Tag Archive | Arianisme

Islam Sebelum ISLAM: Nama Arius terkandung dalam Isi Kandungan Surat Rasulullah kepada Heraclius(SIRI 3)

Oleh: takusahrisau

 

Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) karena sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Surah An-Nisa ayat 170 

Rasulullah saw telah menyampaikan seruan tauhid semasa hayatnya bermula daripada ahli keluarga terdekat baginda sehingga ke pemimpin-pemimpin negara jiran baginda. Sepertimana Surah An-Nisa ayat 170, Rasulullah saw datang membawa kebenaran daripada Allah swt. Rasulullah saw membawa risalah agung yang melimpahkan keberkatan ke seluruh alam.

 

Dakwah Rasulullah saw

Kesan daripada penjanjian Hudaibiyyah pada 628M memberi impak yang amat penting kepada umat Islam dan Rasulullah saw. Terma utama penjanjian Hudaibiyyah yang mahukan genjatan senjata selama 10 tahun serta larangan kekangan Arab Quraisy dalam misi dakwah Rasulullah saw telah memberi impak yang cukup besar kepada baginda. Baginda bebas berdakwah tanpa sebarang gangguan dan ancaman daripada musuh ketat baginda, Musyrikin Quraisy.

 

Menyusun hubungan diplomatik

Rasulullah saw telah menyusun pelbagai strategi untuk mengembangkan ajaran Islam ke negara-negara di luar kota Mekah dan Madinah. Antara yang disusun oleh Rasulullah saw adalah misi dakwah baginda ke negara-negara jiran. Misi Rasulullah saw ini memberi gambaran bahawa Rasulullah bukan sahaja seorang pemimpin agama tetapi juga seorang pakar diplomatik dan negarawan agung.

Setahun selepas Penjanjian Hudaibiyyah iaitu pada tahun 629M, Rasulullah saw telah mula melaksanakan strategi dakwah kepada raja-raja di negara jiran baginda.

Sehubungan dengan itu, Rasulullah saw telah melantik beberapa orang sahabat yang dipercayai baginda untuk membawa surat dakwah baginda sebagai amanah besar daripada Rasulullah saw kepada raja-raja yang diutuskan. Mereka adalah:

·         Abdullah bin Hudhafah ra kepada Khosroes II (Raja Empayar Parsi)

·         Amr bin Umayyah ra kepada Najasi (Raja Abyshah)

·         Hatib’ bin Abi Baitah ra kepada Muqawqis (Pemimpin Mesir)

·         Shuja bin Wahab al-Asadi ra kepada Harith Ghassani (Gabenor Syria)

·         Ala bin Hadrami ra kepada al-Mundhir bin Sawa (Pemimpin Bahrain)

·         Dihyah ibn Khalifah al-Kalbi ra kepada Heraclius (Maharaja Rom Byzantine)

 

Surat Rasulullah saw kepada Heraclius

Daripada keenam-enam pucuk surat yang diutuskan Rasulullah saw kepada pemimpin kafir tersebut, terdapat sepucuk surat yang sangat menarik perhatian. Surat tersebut adalah surat daripada baginda Rasulullah saw kepada Maharaja Rom Byzantine, Maharaja Heraclius. Surat kepada Heraclius berlainan sedikit berbanding surat yang baginda utuskan kepada raja-raja di Mesir, Parsi, Bahrain dan Abyshah.

Isi kandungan surat sebenarnya membuktikan bahawa Rasulullah mengakui Arius sebagai pembawa ajaran Kristian yang sebenar. Dalam artikel kali ini, ia lebih membuktikan kebenaran yang penulis tegaskan dalam siri kedua Islam Sebelum ISLAM.

Apapun, apa kita lihat dulu siapa sebenarnya Heraclius.

 

Latar belakang Heraclius

Maharaja Heraclius dilahirkan 575M di Cappadocia(sebuah wilayah yang di Turki). Beliau muda empat tahun daripada baginda Rasulullah saw. Nama sebenar beliau adalah Flavius Heraclius Augustus. Semasa pemerintahan beliau, beliau membantaskan penggunaan bahasa Latin dalam urusan rasmi kerajaan dan menggantikannya dengan bahasa Yunani.

