihatan tenang menjawab setiap persoalan mereka. Kini giliran Nicholas of Myra pula tampil berdebat dengan Arius. Ternyata, Nicholas bukanlah pasangan debat Arius. Oleh kerana tidak mampu lagi menjawab debat Arius, Nicholas terus menempa Arius dan menampar mukanya  sehingga tersungkur. Arius yang terkenal dengan kezuhudannya tidak melawan tindakan Nicholas of Myra.

Dalam kejadian itu, Nicholas of Myra ditangkap dan dihumban ke dalam penjara tetapi dibebaskan kembali oleh Maharaja Constantine. Nicholas of Myra diangkat oleh penganut Triniti sebagai Saint dan tindakan beliau menampar Arius telah dipertahankan oleh mereka sebagai satu tindakan suci untuk membela ajaran syirik mereka.

Saint Nicholas of Myra adalah asal usul bagi nama Santa Claus yang sentiasa mewarnai Hari Natal menjelang 25 Disember.

 

Arius diistiyharkan tewas

Seperti dijangkakan oleh Arius, beliau telah diistiyharkan tewas kepada paderi-paderi Triniti. Ia disebabkan oleh pengaruh Maharaja Constantine yang telah dirasuki dengan fahaman triniti yang menebal.

Arius dan rakan-rakannya telah diusir keluar daripada wilayah kekuasaan Constantine ke Illyricum. Rakan seperjuangan Arius adalah Euzoios, dua orang paderi daripada Libya, Theonas of Marmarica and Secundus of Ptolemais. Mereka telah diperlakukan sedemikian kerana tidak menandatangani Nicaean Creed sepertimana yang diperintahkan oleh Maharaja Constantine.

Sahabat rapat Arius iaitu Eusebius of Nicomedia, Maris of Chelcedon dan Theognis of Nicaea telah mendapat pengampunan Constantine kerana telah menandatangani Nicaean Creed. Walaubagaimanapun, mereka tidak mempersetujui untuk mengutuk Arius sepertimana yang dilakukan oleh paderi triniti, Athanius of Alexanderia, Nicholas of Myra dan ramai lagi.

Kemuncak kepada tewasnya Arius dalam persidangan tersebut adalah buku-buku ajaran Arius terutamanya buku Thaleia dan Injil tauhid Arius telah diarahkan dibakar oleh Maharaja Constantine. Malah segala Injil yang dikatakan ‘bidaah’ seperti Injil Barnabas, Injil Judas, Injil Gnostic dan sebagainya telah diarahkan untuk dibakar.

Pada hari ini, ajaran sebenar dan hukum-hakam ajaran Arianisme tidak dapat diketahui sumber asalnya. Yang tinggal hanya asas ajaran Arianisme dan ‘rakaman’ dialog persidangan Nicaea serta surat-surat yang Arius tuliskan kepada sahabatnya seperti surat kepada Eusebius of Nicomedia.

 

Ajaran Arianisme terus berkembang

Arius meninggal dunia pada tahun 336M pada usia 80 tahun. Kematian Arius masih lagi diselubungi misteri. Arius dipercayai telah diracun oleh paderi-paderi Triniti yang sudah lama tidak senang duduk dengan perkembangan ajaran Arianisme.

Setahun sebelum Arius meninggal dunia, Arius sudah mula mendapat tempat di Istana Constantinople. Maharaja Constantine juga sudah mula mengampun beliau dan memujuk beliau kembali daripada pelarian. Malah, terdapat pendapat mengatakan Constantine telah memeluk ajaran Arianisme pada penghujung usianya. Ia diperkuatkan dengan kisah Constantine dibaptiskan oleh sahabat Arius, Eusebius of Necomedia di katil semasa nazak.

Anak kepada Constantine iaitu Constantine II(316-340) juga adalah penganut ajaran Arianisme yang sangat taat. Manakala Maharaja Valens(328-378) juga adalah penganut Arianisme.

Ajaran Arius terus berkembang. Anak murid Eusebius of Necodemia iaitu Ulfilas telah berkelana ke Eropah Timur untuk mengembangkan ajaran Arianisme. Ulfilas telah berjaya berdakwah sehingga sampai ke masyarakat Vasigoth, Ostrogoth, Vandals, Franks, Burgundians dan Lombards.  Di Eropah Timur, Arius telah diangkat sebagai saint dan matyr sebagai menghargai pergorbanan beliau dalam mempertahankan ajaran tauhid.

Bangsa-bangsa yang kebanyakan berasal daripada Jerman ini telah berjaya membina empayar mereka sehingga ke Afrika Utara dan Sepanyol(Vasigoth) dan utara Itali(Ostrogoth, Lombards) serta Perancis(Franks). Di sini, mereka telah menyebar-luaskan ajaran Arianisme kepada masyarakat yang ditakluki mereka yang mana pada masa itu kebanyakan mereka masih lagi mengamalkan ajaran paganisme.

Ajaran Arianisme telah bertahan di Eropah Timur dan wilayah sekitarnya sekurang-kurangnya sehingga abad ke-6 apabila raja Franks, Clovis I telah memeluk ajaran Triniti Katholik pada 496 dan raja Vasigoth, Liuvigild pula memeluk ajaran tersebut pada 586. Namun, ia tidak bermakna rakyat mereka turut serta menyertai raja mereka mempercayai ajaran tersebut.

(Ingatlah), ketika Allah berfirman: “Hai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku serta membersihkan kamu dari orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian hanya kepada Akulah kembalimu, lalu Aku memutuskan diantaramu tentang hal-hal yang selalu kamu berselisih padanya.” 

 

Islam pengganti Ideal

Allah swt Maha Mengetahui, dalam manusia semakin hampir hilang pegangan mereka kepada ajaran Tauhid, Allah swt telah mengutus Rasulullah saw sebagai pembawa ajaran Tauhid yang mengesakan Allah swt iaitu ISLAM. Allah swt telah mengutuskan Muhammad saw di kalangan masyarakat Arab kerana ketika itu masyarakat Arab adalah masyarakat yang paling teruk terpesong daripada ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Hampir kesemua masyarakat mereka menganut ajaran paganisme. Malah, bapa saudara Rasulullah saw, Abu Talib adalah penganut ajaran paganisme yang sangat tegar.

Archbishop Dmitri daripada Gereja Ortodoks Amerika pernah mendakwa Islam adalah pengganti ideal ajaran Arianisme berikutan hampir 100 peratus ajaran Islam menyamai ajaran Arianisme.

Sehingga kini, terdapat masyarakat Kristian selalu menyebut istilah Arian untuk merujuk kepada individu yang mempercayai dan menyayangi Isa as tetapi menolak Nicaean Creed. Arianisme amat sesuai untuk dinyatakan sebagai ajaran yang hampir 100 peratus datangnya daripada nabi Isa as selain bebarapa ‘mazhab’ anti-triniti yang lain. Ajaran Arianisme adalah Islam sebelum datangnya ISLAM.!

 Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad saw) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

Siri Islam Sebelum ISLAM : Adakah wali(saint) Kristian sebelum kedatangan ISLAM juga dianugerahkan Karamah?(Siri 1)

Oleh: takusahrisau

 

Mukadimmah

Pernahkah pembaca terfikir  bahawa individu yang digelar saint oleh penganut Kristian yang mempunyai kehebatan seperti kebolehan untuk terbang, bercakap dengan haiwan, mampu berada di dua tempat dalam masa yang sama dan sebagainya boleh dianggap mempunyai karamah sepertimana individu yang digelar wali oleh umat Islam?

Pernahkah pembaca terfikir bahawa jika Kristian adalah agama yang tidak diredhai Allah swt dan dilaknat pula kerana syirik terhadap-NYA bagaimana pula ‘wali’ mereka mampu melakukan keajaiban sepertimana wali-wali yang beragama Islam yang berhempas-pulas mencari keredhaan dan keampunan daripada Allah swt?

Jadi pada kali ini, penulis akan memperihalkan sedikit mengenai persoalan yang melibatkan ‘kekaramahan’ wali-wali Kristian ini. Moga dengan artikel ini, ia boleh merungkai sedikit-sebanyak persoalan yang sering bermain dalam fikiran pembaca sekalian.

 

Karamah

Daripada definisinya, karamah bermaksud kemuliaan dan kemurahan yang Allah Taala kurniakan khusus kepada hamba-NYA yang bertaqwa dalam erti kata yang sebenar tetapi mereka bukan bertaraf Nabi dan Rasul. Individu yang mendapat anugerah sedemikiaan biasanya digelar wali Allah atau kekasih Allah.

Dalam segi logiknya, kurniaan Allah Taala ini amat menyalahi logik akal manusia atau dalam istilah yang lebih baik ia digelar Khawariqul adah. Sebagai contohnya, kebolehan berjalan di atas air.

Kebolehan sedemikian sangat menyalahi hukum fizik kerana jisim manusia lebih tumpat daripada jisim air, dan amat mustahil untuk membolehkan manusia mampu berjalan di atas air sepertimana manusia berjalan di atas tanah. Akan tetapi, kurniaan Allah Taala ini pernah terjadi kepada banyak wali Allah seperti Tok Kenali daripada Kelantan. Dan ia dibuktikan oleh ramai saksi secara lisan dan tulisan artikel.

Kebiasaann karamah-karamah yang sering berlaku kepada para wali Allah adalah:

  • Kasyaf

Kasyaf memberi makna dibukakan hijab untuk mengetahui benda-benda yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Ia pernah terjadi kepada Abu Huzaifah ra yang diberi kelebihan mengetahui seseorang mukmin itu munafik atau tidak.

 

  • Firasat

Firasat bermaksud visi. Anugerah ini membolehkan seseorang wali Allah mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang dengan izin daripada-NYA. Pernah terjadi kepada Tok Kenali yang meramalkan kedatangan askar Jepun yang merujuk kepada ‘orang mata sepet’ dan Saidina Umar al-Kattab yang meramalkan kedatangan Umar bin Abdul Aziz sebagaimana kata-katanya “Akan ada nanti dari sulbiku seorang yang akan memenuhi bumi dengan keadilan dan bertanda di dahinya”

 

  • Ilmu Ladunni

Ilmu Ladunni adalah satu ilmu yang dijatuhkan Allah Taala terus ke dalam hatinya dan menjadi ilmu yang sebati dalam jiwanya. Ilmu ini tidak pernah wali Allah tersebut belajar dan diajar. Kebiasaannya ilmu yang diperolehi daripada Allah Taala ini sangat tulen dan mempunyai keberkatan. Ia pernah terjadi kepada Khidir as(juga dipercayai wali Allah, namun ramai merujuknya sebagai Nabi), Junaidi al-Baghdadi, Rabaitul Adawiyah dan ramai lagi.

 

  • Hatif

Hatif adalah suara ghaib yang didengari melalui telinga namun tidak pula dapat didengari oleh orang kebiasaan. Hatif yang dikurniakan kepada wali Allah adalah suara yang didatangkan terus daripada Allah Taala ataupun perantaraan malaikat. Ia pernah terjadi kepada ramai Wali Allah seperti Junaid al-Baghdadi, Sheikh Abdul Kadir al-Jailani, Zunnun al-Misri, Ibrahim bin Adham dan ramai lagi.

 

 

Walaubagaimanapun, ia adalah sebahagian daripada pelbagai kelebihan-kelebihan yang Allah Taala berikan kepada wali Allah sebagai ganjaran ke atas kezuhudan ketaqwaan mereka. Antara kelebihan yang lain yang juga biasa kita dengar adalah kemampuan melipat jarak bumi iaitu dapat berada di satu tempat ke tempat yang lain dengan sekelip mata miskipun jaraknya beribu-ribu batu, kemampuan menghidupkan yang telah mati, kemampuan berbicara dengan yang telah mati, kemampuan menundukkan haiwan buas, kemampuan menyembuhkan penyakit dan banyak lagi.

 

 

Beza antara Karamah, Istidraj dan Sihir

 

Secara definisinya, Istidraj membawa maksud perkara luar biasa yang berlaku kepada orang yang tidak taat atau derhaka kepada Allah s.w.t dan ia bertujuan untuk menyesatkannya lagi.

 

Perkara sedemikian pernah terjadi kepada Firaun semasa mencabar nabi Allah Musa as mempertahankan ketuhanan dirinya. Firaun yang terkenal bongkak itu terus memanah ke langit bagi membuktikan dirinya telah membunuh ‘tuhan’ Musa. Allah memberi kelebihan berbentuk istidraj kepada Firaun dengan mengembalikan panahnya dengan darah. Firaun dengan sombong terus menyatakan beliau telah membunuh Tuhan Musa as tanpa unsur periksa. Ucapan-ucapan yang diungkap oleh Firaun adalah kejahilan yang nyata.

 

 

Bagaimana pula dengan sihir?

 

Sihir pula adalah perkara luar biasa yang berlaku hanya disebabkan oleh pertolongan makhluk halus seperti Jin, Iblis dan Syaitan. Perkara tersebut kebiasaan terjadi kepada individu yang terlampau taksub dengan perkara-perkara khurafat.

 

Ia pernah terjadi kepada Musa as semasa berhadapan dengan tukang-tukang sihir Firaun. tukang-tukang sihir Firaun telah berjaya menukar tongkat mereka kepada ular-ular yang berbisa dengan pertolongan Jin dan Syaitan. Bagaimanapun, Musa as berjaya menghadapinya dengan pertolongan Allah Taala yang mengurniakan mukjizat melalui tongkat baginda yang mampu bertukar kepada ular yang sangat besar dan seterusnya menelan kesemua ular tukang sihir Firaun tersebut.

 

Perbezaan antara Karamah, Istidraj dan Sihir adalah sangat nyata. Karamah adalah kelebihan-kelebihan yang dikurniakan Allah Taala kepada wali-wali Allah yang taat dan bertaqwa manakala Istiqraj dikurniakan Allah Taala kepada musuh-musuh Allah untuk terus menyesatkan mereka. Dan Sihir pula adalah kelebihan luar biasa yang tidak boleh diterima logik akal dengan hanya bantuan jin dan syaitan atas izin Allah Taala.

 

Perbezaan ketiga-tiga istilah ini penting untuk membezakan sama ada seseorang tersebut adalah wali Allah atau wali syaitan.

 

 

 

Bagaimana jika ‘karamah’ tersebut terjadi kepada orang bukan Islam?

Berbalik kepada persoalan teras kita, bagaimana jika kelebihan itu terjadi kepada orang yang bukannya beragama Islam seperti yang sering kita dengar pernah terjadi kepada paderi Kristian, sami Buddha, rabbi Yahudi dan sami Hindu.

 

Persoalan ini sangat rumit untuk diperjelaskan akan tetapi terdapat beberapa perkara untuk memastikan kelebihan tersebut adalah Karamah, Istidraj mahupun Sihir.

 

 

Agama sebelum Rasulullah saw

Rasulullah saw dilahirkan pada 12 Rabiulawal pada tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571M. Rasulullah saw diangkat sebagai Rasul ketika umurnya menjangkau usia 40 tahun. Ini bermakna tahun di mana Rasulullah saw diangkat sebagai Rasul adalah 611M.

 

Sebelum kedatangan Rasulullah saw yang membawa ajaran Islam, terdapat dua agama yang diyakini juga telah membawa ajaran sepertimana Islam. Seperti yang sedia maklum, agama-agama tersebut digelar agama samawi atau agama langit. Agama-agama tersebut adalah agama Yahudi dan agama Kristian.

 

Bagi sesetengah cendiakiawan Islam, pada dasarnya agama Yahudi dan Kristian adalah Islam. Ini boleh dirujuk kepada asas agama tersebut yang mempercayai Tuhan yang Esa. Namun, agama tersebut tidak digelar Islam dan Allah swt tidak pernah menamakannya dalam kitab-kitab ajaran mereka. Ia tidak seperti ajaran yang dibawa oleh Rasul junjungan kita yang mana Allah Taala sendiri menamakannya.

 

Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.:”(Ali-Imran: 19)

 

 

Agama Yahudi dan Kristian hanya mendapat namanya melalui penganut-penganut mereka sendiri. Agama Yahudi mendapat nama bersandarkan kepada penganut mereka yang kebanyakan adalah warga Yahudi manakala agama Kristian pula mendapat nama kerana merujuk kepada Isa as atau Jesus yang digelar Christ oleh bangsa Yunani.

 

Dengan yang demikian, ajaran yang dibawa Isa as iaitu Kristian adalah kesinambungan kepada ajaran Musa yang membawa agama Yahudi. Sepertimana Yahudi, ajaran Kristian Isa as sangat mirip iaitu masih mengekalkan Allah swt sebagai tuhan yang satu-satunya layak disembah manakala Musa as atau Isa as adalah Rasul junjungan mereka. Hukum syariat mereka sahaja yang sedikit berlainan sesuai dengan peredaran zaman tersebut.

 

Oleh kerana itu, tempoh masa daripada tahun pertama Masihi sehingga kepada tahun 611 masihi, individu yang menganut ajaran Kristian(tidak termasuk ajaran Triniti dan seumpama dengannya) adalah individu yang beriman kepada Allah swt.

 

Dengan kata lain, paderi-paderi yang mempunyai kelebihan luar biasa akan tetapi lahir dalam tempoh tersebut adalah paderi yang diberi kelebihan oleh Allah swt dengan kelebihan Karamah dan bukannya Istidraj sepertimana yang ramai maklum.

 

 

Mereka yang memiliki Karamah dan bukannya Istidraj

 

Terdapat beberapa nama yang boleh dianggap memiliki karamah kerana ketaqwaan dan kefahaman mereka yang berlandaskan ajaran tauhid yang sebenar. Mereka adalah:

 

  • St. Arius(256M-336M)

Beliau adalah pengasas ajaran Arianisme yang menolak ajaran Triniti yang dianggap sesat. Ajaran Arianisme menganggap Nabi Isa adalah makhluk ciptaan Allah swt dan hanya ditugaskan sebagai Nabi untuk memberi kefahaman tauhid kepada umat manusia. Beliau dianggap sebagai wali atau saint kerana dikatakan syahid dalam mempertahankan fahaman bahawa Nabi Isa hanya manusia biasa dan bukannya anak tuhan. Beliau dikatakan diracun oleh paderi-paderi Katholik yang syirik kepada Allah swt.

 

  • Artemius(meninggal dunia pada 363M)

Beliau adalah panglima kepada Constantius II yang beriman kepada Allah swt dengan fahaman Arianisme. Beliau syahid dalam mempertahankan akidahnya kepada adik Constantius II, Julian the Apostate yang menganut ajaran pagan. Artemius telah dihukum pancung oleh panglima Julian iaitu George of Cappadocia. George kemudiannya dibunuh oleh penduduk Iskandariah yang taat kepada ajaran Arianisme setelah Artemius dihukum pancung.

St. Artemius

 

 

 

 

 

 

  • Simeon Stylites(390M-459M) 

Simeon Stylites dikenali dengan kebolehan luar biasa beliau tinggal di atas tiang setinggi 15 meter selama 37 tahun hanya untuk mencari ketenangan bagi beribadah kepada Allah swt. Beliau dikenali sebagai seorang yang miskin namun sangat taat beribadah sehingga dikenali ramai orang kerana kezuhudannya. Stylites sepertimana dinasabkan pada belakang namanya adalah merujuk kepada tiang dalam bahasa Yunani.

 

  • Paderi Buhaira(hidup sezaman dengan Rasulullah saw) 

Beliau dikenali sebagai paderi yang mempunyai firasat mengenai kerasulan Nabi Muhammad saw selepas melihat awan sentiasa memayungi Rasulullah saw setiap masa. Ramai berpendapat bahawa Buhaira adalah seorang paderi mazhab Kristian Nestorian sepertimana yang didakwa oleh al-Kindi. Namun terdapat ulama menyatakan Buhaira adalah paderi bermazhab Arian atau Jacobite.

 

Gereja Buhaira di Syria.

 

 

 

 

 

Mereka yang memiliki Istidraj dan bukannya Karamah

 

  • St. Constantine(227M-337M) 

Mendakwa melihat simbol salib di langit dan seterusnya membawanya mengenali ajaran Kristian.

Kenapa didakwa ia sebagai Istidraj?

Constantine adalah seorang yang kuat menentang ajaran Kristian yang menyembah Tuhan yang Esa. Constantine juga melarang penganut Kristian berkhatan sedangkan Nabi Isa as sendiri berkhatan dan berkhatan itu diwajibkan oleh semua ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as. 

Maharaja Constantine yang didakwa hanya dibaptiskan semasa beliau nazak!

 

 

 

 

 

  • St. Nicholas of Myra(270M-343M) 

Didakwa mempunyai pelbagai keajaiban termasuklah didatangi oleh Jesus dan Mary semasa beliau dipenjarakan kerana bertindak menampar muka St. Arius semasa berdebat dengannya semasa Sidang Nicaea pada 325M.

 

Kenapa didakwa ia sebagai Istidraj?

Ia adalah kerana Nicholas of Myra berpegang kepada doktrin yang mensyirikkan Allah Taala dengan menyatakan Isa as adalah terdiri daripada tiga keadaan atau lebih mudah dipanggil doktrin Triniti. Dakwaan didatangi oleh Jesus dan Mary juga diragukan kerana ia berkemungkinan besar salah satu cara untuk melepaskan diri daripada penjara.- selepas peristiwa keajaiban didatangi Jesus dan Mary tersebar, Nicholas dibebaskan oleh Maharaja Constantine.

 

 

Yang pastinya mereka bukan Katholik atau Kristian aliran Triniti

 

Penularan ajaran Triniti yang didokong oleh mazhab Katholik adalah salah satu peristiwa kesesatan umat Kristian yang paling besar sejak sepeninggalan Nabi Isa as. Anti-triniti seperti Arianisme, Nestorisme, Ebonite, Jacobian dan sebagainya berpegang bahawa Nabi Isa as tidak pernah mengasaskan ajaran triniti sepanjang hayat baginda.

 

Ia disokong oleh kebanyakkan masyarakat pada zaman tersebut. Ajaran yang mengesakan Allah swt telah pun sampai ke penduduk barat melalui mubaliqh Kristian aliran Arianisme, Ulfilas. Ulfilas telah berjaya membawa kebanyakkan bangsa yang pada masa kini digelar Barbarian iaitu Goth, Vandals, Alan, Franks dan sebagainya untuk menganut ajaran Ulfilas dan meninggalkan ajaran nenek moyang mereka yang menyembah tuhan berhala. Bukti ini bermakna, miskipun ajaran Triniti memenangi perdebatan di Sidang Nicaea pada 325M, Sidang Ephesus pada 431M dan Sidang Chalcedon pada 451M, ia tidak bermakna ajaran mereka telah memenangi iman masyarakat pada masa tersebut.

 

Persidangan Nicaea pada 325M bagi menghapuskan ajaran Arianisme yang mengesakan Allah swt.

 

Miskipun ajaran Arianisme, Nestorius, Jacobite dan banyak lagi ajaran anti-triniti sudah tidak popular lagi, namun ia memiliki penganti yang cukup mantap-ISLAM!. Seperti yang sering didakwa oleh ramai cendikiawan Kristian, Islam adalah pengganti kepada ajaran anti-triniti yang paling ideal.

 

Maka, tidak salah untuk mengatakan bahawa penganut ajaran anti-triniti yang mengesakan Allah Taala seperti Arianisme, Nestorian, Jacobite, Ebonite dan lain-lain patut diimani sebagai mereka yang dijamin Allah swt sebagai hamba-NYA atau ahli kitab. Namun, ia dengan syarat- penganut tersebut lahir sebelum 611M atau dengan lain kata, tahun sebelum Rasulullah saw diangkat sebagai Rasul.

 

 

 

~ Artikel ini yang bertajuk ‘Islam Sebelum ISLAM’ ini akan muncul dalam beberapa siri. Perlu diingatkan bahawa artikel di atas bukanlah bahan kontroversi mahupun sensasi. Kepada pembaca, penulis berharap supaya pembaca sekalian membaca artikel ini dengan teliti. Jangan sesekali memberi komen tanpa membaca artikel secara keseluruhan. Ia adalah tidak adil kepada penulis. Akhir kata, penulis berharap artikel ini memberi satu sisi baru dalam kajian agama dan teologi secara keseluruhan.