Tag Archive | Sultan Muhammad al-Fatih

6 April 1453..Bermulanya Keruntuhan Kota Konstantinople..

Oleh: takusahrisau

 


Panglima terkenal Perancis, Napoleon Bonaparte(1769-1821) pernah mengungkap kata-kata pujian kepada kota ini,

“If the Earth were a single state, Constantinople would be its capital.” 

 

Caput Mundi

Kata-kata Napoleon ada benarnya. Pada abad pertengahan, Kota Konstantinople adalah kota paling sibuk, kaya dan makmur di dunia. Kota ini dibina oleh Maharaja Constantine(272-337) pada 330 masihi dan kemudian dijadikan sebagai pusat pemerintahan Rom Byzantine. Kota ini kemudian muncul sebagai tempat persinggahan ramai pendagang daripada timur dan barat. Wajah asing di benua Eropah seperti daripada Habsyah, Arab, Mesir,China dan India boleh ditemui di selat Bosphorus. Disebabkan faktor strategik dan kedudukannya daripada segi geografi di peta dunia, barat menggelarkan kota ini sebagai Caput Mundi yang membawa maksud ibu negeri dunia.

Dek kerana lokasinya yang strategi, kota Konstantinople diimpikan oleh setiap panglima daripada seluruh dunia.

 (Ingin sertai takusahrisau’s blog di Facebook?Klik SINI)

Reputasi gah

Kebangkitan Islam pada abad ke-7 dan seterus berkembang pesat sehingga abad ke-15 telah menggerunkan banyak negara. Konstantinople tidak terkecuali. Miskipun kota ini membina reputasi sebagai kota kebal setelah dikepung dan dibedil sebanyak sebelas kali sejak era khalifah Utsman bin Affan ra, mereka tetap bimbang dengan kemungkinan kota ini bakal tumbang di tangan dinasti Uthmaniyyah yang ketika itu berada di kemuncak peradaban.

Kehebatan Kota Konstantinople

Kota Konstantinople memiliki sistem pertahanan yang paling moden pada zamannya. Sejak ia dibina kota ini tidak pernah tumpas ke tangan musuh.  Kota ini dibina berbentuk tiga segi. Dua bahagian luar menghadap Selat Bhosporus dan Laut Marmara manakala bahagian daratan ditutup dengan benteng yang utuh dan berlapis-lapis.

1.   Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Kedalamannya mencapai 10 meter manakala lebarnya seluas 60 meter.
2.   Telah dibina dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Musuh-musuh yang ingin menawan kota ini perlu memusnahkan tembok luar yang setinggi 8 meter dan setebal 10 meter.
3.   Kota Konstantinople diperkuatkan dengan tembok dalam yang setinggi 12 meter dan 15 meter tebal.
4.   Terdapat beberapa menara kawalan sepanjang tembok dalam, masing-masing memiliki ketinggian 60 meter.

Dengan sistem pertahanan yang kukuh seperti ini, amat mustahil kota Konstantinople tumpas melainkan dengan kebijaksanaan dan kesungguhan yang berterusan.

Melihat kepada sistem pertahanan Kota Konstantinople, mustahil ia dapat ditumbangkan apatah lagi dapat ditawan.

Akhirnya Kota Konstatinople tumbang

Miskipun kota Konstatinople dianggap sebagai kota pertahanan paling ampuh di dunia, Namun, dengan kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fatih kota tersebut akhirnya berjaya ditakluki. Setelah kota tersebut dikepung daripada 6 April 1453(Jumaat) sehingga 29 Mei 1453(Selasa), dengan izin Allah swt, kota tersebut jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tentera pimpinannya yang mencecah 300,000 orang. Sultan Muhammad al-Fatih ketika itu baru sahaja menginjak usia 21 tahun.

Sesungguhnya, Allah swt telah menganugerahkan kegeniusan serta keimanan yang teguh kepada beliau sepertimana yang telah diramalkan oleh Rasulullah saw.