Heraclius memegang tampuk pemerintahan pada 610M setelah beliau berserta bapanya, Heraclius the Elder melancarkan pemberontakan ke atas pemerintah Rom Byzantine pada masa itu iaitu Phocas.

 

Peperangan berpanjangan

Fasa pertama pemerintahan Heraclius diwarnai dengan peperangan yang berpanjangan. Dengan sejarah diplomatik antara Rom Byzantine dan Parsi yang turun naik, Heraclius mengambil keputusan untuk melancarkan perang terhadap musuh ketatnya iaitu Khosrau II, pemimpin empayar Parsi.

Daripada 610M sehingga 628M, banyak siri peperangan telah berlangsung antara kedua-dua empayar ini. Paling diingati adalah peperangan yang berlangsung buat kali pertama pada 614M antara Heraclius dan Khosrau II yang kemudian berakhir dengan kekalahan kepada Heraclius.

Dengan niat Khosrau II untuk menghapuskan Heraclius secara total walaubagaimanapun terbantas oleh benteng kukuh kota Constantinople di selat Bosphorus. Tentera laut empayar Parsi juga tidak mampu menandingi kekuatan tentera laut empayar Rom Byzantine. Heraclius bagaimanapun mengalami kemerosotan teruk sehingga dikatakan sukar untuk bangkit kembali.

 

Mukjizat surah Ar-Ruum ayat 2-5

Empayar Rom pernah diperkatakan secara jelas dalam firman Allah swt melalui surah Ar-Rumm. Surah Ar-Rumm adalah bukti jelas mukjizat junjungan besar kita Rasulullah saw yang meramalkan kemenangan Empayar Rom ke atas Empayar Parsi setelah kekalahan teruk Empayar Rom pimpinan Heraclius.

1.Telah dikalahkan bangsa Rom. 2.Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang 3.dalam beberapa tahun lagi, Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (kemenangan Rom). 4.Dan di hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, 5.Karena pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. 

Surah Ar-Ruum ayat 2-5

 

Diriwayatkan oleh ramai sejarahwan islam seperti Ibnu Kathir dan At-Tabari bahawa sebaik tersebarnya berita kemenangan Khosrau II ke atas empayar Rom Byzantine pimpinan Heraclius, Rasulullah saw dan umat Islam sangat berduka manakala Arab Musyrikin pula melonjak kegembiraan. Golongan kafir musyrik tersebut adalah seteru kuat kepada empayar Parsi.

Rasulullah saw pula lebih memihak kepada Rom kerana latar belakang agama Rom Byzantine yang jauh lebih baik daripada empayar Parsi yang menyembah api. Dalam bersedih itulah turunnya berita gembira seperti yang dinyatakan dalam surah Ar-Ruum ayat 2-5.

Segalanya menjadi kenyataan apabila Heraclius berjaya bangkit daripada kekalahan pada tahun 614M dengan kemenangan dalam Battle of Nineveh beberapa tahun selepas ayat ini turun iaitu sekitar tahun 627M.

 

Pertempuran Heraclius dan Khosrau II di Battle of Nineveh.

 

 

  

Kaitan dengan kebiadapan Khosrau II terhadap seruan dakwah Rasulullah saw

Kekalahan Khosrau II ada kaitannya dengan kebiadapan Khosrau II dengan surat yang diutuskan oleh Rasulullah saw melalui sahabat baginda, Abdullah bin Hudhafah ra.

Diriwayatkan bahawa Khosrau II telah mengoyak surat yang diutuskan kepadanya bagi menyeru beliau ke jalan tauhid. Merasakan terhina kerana menganggap bangsa Arab sebagai ‘hamba’ padanya, beliau bertindak mengoyak surat tersebut di hadapan utusan Rasulullah saw.

Sekembali Abdullah bin Hudhafah ra ke Madinah, beliau menceritakan bagaimana bongkaknya si kafir Khosrau II itu. Selepas itu, Rasulullah saw telah mengungkap doa berikut yang kemudian menjadi salah satu daripada mukjizat Rasulullah saw,

Moga empayarnya dikoyak menjadi cebisan-cebisan

 

Doa Rasullulah saw menjadi kenyataan apabila Khosrau II kemudian dibunuh oleh anaknya sendiri, Kavadh II semasa berada dalam tahanan penjara. Doa Rasulullah saw ternyata terus termakbul apabila empayar Parsi menjadi berpecah belah sehingga memudahkannya dikuasai oleh tentera Islam di bawah pimpinan panglima Khalid al-Walid. Empayar Parsi Sasanid berakhir sama sekali selepas penaklukan empayar Islam Uthmaniyyah.

