Peristiwa Ketidakpuasan Hati Golongan Ansar terhadap Rasulullah saw di Perang Hunain..


Oleh: takusahrisau

Setelah kemenangan di Perang Hunain di pihak Muslimim, maka berlaku pembahagian harta rampasan perang di kalangan mujahiddin. Sebagai ketua angkatan perang, Rasulullah saw dengan hikmah dan kebijaksanaan baginda telah membahagi harta rampasan tersebut kepada mereka yang terlibat.

Namun, berlaku peristiwa yang tidak enak yang mana telah mengundang rasa tidak puas hati sesetengah sahabat baginda daripada golongan Ansar. Baginda Rasulullah saw telah membahagikan ghanimah kaum Hawazin yang telah ditewaskan kepada kaum Quraisy, Ghatfan dan Tamim dengan jumlah yang cukup banyak. Setiap pemimpin daripada ketiga-tiga kaum tersebut telah mendapat 100 ekor unta setiap seorang. Jika dihitung dengan jumlah harta pada masakini ia menyamai jumlah 500,000 dirham.!

Antara pemimpin yang mendapat manfaat daripada pemberian harta yang banyak ini adalah Abu Sufyan bin Harb ra, Suhail bin Amru ra, Hakim bin Hizam ra, Safwan  bin Umaiyah ra, ‘Uyainah bin Hashan al-Fazzari ra, Al-Aqra’ bin Habis ra, Muawiyyah bin Abu Sufyan ra dan Qais bin Adiy ra.

Sebahagian golongan Ansar daripada Madinah yang turut menyertai peperangan ini menerima kesan daripada pembahagian ghanimah tersebut. Mereka lantang menyatakan rasa tidak puas hati dan menceritakan ketidakadilan Rasulullah saw dalam pembahagian harta pada perang kali ini. Namun, mereka tidak berani untuk bersuara secara bersemuka kepada Rasulullah saw.

Rasulullah saw mendapat berita

Tidak beberapa lama kemudian, Rasulullah saw mendapat berita yang tidak enak ini daripada seorang sahabat bernama Sa’ad. Sa’ad melaporkan kepada Rasulullah saw berkenaan rasa tidak puas hati di kalangan golongan Ansar.

“Wahai Rasulullah saw. Sesungguhnya perkampungan ini daripada An-Ansar dan mereka telah berkecil hati di atas tindakan kamu dengan harta rampasan perang yang diperolehi. Kamu memberikan kepada kaum kamu dengan pemberian yang cukup banyak, sedangkan golongan Ansar tidak memperolehi barang sedikit sekalipun.”

Rasulullah saw bersabda,

“Maka, di pihak mana kamu daripada yang demikian wahai Sa’ad?”

Jawab Sa’ad,

“Aku tidak lain, melainkan di pihak kaumku wahai Rasulullah saw”

Setelah itu, Rasulullah saw menyuruh seluruh kaum Ansar datang kepadanya dan kaum serta sahabat-sahabat daripada bukan golongan Ansar tidak dibenarkan datang berkumpul.

Kubur syuhuda Hunain.

(Ingin sertai takusahrisau’s blog di Facebook?Klik SINI)

Kebijaksanaan Rasulullah saw

Dalam menghidapi situasi genting seperti ini, seorang ketua perlu menunjukkan kebijaksanaan dalam berhujah serta perlu memiliki jawapan yang konkrit bagi menjinakkan hati mereka yang tidak berpuas hati. Rasulullah saw telah dilengkapkan oleh Allah swt dengan kebijaksanaan luar biasa dalam berhujah serta berkomunikasi. Insiden di Hunain adalah salah satu keistimewaan Rasulullah saw yang wajar dijadikan tauladan kepada setiap muslimin pada hari ini.

Ungkapan kata-kata indah Rasulullah saw berjaya melembutkan hati saubari mereka sehinggakan ramai di kalangan mereka menangisi perbuatan mereka yang telah membelakangkan Rasulullah saw.

Setiap butir bicara Rasulullah saw yang tenang dan teratur telah mencetuskan suasana keharuan di lubuk hati para Ansar. Sabda Rasulullah saw,

 “Kamu marah, saudara-saudara Ansar, hanya karena sekelumit harta dunia yang hendak aku berikan kepada orang-orang yang perlu dijinak hatinya agar mereka sudi masuk Islam, sedang keislamanmu sudah sedia kukuh.

 

Tidakkah kamu rela saudara-saudara Ansar, apabila orang-orang itu pergi membawa kambing, membawa unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu?

Maka demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, apa yang mereka perolehi tidaklah lebih baik daripada apa yang kamu perolehi!

 

Kalau tidak kerana hijrah, tentu aku termasuk orang Ansar. Jika orang ramai melalui suatu jalan di celah-celah gunung, dan Ansar melalui jalan yang lain, nescaya aku akan melalui jalan orang Ansar.

 

Golongan Ansar ini seperti pakaian dalamku, dan orang lain seperti di pakaian luar.(Menunjukkan betapa dekatnya Rasulullah saw dengan golongan Ansar)

 

Allahumma ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan cucu-cicit Ansar.

Jawapan yang diberikan Rasulullah saw telah membuatkan jiwa mereka remuk redam Mereka menangis sehingga air mata mereka membasahi janggut mereka. Seorang tua daripada Ansar berkata,

“Kami telah meredhai Rasulullah saw sebagai bahagian dan pemberian kepada kami”.

Tujuan menjinakkan hati

Peristiwa di Hunain ini adalah peristiwa di mana pemberian harta rampasan perang yang terlampau banyak kepada kaum Quraisy dan beberapa kaum lain yang baru memeluk Islam disifatkan oleh kaum Ansar sebagai mengabaikan kebajikan mereka. Sehingga ada di kalangan mereka berkata-kata sebagaimana demikian,

“Semoga Allah swt mengampuni Rasulullah saw. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy dan meninggalkan kami dengan tiada memberi apa-apa sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah”

Rasulullah saw dengan rahmat daripada Ilahi bukan sengaja membuat perancangan sedemikian. Mana mungkin Rasulullah saw mengabaikan golongan Ansar yang mana kebanyakan daripada mereka telah bersama-sama dalam Perang Badar dalam membela agama Allah.

Rasulullah berbuat sedemikian adalah untuk memujuk serta menjinakkan hati para ‘muallaf’ yang baru sahaja memeluk Islam. Iman mereka sangat luntur dan bakal terhakis jika Rasulullah saw melebihkan golongan Ansar daripada mereka.

Dalam situasi ini, seorang sahabat Rasulullah saw yang ketika baru sahaja memeluk Islam, Safwan bin Umaiyah ra pernah berkata,

“Sesungguhnya Rasulullah saw telah memberikan apa yang diberikan kepadaku dan baginda adalah orang yang paling aku benci(sebelum Islam), maka baginda sentiasa memberikan kepadaku sehingga baginda menjadi insan yang paling aku kasihi”

 

Sesungguhnya Rasulullah saw adalah sebaik-baik insan dan sebijak-bijak pemimpin yang pernah hidup di muka bumi. Segala perilaku dan perbuatan Rasulullah saw adalah daripada wahyu Allah swt. Inilah role model yang wajar kita contohi dan diteladani. Semoga peristiwa di Hunain dapat diambil ikhtibar oleh kita semua.

__________________

Rujukan

[1]   Riwayat Muslim, bab Ghazwah Hunain(3/1403 no. 1778).

[2]   Zad Al Ma’ad(3/497), Sahih as-Sirah an-Nabawiyyah(566).

[3]   At-Tarikh al-Islami – Humaidi(8/62).

[4]   Biografi Rasulullah saw, Paparan & Analisis Peristiwa-Peristiwa, Dr. Ali Muhamad as-Salabi terjemahan oleh Ariffin Ladari, m/s 303 sehingga 306 bab Harta Rampasan Wasilah untuk Menjinakkan Hati-Hati.

________________________________

Segalanya lebih menarik di

Tags: , , ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

Leave a comment