Kehebatan Sultan Muhammad al-Fatih

Sepertimana yang diperkatakan sebelum ini, Sultan Muhammad al-Fatih dianugerahi Allah swt dengan akal yang cerdas dan kepimpinan yang berwibawa. Dengan usia yang disifatkan sangat muda, beliau mampu mengepalai seketumbukan tentera dengan begitu hebat. Amat jarang sekali pemuda berusia 21 tahun mempunyai bakat sedemikian rupa.

Daripada beliau, dapatlah kita buat sedikit analisa hasil daripada kejayaan beliau menakluk kota paling diimpikan oleh panglima-panglima daripada seluruh dunia.

1.    Persediaan rapi:

Sultan Muhammad al-Fatih telah membuat persiapan yang cukup rapi bagi mencapai matlamatnya untuk menawan Kota Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fatih telah mengarahkan pembinaan sebuah kota Rumelihisari di pinggir selat Bosphorus pada tahun 1451 iaitu kira-kira tiga tahun sebelum penaklukan bersejarah terhadap kota Konstantinople.

Kota ini dibina bertujuan untuk mengawal trafik selat Bosphorus yang menjadi laluan utama kapal-kapal tentera sekutu Rom Byzantine. Kota yang memiliki tiga menara tinggi menjadi bukti pertama kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fatih khususnya dalam ilmu perang. Ketika kota ini dibina, umur beliau baru sahaja 19 tahun.

Kota Rumeli Hisari yang dibina di hadapan Selat Bosphorus.

2.          Psikologi:

Sultan Muhammad al-Fatih bijak menggunakan kesempatan kelemahan psikologi pihak lawan. Sewaktu di kemuncak pengepungan Kota Konstantinople, Sultan Muhammad al-Fatih telah mengarahkan seorang muazzin untuk melaungkan azan solat.

Laungan yang memecahkan kesunyian tersebut telah mengejutkan tentera musuh yang sedang mengawal di setiap menara dan benteng kota. Lebih mengejutkan tentera Byzantine apabila menyaksikan hampir 10,000 tentera muslimin sedang melaksanakan solat dengan perlu tertib dan tawaduk.

Tentera Byzantine yang menyaksikan kejadian tersebut mulai merasakan lemah semangat dan hilang motivasi seterusnya menandakan musuh telah berjaya dikalahkan sebelum perang bermula.

3.    Visi:

Seorang penakluk dan panglima agung sentiasa mempunyai visi yang luas. Sultan Muhammad al-Fatih tidak terkecuali dalam hal ini. Dengan kewibawaan beliau, beliau mengarahkan kesemua kapal perang yang dianggarkan berjumlah beratus-ratus buah kesemuanya perlu melalui laluan daratan untuk sampai ke Selat Bosphorus.

Idea ini timbul apabila mendapati Selat Bosphorus telah dirantai oleh besi waja dan idea untuk memutuskan rantai tersebut adalah mustahil kerana ia dikawal oleh tentera Byzantine di setiap hujung dan pangkalnya. Untuk memutuskan bahagian tengah pula bertambah mustahil kerana faktor teknologi pada masa itu.

4.          Senjata moden:

Sultan Muhammad al-Fatih memanfaatkan teknologi terkini bagi merealisasikan misinya untuk menawan kota Konstantinople. Diriwayatkan, sebelum perang bermula, seorang jurutera daripada Hungary, Orban telah menawarkan teknologi meriam yang mampu memecahkan tembok besar. Meriam tersebut dihasilkan dengan cukup besar sehingga dikatakan perlu dibawa oleh 60 ekor kerbau. Sepertimana yang dijangkakan, benteng Theodosian akhirnya runtuh dan pecah dibedil oleh meriam gergasi tersebut.

Meriam gergasi dibawa untuk mengebom tembok tebal Kota Konstantinople

5.          Senjata Rahsia


Sultan Muhammad al-Fatih telah menggunakan senjata rahsia yang selama ini belum digunakan oleh beliau. Senjata rahsia tersebut adalah Menara Bergerak. Diriwayatkan bahawa beratus-ratus buah menara bergerak telah digunakan oleh tentera Sultan Muhammad al-Fatih bagi memudahkan mereka memanjat tembok Kota Konstantinople.

6.    Patuh pada ajaran agama

Sultan Muhammad al-Fatih diriwayatkan sebagai sultan yang cukup menjaga setiap tuntutan agama. Beliau diriwayatkan tidak pernah meninggal solat sunat Tahajjud pada waktu malam miskipun ketika itu beliau sedang dalam kempen peperangan. Maka, tidak hairanlah beliau wajar disebut dalam hadis Rasulullah saw yang sangat terkenal,

Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.”  (Hadis riwayat Imam Ahmad)

7.    Ulama memainkan watak utama:

Ulama dan para alim ikut serta dalam peperangan menakluk kota Konstantinople. Antara paling terkenal adalah guru kepada Sultan Muhammad al-Fatih sendiri, Sheikh Shamsuddin. Sheikh Shamsuddin bertindak sebagai penasihat utama dan pembakar semangat kepada beliau dan bala tenteranya. Kalobrasi hebat antara ulama dan umara’ akhirnya berjaya meruntuhkan tembok kebal kota Konstantinople.

Dengan kredibiliti Sultan Muhammad al-Fatih, selepas 54 hari dikepung dan dibedil bertubi-tubi, akhirnya beliau berjaya memasuki kota tersebut di salah satu bahagian kota Konstantinople yang dikenali GerbangTopkapi. Sultan Muhammad terus ke Hagia Sofia dan menyuruh seorang imam melafazkan,

Aku bersaksi di sini bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.

Sejak daripada detik itu, Kota Konstantinople berubah menjadi pusat pemerintahan dan keilmuan Islam. Nama Konstantinople telah ditukar kepada kota Islambul dan kemudian dikenali kota Istanbul. Syiar Islam terus mekar di kota bersejarah tersebut hasil daripada kesungguhan tanpa penat dan lelah Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tenteranya.

______________________________________

Pada 6 April 1453 bersamaan dengan hari Jumaat 27 Rabiul Awwal 857H tentera Turki Othmaniyyah telah mula mengepung kota Konstantinople di Selat Bosphorus. Dalam sirah Islam, percubaan Sultan Muhammad al-Fatih adalah kali ke-6 setelah penaklukan pertama dilaksanakan semasa era Saidina Uthman bin Affan ra. Setelah 54 hari pengepungan, pada tanggal 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857H, Kota Konstantinople tumbang dan jatuh ke tangan Islam. Detik ini menjadi saksi kepada tumbangnya kerajaan Rom Byzantine dan terhakisnya pengaruh ajaran Kristian Eastern Orthodox yang dianuti mereka.

________________________________

Segalanya lebih menarik di

Antara Abu Ayub al-Ansari dan Sultan Muhammad al-Fatih..

Oleh: takusahrisau

 

Sahabat Rasulullah saw bagaikan cahaya pelita yang menerangi malam yang gelap. Mereka adalah sumber kepada hadis dan juga pendengar wahyu Allah yang paling awal. Daripada mereka, umat Islam memperoleh kesinambungan ilmu tauhid yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Tidak seperti sahabat Nabi Isa as, mereka taat perintah nabi dan langsung tidak mengubah sebarang aturan agama yang diasaskan oleh baginda nabi saw.

Mereka adalah pembela agama dan Rasul-Nya. Mereka tidak gentar dengan kematian malahan mereka amat mengimpikan kematian di medan perang. Bagi mereka, mati di medan perang adalah syahid, dan syahid itu pahalanya adalah syurga.

Ketaqwaan dan kezuhudan mereka tiada tolak bandingnya. Mereka berlumba-lumba untuk mencari keredhaan Allah swt. Masjid sentiasa penuh dengan sahabat-sahabat Rasulullah saw. Situasi seperti itu tidak pernah terjadi kepada umat Muhammad pada masa kini. Bergitulah hebatnya keperibadian sahabat-sahabat Rasulullah saw. Jasa mereka sangat besar dalam perkembangan syiar Islam.

Sahabat Nabi saw banyak yang dikurniakan karamah dan kelebihan. Ia adalah anugerah Allah swt kerana ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Terdapat pelbagai kisah yang boleh dijadikan pedoman namun pada kali ini penulis ingin menukilkan satu kisah yang sangat menarik untuk dikongsikan bersama. Ia adalah kisah keajaiban sahabat Rasulullah saw, Abu Ayub al-Ansari ra. Untuk pengetahuan semua, Abu Ayub al-Ansari antara sahabat yang dikurniakan keberkatan umur yang sangat panjang selain seorang lagi sahabat Nabi saw, Anas bin Malik ra.

 

Abu Ayub al-Ansari

Abu Ayub al-Ansari ra adalah sahabat Rasulullah daripada kaum Ansar. Abu Ayub memiliki nama asalnya iaitu Khalid bin Zaid bin Khulaib. Digelarkan Abu Ayub adalah kerana bagi memuliakan keturunannya. ‘Abu Ayub’ membawa maksud ‘bapa kepada Ayub’.

Beliau yang berasal daripada bani Najjar lahir pada 587M iaitu 16 tahun lewat daripada tahun kelahiran Rasulullah saw. Abu Ayub adalah seorang sahabat yang amat mulia. Beliau dan isterinya adalah sekelompok sahabat Rasulullah saw yang membela kemuliaan Saiyiditina Aisyah ra semasa berlakunya gelombang fitnah yang tercetus selepas peristiwa Peperangan al-Muraisi. Beliau membidas ketua munafik, Abdullah bin Ubai yang bertanggungjawab mengugat kemuliaan ummul mukminin yang dituduh berkhalwat dengan Safwan bin al-Muattol.

Rasulullah saw amat menyayangi Abu Ayub dan keluarganya. Rasulullah saw diriwayatkan tinggal di rumah Abu Ayub selepas berhijrah ke Madinah. Bergitu juga Abu Ayub dan keluarganya. Mereka menyayangi Rasulullah saw sepenuh hati sehingga tidak tersisa walau sedikitpun.

 

Wasiatnya di Constantinople

Abu Ayub al-Ansari tidak pernah terlepas daripada menyertai sebarang peperangan sejak zaman Rasulullah saw sehingga ke zaman Khulafa ar-Rashidin dan seterusnya menginjak ke zaman Kekhalifahan.

Dalam kempen menyebarkan syiar Islam ke Constantinople, Abu Ayub al-Ansari tidak mahu terlepas daripada menyertai kempen jihad fisabillah tersebut. Peperangan tersebut berlaku pada 674M semasa pemerintahan dinasti Umaiyyah. Ketika itu, umur Abu Ayub sangat tua iaitu dalam lingkungan 98 tahun. Miskipun uzur, Abu Ayub tetap berkeras mahu turut ikut serta dalam kempen bersejarah tersebut. Kempen tersebut diketuai oleh anak kepada Muawiyyah bin Abi Sufian, Yazid bin Muawiyyah.

Dalam kempen tersebut, Abu Ayub mengalami keuzuran yang sangat teruk. Beliau tidak mampu untuk menggalas pedang bagi meneruskan perjuangan bersama-sama tentera-tentera Islam yang lain. Abu Yazid bin Muawiyyah datang kepadanya dan bertanya,

Adakah tuan mahu apa-apa wahai Abu Ayub?

Sahabat Rasulullah saw yang mulia ini menjawab,

Sampaikan salamku kepada seluruh tentera Islam dan beritahulah mereka, Abu Ayub mahukan mereka menembusi seberapa jauh tembok Constantinople sehingga mereka beroleh kemenangan dan mengebumikan mereka(tentera Kristian Rom Byzantine) di bumi Constantinople.

 

Kemudian apabila keadaannya berada dalam keadaan cukup tenat, beliau berwasiat untuk dikuburkan di luar tembok Constantinople. Ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan di tembok tersebut, beliau berkata kepada panglima tentera  Umaiyyah:

Aku mendengar baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.

Kata-kata akhir daripada Abu Ayub tidak terhenti di situ tapi terus diingati Berita kematiannya semasa kempen di Constatinople tersebar seiring wasiat akhinya. Ia masih diingati dan terus menerus disebar secara lisan sehinggalah ke zaman pemerintahan kekhalifahan Turki Uthmaniyyah.

Berkali-kali pemimpin muslim melancarkan serbuan ke atas kota Constantinople, namun tidak berjaya.

 

 

 

 

Kota Constantinople ditakluk

Kota Constantinople sentiasa diimpikan setiap panglima. Napoleon Bonaparte(1769-1821) pernah menyatakan bahawa jika beliau mampu menawan Constantinople(pada masa itu dikenali Islambol dan kemudian ditukar nama kepada Istanbul oleh Mustapha Kamal Antarturk), beliau berupaya untuk menawan bahagian Timur dan Barat dunia.

Berkata Napoleon Bonaparte,

If the Earth were a single state, Istanbul would be its capital”

Daripada sudut geografi dan logistik, Constantinople berada di tempat yang amat strategik iaitu di tengah-tengah perdagangan antara timur dan barat. Dan kata-kata Napoleon Bonaparte ada kebenarannya.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda bahawa ketika menggali Parit Khandaq,

 “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

 

Ramai sahabat yang mendengar kata-kata karamat Rasulullah saw tersebut termasuk Abu Ayub ra. Hadis ini sentiasa menjadi pemangkin kepada ramai pemimpin Islam termasuk Umar al-Khattab, Muawiyah dan ramai lagi. Namun, Allah swt Maha Berkuasa. Allah swt telah mentakdirkan seorang yang mampu menumbangkan kekuatan dan kesombongan Rom Byzantine. Beliau adalah Sultan Muhammad II al-Fatih. Sultan yang tergolong sebagai sultan paling adil di samping Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Nuruddin Zangki ini telah menawan kota Constantinople pada usia yang cukup muda iaitu 19 tahun. Beliau juga diriwayatkan tidak pernah meninggal solat fardhu dan solat tahajjud sejak beliau baliqh. Benarlah ramalan Rasulullah saw bahawa beliau adalah sebaik-baik raja. AllahuAkbar!

Sultan Muhammad II yang digelar Sultan Muhammad al-Fatih.

 

 

 

Penemuan makam Abu Ayub al-Ansari

Aku mendengar baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.

Berikut adalah ucapan wasiat terakhir daripada sahabat Rasulullah saw yang mulia, Abu Ayub al-Ansari. Abu Ayub al-Ansari telah ditunaikan wasiatnya untuk dikuburkan diluar tembok kukuh kota Constantinople.

Cerita makam Abu Ayub di luar kota Constantinople telah menarik minat Sultan Muhammad II. Ingin benar baginda menemui makam sahabat nabi itu. Untuk itu, Sultan Muhmmad II telah meminta nasihat daripada ulama baginda, Sheikh Agha Samsuddin.

Sultan Muhammad II mengetuai pasukannya untuk menawan kota Constantinople pada usia 19 tahun.

 

 

 

Sheikh Agha Samsuddin adalah guru Sultan Muhammad II sejak daripada kecil dan beliau sering memberi nasihat berkaitan agama mahupun politik kepada baginda. Sheikh Agha Samsuddin diriwayatkan memiliki kekaramahan dan keberkatan doa. Ia sesuai dengan jalur keturunannya yang sampai kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Sheikh Agha Samsuddin telah berkata kepada Sultan Muhammad II selepas diminta untuk mengenalpasti makam Abu Ayub al-Ansari,

Bahawasanya aku lihat pada suatu  tempat akan nur, mudah-mudahan kuburnya itu di situlah

Sheikh Agha Samsuddin dan Sultan Muhammad II pergi ke tempat itu dan sejurus dia bertawajjuh(memusatkan perhatian kepada Allah swt), lantas beliau berkata lagi,

Berhimpunlah dengna rohnya, maka bersyukur ia akan daku dengan pembukaan(pembukaan kota Istanbul) ini.

Kemudian Sultan Muhammad II maju ke hadapan kepada tuan gurunya dan berkata,

Wahai tuan guru, saya mahu tuan guru tunjukkan kepada hamba satu alamat yang boleh saya boleh lihat dengan mata dan hati saya.

Mendengar permintaan Sultan Muhammad II, Sheikh Agha Samsuddin kembali bertawajjuh. Setelah beberapa ketika, ia bangun dan berkata,

Gali kamu semua pada tempat ini, iaitu pada bahagian kepala sedalam dua hasta. Nescaya, akan timbullah batu nisan bertulisan dalam bahasa Ibrani.

Tentera Sultan Muhammad II terus bergegas menggali tempat yang ditunjuk oleh Sheikh Agha Samsuddin. Beberapa minit kemudian, tampak dengan jelas sebatang batu nisan bertulisan Ibrani. Beberapa tentera yang memahami bahasa Ibrani yakin bahawa ia adalah makam Abu Ayub al-Ansari.

Makam Abu Ayub al-Ansari.

 

 

Kemudian, datang Sultan Muhammad II ke tempat yang dikatakan kubur Abu Ayub al-Ansari. Baginda hampir rebah kerana terlampau takjub tetapi mujurlah pegawai baginda sempat memegang baginda. Sultan Muhammad II kemudian menitahkan supaya dibina masjid di sisi makam sahabat Rasulullah saw tersebut. Masjid tersebut kekal sehingga ke hari ini.

Kisah penemuan kubur Abu Ayub al-Ansari menunjukkan pertemuan rohaniah antara dua tokoh yang berjuang semata-mata mahu mendapat keredhaan Allah swt. Kekaramahan sahabat Rasulullah saw tersebut jelas berlaku daripada peristiwa yang hebat ini. Sepertimana wasiat terakhir Abu Ayub al-Ansari yang menyatakan mahu ‘mendengar’ derapan kuda raja yang Rasulullah saw nyatakan sebagai sebaik-baik raja. Ia mungkin metafora kepada keterujaan Abu Ayub untuk menemui ajal di jalan Allah.

Namu bergitu, kita perlu sedar bahawa orang yang syahid di medan perang sentiasa ‘hidup’ seperti firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 169,

Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. 

 

 

Penutup

Kota Constantinople tumbang selepas dibedil dan dikepung oleh 260,000 tentera muslim Turki Othmaniyyah selama 53 hari iaitu pada hari Jumaat, 6 April 1453 sehingga Selasa, 29 Mei 1453. Selepas penawanan tersebut, kota tersebut terus ditukar namanya kepada Islambol yang membawa maksud Islam Keseluruhan.

Sultan Muhammad II telah menjadi simbol Turki dan Islam sehinggalah ke hari ini. Beliau digelar Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Muhammad yang Agung. Sultan Muhammad II meninggal dunia pada usia yang boleh disifatkan cukup muda iaitu 49 tahun. Baginda meninggal dunia pada hari Jumaat, 3 Mei 1481 dipercayai telah diracun oleh doktor baginda sendiri. Jacob Pasha, seorang Kristian daripada Itali yang memeluk Islam. Diriwayatkan bahawa Jacob Pasha telah dihukum pancung oleh kerajaan Turki Othmaniyyah. Sultan Muhammad II telah dimakamkan di Turbe(sejenis bilik pemakaman tradisi Turki Othmaniyyah). Ia ditempatkan di Komplek Masjid al-Fatih.

 

~ Penulisan artikel ini adalah untuk mengenang pembukaan kota Istanbul yang memulakan kempen pada tanggal 6 April 1453. Pembukaan Kota Istanbul telah menamatkan penguasaan perdagangan rempah kerajaan Kristian Eropah di Selat Bosphorus. Ia juga telah menamatkan sesuatu yang lebih besar iaitu menamatkan kerajaan Kristian Rom Byzantine di timur. Kita benar-benar terhutang budi kepada dua watak penting dalam pembukaan kota Istabul iaitu perintisnya, Abu Ayub al-Ansari dan pembukanya, Sultan Muhammad al-Fatih.

%d bloggers like this: