Kontroversi Malaysia-Indonesia 1962-1966!


Oleh: takusahrisau

 

Banyak di antara kita masih belum mengetahui bahawa Malaysia pada tahun 1960-an hampir berperang dengan negara jiran kita, Indonesia. Malaysia yang ketika itu baru setahun jagung telah diasak oleh Indonesia dengan pelbagai tuduhan dan fitnah. Lama kelamaan ia bertukar menjadi semakin parah apabila Indonesia yang ketika itu diketuai oleh Presiden Sukarno mengistiyharkan slogan ‘Ganyang Malaysia’ yang kemudiannya memulakan api konfrantasi Malaysia–Indonesia daripada tahun 1962 sehingga 1966. Konfrantasi itu tidak ubah seperti Perang Dingin Amerika Syarikat-Soviet yang kebetulannya juga meletus pada saat itu.

 

Antara bukti bahawa konflik antara Malaysia-Indonesia semakin meruncing.

 

 

Api Kemarahan Sukarno

Semuanya bermula apabila Presiden Sukarno sangat  menginginkan sebuah wilayah yang besar yang mana ia merangkumi seluruh kepulauan Melayu untuk membentuk Indonesia Raya atau Great Indonesia. Namun, cita-cita presiden yang mesra digelar Bung Karno ini tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Ia merencatkan niat Sukarno dan ia seterusnya membangkitkan api kemarahan beliau. Presiden yang terkenal dengan sifat agresif ini akur dengan keengganan Malaysia untuk bergabung dengan Indonesia apabila Malaysia diistiyharkan secara rasminya pada 16hb September 1963 selepas Sabah dan Sarawak bersetuju bergabung.

Sukarno sebenarnya tersinggung apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Malaysia sebelum hasil pungutan suara mengenai penubuhan Malaysia yang dilakukan oleh PBB dikeluarkan secara rasmi. Ini berlaku kerana Tunku tidak mahu menunggu lebih lama kerana ia bakal merencatkan niat Tunku untuk menubuhkan negara Malaysia yang berdaulat(tanpa perlu bergabung dengan Indonesia). Inilah antara jawapan kenapa Malaysia ditubuhkan tergesa-gesa pada 16hb September 1963 dan tidak pada 31hb Ogos 1963 atau 31hb Ogos 1964.

Dalam pembentukan Indonesia Raya, Sukarno memiliki pendirian yang tersendiri. Beliau menyatakan bahawa Malaysia adalah alat boneka British dan penjajah asing. Kekayaan Malaysia diragut oleh penjajah dan rakyatnya pula kebuluran. Oleh itu, Malaysia perlu di’bersihkan’ oleh British dengan satu cara iaitu bergabung dengan Indonesia.

 

Daripada Perang Mulut sehingga kepada Perang Bersenjata

Sukarno sudah tidak tahan dengan kerenah Malaysia pada ketika itu lebih pro-barat. Atas arahan Sukarno, mereka telah melancarkan perang gerila terhadap Malaysia. Terdapat beberapa lokasi pendaratan tentera Indonesia di Malaysia seperti:

1.         Pasukan payung terjun Indonesia telah mendarat di sebuah pantai di Johor pada 17hb Ogos 1964.

2.         Kemudian pada 2hb September 1964, pasukan payung terjun mereka mendarat di Labis, Johor.

3.         Pada 29hb Oktober 1964, pasukan payung terjun mereka mendarat pula di Pontian.

4.         Pada pertengah 1965, komando daripada TNI telah cuba menceroboh sempadan Malaysia melalui Tawau untuk mensabotaj Kem Rejimen Askar Melayu Diraja. Akan tetapi ia telah disedari oleh unit polis poranda dan kem tersebut terselamat daripada aktiviti sabotaj.

Pandangan dari udara selepas pertempuran askar Malaysia-Indonesia di Kalimantan.

 

Niat mereka untuk melakukan gerila tidak berjaya kerana Malaysia telah bersiap sedia dengan bantuan daripada skuad elit daripada British dan Australia. Malaysia juga melengkapi pertahanan negara dengan Askar Wataniah, Rajimen Askar Melayu Diraja, Ranjer Hutan, Polis Bantuan dan Pasukan Polis Marin. Pasukan payung terjun mereka berjaya ditahan dan ditangkap sebelum mereka dapat bergabung dengan agen-agen mereka di Malaysia untuk membentuk pasukan gerila ala komunis.

Sebenarnya dalam peristiwa pendaratan pasukan elit payung terjun Indonesia di lokasi-lokasi di Johor dan Sabah bukan sedikit nyawa yang terkorban. Berlaku pertumpahan darah daripada kedua-dua pihak termasuk askar bantuan daripada British dan Australia. Bunyi tembakan bertalu-talu di hutan di Johor dan Sabah membuatkan rakyat di kawasan sekitar ketakutan. Mereka hilang mata pencarian kerana perintah berkurung di kawasan tersebut.

Seorang askar Melayu mengangkat mayat askar TNI yang mati ditembak.

 

Unit risikan Malaysia

Malaysia telah menghantar unit risikan khas secara sulit ke Indonesia dan ke seluruh negara bagi menghalang tindak-tanduk Indonesia ke atas Malaysia. Unit risikan yang ditubuhkan lebih bertumpu kepada rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia. Kemuncak konfrantasi tersebut telah membuktikan lebih ratusan imigran daripada Indonesia ditangkap bagi sesi soal-siasat.

Bagi kerajaan Malaysia, mereka melihat Presiden Sukarno sebagai pro-komunis dan pro-Soviet. Tambahan pula, Indonesia merupakan pengkalan parti Komunis ketiga terbesar di dunia selepas USSR dan China. Ini membangkitkan perasaan gusar kepada Tunku dan pemimpin Malaysia pada ketika itu.

Parti Komunis tidak pernah diharamkan di Indonesia sepertimana di Malaysia sehingga Jeneral Suharto memegang jawatan Presiden Indonesia kemudian hari.

Sebenarnya, pengharaman Parti Komunis menyebabkan mereka bakal melanggar undang-undang NASAKOM(Nasional, Agama dan Komunisme) dan Sukarno tidak akan sesekali membenarkan ia berlaku.

 

Gagalnya misi Sukarno

Kegagalan Indonesia untuk memerangi Malaysia pada 1960-an telah menyebabkan wujud pelbagai kontroversi dan konspirasi. Sukarno ternyata tidak berpuas hati dengan Jeneral-jeneral Turus Angkatan Darat Indonesia semasa misi menceroboh sempadan Malaysia pada 1964. Sukarno menyifatkan pemimpin ketenteraan Indonesia tidak sepenuh jiwa berperang dan menyempurnakan misi yang diamanahkan Sukarno.

Panglima Angkatan Darat Letjen TNI, Ahmad Yani telah beberapa kali menyatakan bahawa beliau tidak sudi untuk berperang dengan Malaysia kerana Malaysia pada ketika itu dilengkapi dengan kekuatan-kekuatan daripada British dan askar-askar negara Komanwel. Ini menimbulkan suasana tegang antara beliau dan Sukarno. Ini turut berlaku kepada beberapa lagi jeneral-jeneral Indonesia seperti Mayjen TNI R. Suprapto, Mayjen TNI M.T. Haryono, Mayjen TNI Siswondo Parman, Brigjen TNI DI Panjaitan, Brigjen TNI Sutoyo Siswomiharjo dan Jeneral Besar TNI Abdul Haris Nasution serta bakal presiden Indonesia kedua, Jeneral Suharto.

Allahyarham Jeneral Abdul Haris Nasution

 

Peristiwa Pemberontakan 30 September

Susulan kegagalan misi ketenteraan Sukarno di Malaysia, Sukarno mengalih pandangannya kepada parti Komunis Indonesia yang sering didukungnya. Prinsip Sukarno yang ternyata berbeza dengan kebanyakkan pemimpin-pemimpin ketenteraan Indonesia menyebabkan kerusi politik beliau bergoyang menjelang tahun 1965.

Sukarno pada masa itu juga sudah hilang pengaruhnya di pentas politik antarabangsa selepas menarik diri daripada menganggotai PBB kerana tersinggung dengan penyertaan Malaysia sebagai badan bebas PBB.

Atas memegang prinsip politik yang agresif, Sukarno dikatakan menjadi tulang belakang kepada tindakan agresif PKI(Parti Komunis Indonesia) yang meragut nyawa enam Jeneral besar Indonesia pada 30 September 1965. Beberapa nyawa lain turut melayang termasuk anak perempuan Abdul Haris Nasution.

Walaubagaimanapun, Abdul Haris Nasution yang juga pengarang buku taktik ketenteraan terkenal Fundamental of Guerilla Warfare ini terselamat selepas berjaya meloloskan diri dengan terjun daripada trak yang sedang bergerak laju.

Nyawa enam Jeneral yang malang telah diseksa dengan cukup kejam dan terdapat sumber menyatakan kemaluan mereka turut dikasi dan mata pula dicungkil keluar. Mayat mereka kemudian dihumban ke dalam sumur kecil di sebuah desa yang dikenali Lubang Buaya.

 

Impak Kejadian 30 September 1965

Peristiwa ini merupakan detik penting dalam pengolakan politik Indonesia sehingga jatuhnya karier politik Sukarno. Politik Indonesia telah diselamatkan daripada terus menjadi hak milik Parti Komunis apabila Jeneral Suharto bangkit merampas kuasa pada 1965. Beliau sendiri pergi ke Lubang Buaya melihat jenazah rakan-rakan seperjuangannya di bawa keluar daripada sumur tersebut.

Peristiwa kekejaman di Lubang Buaya sangat bermakna buat rakyat Malaysia kerana ia merupakan detik awal kekenduran konfrantasi Malaysia-Indonesia susulan jatuhnya Sukarno dan bubarnya Parti Komunis Indonesia. Jeneral Suharto yang bangkit merampas kuasa telah memenjarakan Sukarno di rumahnya dan mula memulihkan hubungan Malaysia-Indonesia.

Sejak itu, konfrantasi Indonesia-Malaysia tidak lagi tercetus sehingga baru-baru ini selepas kombinasi beberapa kejadian yang membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia. Namun, ia tidak pernah seburuk kejadian yang berlaku semasa 1960-an dahulu.

 

Nota kaki: Peristiwa Lubang Buaya juga masih lagi diselubungi konspirasi kerana terdapat dakwaan menyatakan ia telah dilakukan oleh agen-agen CIA di Indonesia dan kemudian menuduh PKI melakukannya. Operasi ini sering dilakukan pada tahun 1960-an oleh CIA di negara-negara yang dipengaruhi ideologi Komunisme. Operasi ini dikenali false-flag operation.

 

Tags:

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

Leave a comment