 

Pegangan agama Heraclius

Sejak kecil, beliau dididik dengan ajaran Kristian dengan cukup lengkap. Menginjak ke alam dewasa, beliau telah dilengkapi pelbagai ilmu di dada. Ia menjadikannya sebagai pemerintah yang paling ideal bagi empayar sebesar Rom Byzantine.

 Di awal pemerintahannya, Heraclius telah menghadapi perseteruan agama yang kritikal dalam mazhab-mazhab Kristian. Perseteruan yang tidak pernah reda ini berlaku antara mazhab aliran Triniti dan aliran Monopyhsites. Sebagai pemerintah yang bertanggungjawab, Heraclius telah cuba untuk merapatkan jurang antara kedua-dua aliran dengan pengenalan fahaman Monothelisme pada tahun 629M namun gagal diterima oleh kedua-dua aliran tersebut.

 

Heraclius percaya pada Islam?

Banyak cendiakiawan percaya bahawa Heraclius percaya bahawa Muhammad saw adalah Rasul yang diutuskan Allah swt sepertimana yang sering disebut di dalam Injil yang diimaninya. Ia diperakaui oleh sahabat Nabi, Abu Sufyan yang pernah diajak ke istananya untuk menanyakan perihal Rasulullah saw.

Terdapat juga cendikiawan menyatakan bahawa Heraclius telah memeluk Islam secara sembunyi kerana bimbang tentangan yang berlaku dalam istana melibatkan paderi-paderi Kristian Triniti.

Sirah-sirah Nabawi banyak menceritakan mengenai Maharaja Rom Byzantine yang bernama Heraclius ini. Ia termasuklah cerita mimpi Heraclius yang meramalkan kekuasaan umat Islam dan kisah dua orang hamba Heraclius untuk menyiasat kenabian Nabi Muhammad saw.

 Antara Heraclius dan Rasulullah saw, terdapat beberapa persamaan iaitu berkenaan tarikh 610M. Pada 610M, Rasulullah saw telah menerima wahyu pertama daripada Jibrail as di Gua Hira’ dan secara rasminya dilantik menjadi Rasul Allah setelah turunnya surah yang kedua tidak lama selepas itu. Pada 610M juga, Heraclius telah diangkat menjadi maharaja Rom Byzantine selepas mengulingkan Phocas. Jelas sekali, antara Rasulullah saw dan Heraclius mempunyai tarikh yang sama untuk mendapat ‘kekuasaan’ dalam bidang masing-masing.

 

Surat Rasulullah saw yang mengakui Arius

Ibnu Kathir sering melabelkan Heraclius sebagai maharaja yang mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa terutama dalam pemahaman kitab Injil. Tidak seperti paderi-paderi yang sezaman dengannya, Heraclius sangat yakin akan kedatangan Rasul terakhir. Namun, selepas dikhabarkan mengenai kenabian Rasulullah saw, beliau terkejut kerana Rasul terakhir datang daripada tanah Arab yang terkenal dengan penyembahan berhala dan bukannya daripada kalangan mereka.

Jika dilihat daripada isi kandung surat yang diutuskan Rasulullah saw, Rasulullah saw seperti telah mengetahui bahawa Heraclius adalah seorang yang berilmu dengan menyelitkan petikan surah Ali-Imran ayat-64 pada isi kandung surat baginda yang terakhir.

Firman Allah daripada surah Ali Imran itu menimbulkan rasa terkejut dan teruja beliau terhadap individu yang mendakwa dirinya sebagai Muhammad Rasul Allah. Beliau pernah menyatakan untuk datang sendiri kepada Rasulullah saw dan mencuci kaki Rasulullah saw jika benar Rasulullah saw adalah utusan Allah swt.

Berbalik kepada pangkal perbincangan kita, dalam surat dakwah Rasulullah saw kepada Heraclius terdapat satu ayat yang menyebut mengenai “Ariseen” pada penghujung ayat pertama dan sebelum petikan surah Ali-Imran ayat 64.

Ramai cendikiawan Islam gagal mengenal pasti apakah yang dimaksudkan dengan Ariseen. Mereka mengaitkan Ariseen dengan petani. Ini kerana Ariseen dalam kata akar lidah Arab membawa maksud petani. Namun, ia gagal mengaitkan petani dengan isi kandung surat Rasulullah saw tersebut. Tiada sebab untuk Rasulullah memasukkan istilah petani dalam surat tersebut.

Dengan itu, cendikiawan yang lebih bagus ilmunya mengaitkan Ariseen dengan seorang pendakwah Nasrani berbangsa Libya yang teraniaya akibat perbezaan pendapat dalam isu Ketuhanan Nabi Isa as. Pendakwah tersebut lebih dikenali dengan nama Arius telah terbunuh dalam mempertahankan akidah beliau. Ia telah diceritakan dalam SIRI 2 yang lepas.

Berikut adalah surat yang diutuskan Rasulullah saw kepada Heraclius.

 

 

 

Dalam bahasa Inggeris:

In the name of God the Beneficent, the Merciful: (This letter is) from Muhammad son of Abdullah to Heraclius the Great (ruler) of the Romans (Byzantines). Peace be upon him, he who follows the right path. Furthermore I invite thee to Islam; become a Muslim and thou shalt be safe (from Hell or God’s punishment), and God will double thy reward (as your people will follow along and be saved because of you), and if thou rejectest, thou shalt bear the sins of persecuting Arians. 

“Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. Al-Imran 64 

Dalam Bahasa Melayu:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Daripada Muhammad utusan Allah untuk Heraclius Kaisar Romawi yang agung.
Salam bagi siapa yang mengikuti petunjuk. Selain dari pada itu, sesungguhnya aku mengajak kamu untuk memeluk Islam. Masuklah kamu ke agama Islam maka kamu akan selamat dan peluklah Islam maka Allah memberikan pahala bagimu dua kali ganda dan jika kamu berpaling(kepada Islam) maka kamu akan menanggung dosa penganiayaan(kepada) penganut-penganut Arian.

“Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. Al-Imran 64

 

Dalam siri kedua Islam Sebelum Islam yang bertajuk “Aliran Arianisme”, penulis tegaskan mengenai ajaran Arius yang mengesakan Allah swt.

Ia sebenarnya diketahui oleh Rasulullah saw miskipun ia telah berlaku satu abad yang lampau. Jika Rasulullah saw tidak mengetahuinya, mana mungkin Rasulullah saw menyelitnya dalam surat kepada Heraclius. Inilah mukjizat Rasulullah saw yang membenarkan ajaran Islam yang dibawanya.

Heraclius yang pada masa yang sama juga percaya kepada ajaran yang mengesakan Allah swt menjadi lebih tertarik kepada kebijaksanaan Rasulullah saw.

Pergorbanan Arius dalam mempertahankan ajaran tauhid rupa-rupanya mendapat penghargaan Rasulullah saw. Sememangnya inilah yang dimaksudkan dengan Islam sebelum kedatangan ISLAM.

Kesimpulan yang boleh dibuat adalah segala jenis ajaran yang membawa kepada Ajaran Tauhid adalah Islam. Sama ada ia Yahudi mahupun Nasrani. Walaubagaimanapun, bezanya hanya satu, setiap nama-nama itu(sama ada Yahudi dan Nasrani) diberi oleh penganutnya. Sedangkan Allah swt menamakan hanya kepada satu agama sahaja, dan agama itu adalah ISLAM. Ini bermakna Islam adalah satu-satunya agama yang wajib dianuti dan Rasulullah saw adalah Rasul yang wajib diimani disamping Nabi Isa as dan Musa as.

 

~ Artikel ini hanya untuk memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan Islam dan sejarah-sejarahnya. Artikel ini tiada kena-mengena dengan dasar Pluralisme. Apa yang ditulis oleh penulis adalah hak penulis dan penulis bertanggungjawab atas penulisan artikel ini. Sebarang kemusykilan boleh dihantar ke ruangan komentar di bawah. Semoga pembaca mendapat manfaat daripadanya. InsyaAllah.

Advertisements

Siri Islam Sebelum ISLAM: Ajaran Arianisme(Siri 2)

Oleh: takusahrisau

 

Bagi siri ke-2, penulis akan menceritakan bagaimana sejarah pengembangan agama yang berteraskan tauhid sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, pada siri ke-2, fokus penulis adalah agama Nasrani fahaman Arianisme.

 

Mukadimmah

Daripada Adam as sehingga Nabi Nuh as, umat manusia masih lagi berpegang kepada agama yang menyembah tuhan yang Esa. Tempoh masa daripada Adam as sehingga Nuh as adalah beribu-ribu tahun lamanya – Cukup panjang untuk mereka mempunyai iman yang tetap kepada Allah swt yang Esa.

Namun, selepas kematian empat orang soleh iaitu Wadd, Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr, mereka telah mengambil inisiatif untuk mengingati mereka dengan membuat patung yang persis wajah keempat-empat mereka. Menurut riwayat, Wadd, Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr hidup sezaman dengan Nuh as

Walaubagaimanapun, kaum Nuh as pada mulanya tidak menyembahnya tetapi hanya sekadar menjadi pemangkin kepada amal soleh mereka. Namun, hari berganti hari, syaitan akhirnya berjaya menusuk kalbu dengan mencucuk jarum kejahilan dalam diri mereka. Mereka mula lupa pada Allah yang Esa dan akhirnya terus menerus menyembah berhala sehingga lupa bahawa Allah swt adalah tuhan yang satu-satunya wajib disembah. Pada saat itulah, Nuh as diutuskan oleh Allah swt untuk membawa mereka ke landasan yang betul. Menurut Ibnu Abbas ra, ia adalah asal sejarah penyembahan patung atau paganisme dalam sejarah kehidupan manusia.

Berkenaan berhala-berhala tersebut, Allah swt telah berfirman di dalam surah Nuh ayat 23 yang bermaksud,

“Dan mereka berkata jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan kamu dan jangan pula kamu tinggalkan Wadd, dan jangan pula Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr.”

Dalam ayat ini, Allah swt telah memberi gambaran kepada Rasulullah saw tentang keadaan yang berlaku ketika Nabi Nuh as menjalankan misi dakwahnya.

 

Kristian aliran Triniti yang sesat lagi menyesatkan!

Zaman bertukar zaman, Rasul bertukar Rasul, penyembahan berhala terus membiak miskipun banyak kali teladan dan peringatan telah Allah swt berikan kepada mereka dalam bentuk pembinasaan kaum seperti yang berlaku kepada Kaum Lut as, bencana alam yang memudaratkan seperti yang berlaku kepada Kaum Hud as dan Kaum Nuh as dan ketidak-berkatan yang Allah swt timpakan 10 kabilah Bani Israel yang akhirnya berkelana di bumi Allah swt tanpa arah tujuan. Menurut tradisi Bani Israel, 10 kabilah Bani Israel tersebut dipercayai telah ‘pupus’.

Kristian Triniti dipercayai terpengaruh secara total dengan paganisme.

 

 

 

 

Dalam meniti hari, agama-agama samawi tidak terkecuali daripada terus mendapat impak daripada sejarah kaum mereka yang menyembah berhala. Agama Kristian adalah contoh yang paling kuat mengambil elemen-elemen paganisme untuk dimasukkan dalam doktrin-doktrin agama mereka.

Sebenarnya, permulaan paganisme dalam agama Kristian bermula dengan penyebaran doktrin triniti dalam agama Krisitian. Ajaran Triniti antara lain mempercayai bahawa Nabi Isa  adalah anak Tuhan, Nabi Isa adalah Roh Suci dan Nabi Isa adalah Tuhan. Ajaran sedemikian meniru bulat-bulat ajaran paganisme Yunani yang kuat kepercayaan mereka terhadap dewa-dewi.

Ajaran Triniti diasaskan oleh seorang mubaligh awal Kristian iaitu Saul of Tarsus (kekadang disebut Paul of Tarsus). Beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyebarkan ajaran tersebut. Saul of Tarsus dipercayai ramai cendiakiawan Islam dan anti-triniti sebagai seorang yang sesat kerana menyebarkan ajaran yang menyerupai ajaran paganisme berbanding ajaran agama tauhid yang diperturunkan Allah swt kepada setiap Rasul-NYA.

Firman Allah swt dalam surah al-Mai’dah ayat 72-73,

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. 

 

Melalui ayat ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Saul of Tarsus sememangnya telah sesat dan sangat menyesatkan. Miskipun, doktrin-doktrin yang dibawa Saul of Tarsus mampu menarik minat ramai masyarakat Rom, namun ia gagal menambat hati masyarakat sekitar tanah Arab terutama di kawasan yang kuat pegangan ajaran Hanif (ajaran Tauhid yang dibawa Nabi Ibrahim as).

Saul of Tarsus turut tidak bersependapat dalam banyak perkara asas dengan mubaliqh-mubaliqh lain yang berjuang bersama-sama dengannya. Antaranya adalah dalam hukum berkhatan bagi orang Kristian.

Saul of Tarsus sememang seorang yang sangat sesat.!

(pembaca boleh membaca artikel mengenai Saul of Tarsus dalam artikel penulis di SINI)

 

Munculnya Arius yang tampil berani menentang ajaran Triniti

Arius adalah seorang pendakwah tauhid yang lahir pada 256M iaitu 315 tahun sebelum lahirnya rasul junjungan kita, Muhammad SAW. Sepertimana yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, Arius membawa ajaran yang sangat berlawanan dengan ajaran Triniti iaitu menyatakan Nabi Isa as adalah makhluk dan Rasul Allah.

Arius

 

Arius memiliki jalan dakwah yang berliku dek kerana kelancangan beliau menyoal pendirian ajaran triniti yang ternyata sudah terpesong jauh daripada ajaran sebenar Nabi Isa as.

 

Berguru dengan Lucian of Antioch

Arius yang diyakini lahir di Libya dan berketurunan Berber itu telah berguru dengan seorang paderi Nasrani terkemuka, Lucian of Antioch. Lucian of Antioch adalah individu yang paling berpengaruh dalam diri Arius kerana daripada Lucian inilah, Arius mendapat didikan tauhid yang sebenar dalam mengesakan Allah swt. Menurut ajaran Lucian, Nabi Isa as hanya seorang Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada manusia bagi memandu mereka ke jalan tauhid yang sebenar. Fahaman inilah yang membawa kepada konsep unitriniti kemudian hari.

 

Berdakwah kepada Gereja Ortodoks

Arius ternyata individu yang paling berani pada abad beliau dilahirkan. Pada 319, beliau telah menulis surat kepada gereja Ortodoks dengan niat untuk memperbetulkan kesyirikan mereka kepada Allah swt. Banyak juga paderi-paderi dan bishop-bishop telah memeluk ajaran tauhid Arius. Ini menimbulkan rasa tidak senang paderi-paderi fahaman Triniti. .

Pada 325M, Arius mendapat tentangan yang sengit apabila diajak berdebat di Persidangan Nicaea. Arius tidak sedikitpun gentar dengan pelawaan itu miskipun mengetahui bahawa di dalam persidangan itu dihadiri 22 orang Bishop yang hampir kesemuanya adalah berfahaman Triniti. Beliau hanya mendapat sokongan rakan rapatnya, Eusebius of Nicomedia dan beberapa rakan lain.

 

Memulakan perdebatan dengan ayat John 14:28

Miskipun ketika itu umur Arius dalam lingkungan 69 tahun, ia tidak menghalangnya daripada memberi tentangan yang terbaik kepada setiap paderi yang berdebat dengannya. Arius dianugerahi Allah SWT dengan kepetahan berbicara dan ketinggian ilmu agama. Ini diperakui oleh Epiphanius of Salamis.

Tinggi dan kurus, perwatakan seorang tokoh dan tutur kata yang bersopan. Kaum wanita sangat suka padanya dek kerana tarikan ketampanan dan tersentuh dengan kezuhudan dirinya. Kaum lelaki pula kagum dengan aura ketinggian ilmu pengetahuanya.”

Dalam satu rekod sejarah Persidangan Nicaea 325M, Arius telah memulakan perdebatan dengan membacakan ayat dalam kitab Injil kepada hadirin yang bermaksud,

“You heard me say, ‘I am going away and I am coming back to you.’ If you loved me, you would be glad that I am going to the Father, for the Father is greater than I”

John 14:28 

“Kamu dengar aku berkata, “Aku pergi tetapi aku akan kembali lagi pada kamu. Jika kamu sayang aku, kamu akan gembira bahawa aku pergi kepada Tuhan, (yang mana) Tuhan adalah jauh lebih AGUNG daripadaku”

John 14:28 

Ayat Injil itu dipercayai intipati sebenar ajaran tauhid Arius. Namun, dipercayai bahawa injil yang digunakan Arius adalah jauh berlainan dengan Injil yang terdapat pada hari ini. Injil yang terdapat pada hari ini adalah Injil yang telah disusun selepas Persidangan Nicaea 325M. Dalam Injil tersebut, segala ayat-ayat yang bertentangan dengan ajaran Triniti telah dibuang dan diganti dengan ayat yang lebih sesuai dengan doktrin mereka. Dotrin mereka telah diistiyharkan secara rasmi sebagai Nicean Creed.

Daripada detik itulah Injil mula terpesong secara rasmi sehingga hari ini.

 

Perdebatan dengan Nicholas of Myra

Di persidangan of Nicaea pada 325M, perdebatan paling diingati adalah perdebatan antara Arius dan Nicholas of Myra yang ketika itu berusia 55 tahun. Perdebatan ternyata sampai ke tahap paling sensitif dalam ajaran Nasrani.

Miskipun Arius telah diasak dengan soalan bertubi-tubi oleh paderi-paderi Triniti sebelumnya, namun Arius kelihatan tenang menjawab setiap persoalan mereka. Kini giliran Nicholas of Myra pula tampil berdebat dengan Arius. Ternyata, Nicholas bukanlah pasangan debat Arius. Oleh kerana tidak mampu lagi menjawab debat Arius, Nicholas terus menempa Arius dan menampar mukanya  sehingga tersungkur. Arius yang terkenal dengan kezuhudannya tidak melawan tindakan Nicholas of Myra.

Dalam kejadian itu, Nicholas of Myra ditangkap dan dihumban ke dalam penjara tetapi dibebaskan kembali oleh Maharaja Constantine. Nicholas of Myra diangkat oleh penganut Triniti sebagai Saint dan tindakan beliau menampar Arius telah dipertahankan oleh mereka sebagai satu tindakan suci untuk membela ajaran syirik mereka.

Saint Nicholas of Myra adalah asal usul bagi nama Santa Claus yang sentiasa mewarnai Hari Natal menjelang 25 Disember.

 

Arius diistiyharkan tewas

Seperti dijangkakan oleh Arius, beliau telah diistiyharkan tewas kepada paderi-paderi Triniti. Ia disebabkan oleh pengaruh Maharaja Constantine yang telah dirasuki dengan fahaman triniti yang menebal.

Arius dan rakan-rakannya telah diusir keluar daripada wilayah kekuasaan Constantine ke Illyricum. Rakan seperjuangan Arius adalah Euzoios, dua orang paderi daripada Libya, Theonas of Marmarica and Secundus of Ptolemais. Mereka telah diperlakukan sedemikian kerana tidak menandatangani Nicaean Creed sepertimana yang diperintahkan oleh Maharaja Constantine.

Sahabat rapat Arius iaitu Eusebius of Nicomedia, Maris of Chelcedon dan Theognis of Nicaea telah mendapat pengampunan Constantine kerana telah menandatangani Nicaean Creed. Walaubagaimanapun, mereka tidak mempersetujui untuk mengutuk Arius sepertimana yang dilakukan oleh paderi triniti, Athanius of Alexanderia, Nicholas of Myra dan ramai lagi.

Kemuncak kepada tewasnya Arius dalam persidangan tersebut adalah buku-buku ajaran Arius terutamanya buku Thaleia dan Injil tauhid Arius telah diarahkan dibakar oleh Maharaja Constantine. Malah segala Injil yang dikatakan ‘bidaah’ seperti Injil Barnabas, Injil Judas, Injil Gnostic dan sebagainya telah diarahkan untuk dibakar.

Pada hari ini, ajaran sebenar dan hukum-hakam ajaran Arianisme tidak dapat diketahui sumber asalnya. Yang tinggal hanya asas ajaran Arianisme dan ‘rakaman’ dialog persidangan Nicaea serta surat-surat yang Arius tuliskan kepada sahabatnya seperti surat kepada Eusebius of Nicomedia.

 

Ajaran Arianisme terus berkembang

Arius meninggal dunia pada tahun 336M pada usia 80 tahun. Kematian Arius masih lagi diselubungi misteri. Arius dipercayai telah diracun oleh paderi-paderi Triniti yang sudah lama tidak senang duduk dengan perkembangan ajaran Arianisme.

Setahun sebelum Arius meninggal dunia, Arius sudah mula mendapat tempat di Istana Constantinople. Maharaja Constantine juga sudah mula mengampun beliau dan memujuk beliau kembali daripada pelarian. Malah, terdapat pendapat mengatakan Constantine telah memeluk ajaran Arianisme pada penghujung usianya. Ia diperkuatkan dengan kisah Constantine dibaptiskan oleh sahabat Arius, Eusebius of Necomedia di katil semasa nazak.

Anak kepada Constantine iaitu Constantine II(316-340) juga adalah penganut ajaran Arianisme yang sangat taat. Manakala Maharaja Valens(328-378) juga adalah penganut Arianisme.

Ajaran Arius terus berkembang. Anak murid Eusebius of Necodemia iaitu Ulfilas telah berkelana ke Eropah Timur untuk mengembangkan ajaran Arianisme. Ulfilas telah berjaya berdakwah sehingga sampai ke masyarakat Vasigoth, Ostrogoth, Vandals, Franks, Burgundians dan Lombards.  Di Eropah Timur, Arius telah diangkat sebagai saint dan matyr sebagai menghargai pergorbanan beliau dalam mempertahankan ajaran tauhid.

Bangsa-bangsa yang kebanyakan berasal daripada Jerman ini telah berjaya membina empayar mereka sehingga ke Afrika Utara dan Sepanyol(Vasigoth) dan utara Itali(Ostrogoth, Lombards) serta Perancis(Franks). Di sini, mereka telah menyebar-luaskan ajaran Arianisme kepada masyarakat yang ditakluki mereka yang mana pada masa itu kebanyakan mereka masih lagi mengamalkan ajaran paganisme.

Ajaran Arianisme telah bertahan di Eropah Timur dan wilayah sekitarnya sekurang-kurangnya sehingga abad ke-6 apabila raja Franks, Clovis I telah memeluk ajaran Triniti Katholik pada 496 dan raja Vasigoth, Liuvigild pula memeluk ajaran tersebut pada 586. Namun, ia tidak bermakna rakyat mereka turut serta menyertai raja mereka mempercayai ajaran tersebut.

(Ingatlah), ketika Allah berfirman: “Hai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku serta membersihkan kamu dari orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian hanya kepada Akulah kembalimu, lalu Aku memutuskan diantaramu tentang hal-hal yang selalu kamu berselisih padanya.” 

 

Islam pengganti Ideal

Allah swt Maha Mengetahui, dalam manusia semakin hampir hilang pegangan mereka kepada ajaran Tauhid, Allah swt telah mengutus Rasulullah saw sebagai pembawa ajaran Tauhid yang mengesakan Allah swt iaitu ISLAM. Allah swt telah mengutuskan Muhammad saw di kalangan masyarakat Arab kerana ketika itu masyarakat Arab adalah masyarakat yang paling teruk terpesong daripada ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Hampir kesemua masyarakat mereka menganut ajaran paganisme. Malah, bapa saudara Rasulullah saw, Abu Talib adalah penganut ajaran paganisme yang sangat tegar.

Archbishop Dmitri daripada Gereja Ortodoks Amerika pernah mendakwa Islam adalah pengganti ideal ajaran Arianisme berikutan hampir 100 peratus ajaran Islam menyamai ajaran Arianisme.

Sehingga kini, terdapat masyarakat Kristian selalu menyebut istilah Arian untuk merujuk kepada individu yang mempercayai dan menyayangi Isa as tetapi menolak Nicaean Creed. Arianisme amat sesuai untuk dinyatakan sebagai ajaran yang hampir 100 peratus datangnya daripada nabi Isa as selain bebarapa ‘mazhab’ anti-triniti yang lain. Ajaran Arianisme adalah Islam sebelum datangnya ISLAM.!

 Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad saw) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

%d bloggers like this: