Benarkah Nabi Musa as Gagap?


Oleh: takusahrisau

 

Artikel ini diambil daripada blog penulis, www.takusahrisau.com. Penulis ingin mengumpul kembali sejumlah artikel yang dihasilkan di blog tersebut untuk dikumpulkan kesemuanya di SINI. Dianggarkan lebih kurang 100 artikel panjang dan pendek telah di hasilkan di www.takusahrisau.com. 

 

 

Mukadimah

Nabi Musa as terkenal sebagai antara nabi yang tergolong sebagai nabi atau rasul ulul azmi . Nabi atau Rasul yang tergolong dalam kategori ulul azmi adalah mereka yang memiliki kesabaran yang tinggi dan tabah menghadapi cabaran daripada kaumnya. Selain daripada Nabi Musa as, Nabi Muhammad saw, Nabi Isa as, Nabi Ibrahim as dan Nabi Nuh as juga tergolong dalam kategori Rasul ulul azmi .

Kisah tentang Nabi Musa as banyak diceritakan dalam kitab suci al-Quran. Kisah mengenai perjalanan hidup Nabi Musa ada diceritakan di dalam surah Toha  manakala kisah pertemuan antara Nabi Musa dan Nabi Khidir ada diceritakan dalam surah al-Kahfi. Selain itu, banyak lagi nama Musa as disebut oleh Allah swt secara langsung atau tidak langsung di dalam firman-firman-Nya. Tidak salah untuk dikatakan bahawa kisah mengenai Musa as adalah antara kisah yang paling banyak diceritakan di dalam al-Quran.

Musa as adalah nabi yang utama dalam tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Ketiga-tiga agama ini mengangkat Musa as sebagai nabi utama mereka. Walaubagaimanapun, berbanding agama Islam dan Kristian, agama Yahudi adalah agama yang paling mengagungkan Nabi Musa as kerana penganut Yahudi percaya bahawa Musa as adalah pengasas ajaran Yahudi sepertimana Nabi Muhammad saw sebagai pengasas ajaran Islam dan Nabi Isa as sebagai pengasas ajaran Kristian.

Namun, tahukah pembaca semua bahawa Nabi Musa as adalah seorang yang gagap? Atau dalam erti kata lain Nabi Musa as mempunyai masalah dengan pertuturannya. Mungkin kita sebagai umat Islam tidak didedahkan mengenai perkara ini kerana bimbangkan ia berdosa kerana memperkecilkan kewibawaan seorang Rasul. Percayalah, miskipun Nabi Musa as seorang yang gagap, ia langsung tidak menjejaskan kewibawaan dan keterampilan baginda sebagai seorang Rasul dan pemimpin umat Yahudi dek kerana mukjizat-mukjizat yang terlampau banyak telah dianugerahkan kepada baginda. Penulis sendiri pada mulanya takut serta bimbang untuk menulis artikel ini, namun, atas dasar ingin berkongsi pengetahuan dan ilmu, penulis berdoa semoga penulisan artikel ini membantu pembaca di luar sana menghayati sirah-sirah nabawi.

Dengan lafaz bismillah, penulis mengharapkan pendedahan ini tidak dikaitkan dengan penghinaan Rasul. Percayalah ini bukan penghinaan tetapi suatu anugerah Allah swt kepada Musa as kerana kisah di sebalik kegagapan Nabi Musa as terkandung hikmah yang cukup besar.

 

Berdasarkan dalil al-Quran

Perlu diingatkan kepada pembaca semua bahawa kisah Musa as ini langsung tidak terkait dengan Israilliyat atau dogengan Yahudi. Kisah mengenai Musa as yang mengalami gagap ini ada diceritakan Allah swt dalam al-Quran dalam surah Toha  ayat 27.

Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku,

Dalam surah Toha , Nabi Musa telah mengadap Allah di satu lembah yang suci di Thuwa. Ada sumber mengatakan ia berada di Jabal Musa,Mesir dan ada juga sumber mengatakan ia berada di Bukit Zaitun, Palestin. 

12. Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua terompahmu; sesungguhnya kamu berada dilembah yang suci, Thuwa. 

Dalam perdebatan Nabi Musa as dengan Allah swt di lembah Thuwa itu, Nabi Musa telah diberikan dua mukjizat yang utama iaitu tongkat yang boleh berubah bentuk kepada ular dan tangan baginda yang boleh mengeluarkan cahaya putih.

Dalam perdebatan itu juga, Nabi Musa as telah memohon kepada Allah swt tiga perkara setelah Allah swt memerintahkan Musa as untuk menyeru seruan tauhid kepada Firaun laknatullah. Tiga permohonan Musa as itu adalah:-

1.         Doa dilapangkan dada dan dipermudahkan urusan

25. Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku

26. dan mudahkanlah untukku urusanku

 

2.        Doa untuk dijadikan Harun as sebagai pembantu baginda

Ia diikuti pula dengan pemohonan Musa as kepada Allah swt untuk mengangkat Harun as selaku pembantunya dan seterusnya menjadi seorang Rasul Allah. Ia terkandung dalam ayat 29-34 dalam surah Toha .

29. dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku,

30. (yaitu) Harun, saudaraku, 

31. teguhkanlah dengan dia kekuatanku,

32. dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku,

33. supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau,

34. dan banyak mengingat Engkau.

 

3.        Doa untuk menghilangkan kegagapan percakapannya

Dan permohonan Musa as yang ketiga adalah untuk menghilangkan kegagapan lidahnya. Dalam ayat 27-28 surah Toha  telah terkandung doa daripada Musa as kepada Allah swt.

27. dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku

28. supaya mereka mengerti perkataanku,

 

Walaubagaimanapun, menurut Ibnu Kathir, Musa as tidak memohon agar kekurangan dirinya itu dihilangkan secara keseluruhan, tetapi meminta agar dihilangkan kekakuan lidahnya hanya untuk orang kafir memahami apa yang diucapkan oleh Musa as.

Ia amat bersesuaian dengan satu lagi ayat Allah swt dalam surah Az-Zukhruf ayat 52 yang bermaksud;

52. Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?

 

Dalam ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa Musa as masih lagi mempunyai kesukaran untuk mengucapkan sesetengah perkataan sepertimana yang diungkap oleh Firaun dalam surah Az-Zukhruf ayat 52 ini. Firaun ternyata masih lagi menghina Nabi Musa as semasa baginda berdakwah kepadanya. Jika sesetengah ahli tafsir mengatakan kekakuan kepada lidah Musa as hilang sepenuhnya, sesungguhnya ia adalah silap jika ia bersandarkan kepada dalil daripada surah Az-Zukhruf ini.

Sememangnya Nabi dan Rasul tidak pernah meminta untuk diubah sesuatu kekurangan tersebut menjadi sempurna dan Nabi dan Rasul adalah sebaik-baik manusia yang pernah mendiami muka bumi ini.

 Jabal Musa di Gurun Sina

 

 

 Asalnya, Musa as tidaklah gagap

Sewaktu kecil, Musa as pernah mendiami istana Firaun laknatullah. Dalam satu peristiwa, Musa as yang ketika itu baru sahaja pandai merangkak telah diuji oleh Firaun. Ini adalah detik musibah kepada Musa as yang memberi kesan kepada lidahnya kemudian hari.

Dalam ujian itu, Firaun telah menguji Musa as dengan memberi pilihan kepada baginda antara kurma dan bara api. Pada mulanya, Musa as telah memilih kurma tetapi telah ditepis oleh Jibrail as. Ia menyebabkan Musa as mengambil bara untuk diletakkan di mulutnya. Akibatnya, Musa as meraung dan lidahnya melecur teruk dan apabila dewasa, Musa as tidak dapat mengucap sesuatu perkataan dengan elok dan sering tergagap-gagap.

Ujian daripada Firaun laknatullah itu adalah untuk menguji sama ada Musa as yang adalah seorang pembinasa kerajaannya kemudian hari atau seorang kanak-kanak biasa. Umum mengetahui bahawa Firaun telahpun bermimpi tentang seorang kanak-kanak akan muncul di kerajaannya untuk meruntuhkan empayar di bawah kekuasaannya. Dek kerana mimpi itu juga, semua bayi yang baru dilahirkan telah dibunuh dengan kejam dan Musa as adalah kanak-kanak yang bertuah kerana terselamat daripada kekejaman Firaun.

 

Penutup

Sebenarnya, Allah swt merancanakan sesuatu perkara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Dalam dunia hari ini pun, kekakuan lidah seorang individu langsung tidak melambangkan kecacatan. Ini terbukti dengan kejayaan individu seperti James Earl Jones(pernah melakonkan watak Darth Vader dalam filem Star Wars), Bruce Willis dan Anthony Hopkin dalam bidang lakonan. Mereka yang penulis senaraikan tersebut adalah antara individu terkenal yang mempunyai kegagapan dalam percakapan mereka.

Soal kelemahan atau kekurangan yang dihidapi oleh seorang Nabi dan Rasul langsung tidak menjadi persoalan. Contoh yang paling dekat adalah Rasul junjungan besar kita iaitu Muhammad saw. Nabi Muhammad saw adalah seorang yang ummi atau dalam erti kata lainnya, buta huruf. Dalam bahasa saintifik, buta huruf dikenali sebagai Disleksia. Namun, penulis ingin menyoal, adakah kekurangan yang ada pada diri Rasulullah saw itu menyebabkan baginda hilang perhormatan atau hilang kepercayaan daripada pengikutnya?

Tidak pernah bukan?

Rasulullah saw bukan sahaja tidak hilang penghormatan mahupan kepercayaan daripada pengikutnya tetapi beliau disanjung sebagai insan yang sangat sempurna yang pernah dilahirkan di bumi Allah swt ini.

Dengan itu kekurangan yang dialami oleh Nabi Musa as iaitu kegagapan bukan penghinaan tetapi satu anugerah besar kepada baginda. Rasul yang digelar dengan Kalimullah ini bukan sahaja diangkat sebagai pakar ilmuwan oleh pengikutnya tetapi juga sebagai panglima besar di dalam kaumnya. Bagindalah pemimpin agung kaum Yahudi sebelum tibanya Nabi Yusyak as, Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as sebagai pemimpin kaum Yahudi. Adakah kekeluan lidah baginda menghalangnya? Jawapan yang pasti..TIDAK!.

Advertisements

Tags: , ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

6 responses to “Benarkah Nabi Musa as Gagap?”

  1. traffdiclight says :

    sebenarnya Nabi Musa tidak gagap, beliau dilahirkan dari bani Israel tetapi untuk menyelamatkan nyawanya dari firaun. Nabi Musa telah dihanyutkan oleh ibunya di sebuah sungai dan dengan belas kasih maha pencipta beliau dijumpai oleh anak perempuan firaun. maka beliau dibesarkan di kalangan orang-orang mesir sehinggalah mendapat mukjizatnya. maka beliau tidak punyai masalah dalam pertuturan (gugup) tetapi beliau menghadapi masalah bertutur dengan umatnya dalam bahasa Israel (Hebrew). Sebaik-baik ciptaannya pastilah dari kalangan nabi dan rasul.

    • takusahrisau says :

      Penulis merujuk cerita ini dalam pelbagai sumber dan yang paling utama adalah tafsir daripada ulama muktabar sperti ibnu kathir.

      Berkenaan masalah pertuturan dengan umatnya, penulis dapat rasakan bahawa ia sedikit canggung kerana umat Israel pada waktu itu kebanyakannya berkebolehan bertutur dalam bahasa Mesir Purba(Koptik) di samping bahasa ibunda mereka, Hebrew(Ibrani).

      Nabi Musa juga sedemikian, bertutur dalam bahasa Koptik dengan masyarakat di samping berkebolehan berbahasa Hebrew. Ia berlandaskan beberapa sumber yang berkata bahasa Taurat pada asalnya adalah bahasa Koptik. Umum mengetahui bahawa bahasa kitab suci diturunkan dalam bahasa yang menjadi pertuturan Rasul berkenaan. Seperti Nabi Muhammad yang bertutur dalam dialek Quraisy, dan al-Quran juga diturunkan dalam lengok Quraisy. Bergitu jugalah dengan Nabi Musa as.

      Ini bermaksud, nabi Musa bertutur dalam bahasa Koptik dan masalah bahasa tidak langsung menjadi sebarang masalah kepada nabi Musa as. Waallahualam.

  2. Shukri Mustaffa says :

    Dengan izin Allah swt saya ingin kemukakan pendapat. Pada pengalaman saya dan kefahaman yang saya peroleh daripada sumber-sumber dari kalangan orang berilmu, Nabi Musa bukanlah gagap. Gagap ini satu ketidaksempurnaan yang berkaitan masalah hati, atau tidak tetap perasaan, gangguan jiwa dalam menetapkan keyakinan atau penyakit saka keturunan.

    Mahasuci Allah swt yang mengangkat Nabi lagi Rasulnya dari sifat-sifat yang tercela atau kecacatan rohani. Harus rohani seorang nabi apatah Rasul mempunyai kegagapan atau masalah menzahirkan kalam rohani kepada perkataan lisan yang tersekat-sekat dah lemah pertuturannya. Pendapat yang aula atau yang mashyur adalah beliau mempunyai kecedaraan fizikal pada lidahnya (akibat memasukkan bara api semasa diuji Firaun – Hikmah Allah swt atas takdir) yang menyebabkan pertuturan beliau tidak jelas atau kurang tepat sebutannya.

    Maka ini bukanlah satu kecacatan Rohani, malah barangsiapa yg mempunyai kecacatan semacam ini umpamanya bercakap sengau sekalipun sebenarnya boleh difahami oleh orang-orang yang biasa berdamping dengan beliau. Cuma orang yang asing dengan gaya percakapan beliau sukar memahami dan sering perkara begini menjadi ejekan dan cacian masyarakat yang sombong dan tidak bersyukur. Pendapat saya Nabi Musa as “gagap” adalah keterlaluan dan sangat berbeza dengan istilah dan sifat kecacatan lidah atau pertuturan.

    Saranan :

    Adalah baiknya kita mencari bukti ini dengan melihat contoh orang sempurna fizikal tetapi mengalami insiden seperti atau hampir sama dengan Nabi Musa a.s. atau lidah cacat kerana kemalangan dan dengarlah mereka ini bertutur, dan saya sangat pasti mereka ini bukan gagap. Sekian Wassalam.

    • takusahrisau says :

      penulis menghargai komen daripada saudara. Tetapi penulis berharap saudara baca sehingga tamat artikel sebelum memberi sebarang komen. Kalau boleh, fahamkan setiap baris yang penulis nukilkan.

      Tujuan penulis menulis artikel ini tidaklah untuk merendahkan keperibadian Nabi Allah Musa as. Jika sedemikian tujuannya, nescaya penulis telah menghentam habis-habis setiap perilaku dan sifat peribadi Nabi Allah Musa. Penulis menulis artikel bukanlah hentam keromo dan tidak bersumber. Tetapi penulis telah membuat rujukan yang jelas bersandar beberapa buah kitab dan tafsir Al-Quran serta sedikit rujukan Internet. Dalam rujukan tersebut, seperti Ibnu Kathir ada menjelaskan Nabi Allah Musa mempunyai masalah dalam pertuturan dan ia dijelaskan di dalam Al-Quran. Jika ini tiada di dalam Al-Quran, penulis tidak akan mengambil langkah untuk menulis artikel ini.

      Pertuturan yang kurang jelas dialami oleh Nabi Allah Musa telah penulis kaitkan dengan peristiwa Nabi Allah Musa dipaksa memakan bara api sewaktu kecil oleh laknatullah Firaun. Jadi, anggapan saudara bahawa penulis menyandarkan ‘kegagapan’ Nabi Musa tanpa insiden adalah tidak wajar. Penulis berharap saudara boleh membaca habis setiap baris kata dalam artikel tersebut sebelum membuat sebarang komen dan balasan. Akan tetapi, penulis menghargai tiap baris komen yang diberikan saudara.

      p/s: Nabi Muhammad saw pun juga mempunyai masalah dalam pembacaan yang digelar dalam hadis sebagai ‘ummi’. Akan tetapi ia tidak merendahkan martabatnya sebagai Rasul Allah malah diangkat oleh Allah swt menjadi Rasul Khatimul Anbiya. Kes seperti ini sama juga dengan Nabi Musa as dan Nabi Ayub as(yang dijangkiti penyakit kulit).

  3. Tiz Fathihah says :

    very helpful. Syukran brother.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: