Tag Archive | Kejatuhan Napoleon Bonaparte oleh Tambora

Letusan Tambora 1815 dan Fenomena Misteri Pasca-Letusan..

Oleh: takusahrisau

 

Sedar atau tidak, percaya atau tidak, letusan gunung berapi mampu mengubah iklim bumi menjadi ekstrem dalam jangka masa yang singkat. Sebelum ini, penulis pernah membicara dengan panjang lebar kesan yang disebabkan oleh letusan Gunung Berapi Krakatoa pada dua masa yang berbeza iaitu pada 535 masihi dan pada 1883 masihi. Kedua-dua letusan tersebut sangat membinasakan sehingga mampu menaikkan ombak tsunami setinggi 4 hingga 6 meter.

(Ingin sertai takusahrisau’s blog di Facebook?Klik SINI)

Namun, 68 tahun sebelum letusan Krakatoa tahun 1883, satu letusan yang tidak kurang hebat telah berlaku di Indonesia. Letusan yang dimaksudkan adalah letusan Gunung Berapi Tambora. Gunung Berapi Tambora terletak di Pulau Sumbawa yang berhampiran dengan Laut Flores dan Pulau Moyo. Letusan ini berlaku pada 5 April 1815 dan berlarutan sehingga 11 April 1815.

Letusan paling kuat dalam sejarah

Mengalahkan letusan Krakatoa, letusan Tembora telah disenaraikan sebagai letusan gunung berapi paling kuat pernah direkodkan. Ahli volkanologi dan geologi menganggarkan letusan tersebut mempunyai Indek Volcanic Explosivity(VI), 7 berbanding indek VI untuk Krakatoa adalah 6. Sebagai perbandingan, ia adalah empat kali lebih kuat berbanding letusan Krakatoa 1883 atau bersamaan dengan letupan 800 megaton.!

Gunung Tambora pada satu ketika dahulu mempunyai ketinggian 4300 meter daripada atas permukaan laut. Ia melebihi ketinggian Gunung Kinabalu di Malaysia yang memiliki ketinggian 4095 meter. Namun, selepas letusan tersebut, ketinggian Gunung Tambora hanya mencapai 2851 meter daripada permukaan laut. Ini menunjukkan betapa dashyatnya letupan pada April 1815.

Fenomena dan peristiwa pelik pasca-Letusan Tambora

Tidak hairanlah apabila sejarah mencatatkan pelbagai peristiwa dan fenomena pelik berlaku semasa dan selepas letusan Tambora berlaku. Paling menarik untuk dicatatkan adalah bagaimana masyarakat yang berada dalam lingkungan 600 kilometer daripada titik letusan Tambora tidak menjumpai siang selama dua hari dua malam. Langit mereka telah dilitupi debu-debu hitam gunung berapi Tambora. Lava berapi telah mengalir sekurang-kurang 20 kilometer manakala kepulauan yang berada berdekatan dengan Gunung Tambora telah dilanggar ombak gadang setinggi 4 meter.

Direkodkan bahawa ombak gadang dikatakan mula tercetus pada 10 April 1815 susulan letupan kuat Tambora. Banyak pulau di kepulauan Indonesia dihempas ombak setinggi 4 meter. Ombak gadang setinggi 1 hingga 2 meter telah direkodkan menghempas Jawa Timur dan Pulau Mauluku sebelum tengah malam 10 April 1815. Jumlah kematian akibat ombak gadang atau ombak Tsunami tersebut mencecah 4600 orang kesemuanya. Faktor kemunduran teknologi komunikasi pada masa itu merencatkan lagi usaha awal penyelamatan mangsa-mangsa.

Tahun tanpa Musim Panas

Beberapa peristiwa dan fenomena pelik telah dicatatkan berlaku semasa dan pasca-letusan Tambora. Antara yang paling memberi impak adalah di mana pada tahun 1816 iaitu hampir setahun selepas letusan Tambora, bumi Eropah telah mengalami perubahan cuaca yang cukup ekstrem. Eropah yang kebiasaannya mempunyai empat musim dalam setahun bagaimanapun terpaksa menahan kesejukan untuk tiga bulan berikutnya kerana ketiadaan musim panas pada tahun itu. Tahun tersebut dikenali dengan gelaran The Year without Summer.

Sebuah karya J.M.W. Turner yang dikenali Chichester Canal yang diinspirasikan oleh fenomena Year Without Summer.

Stamford Raffles tersalah anggapan

Pada 10 April 1815, masyarakat yang berada di Kepulauan Sumatera telah mendengar letupan yang pada anggapan mereka adalah letupan meriam. Jarak kepulauan Sumatera daripada Pulau Sumbawa adalah 2600km jauhnya.

“Letupan pertama telah didengar di pulau tersebut pada petang 5 April. Mereka memaklumkan pada setiap suku jam dan bersambung setiap selang sehingga ke hari berikutnya. Pada mulanya, bunyi tersebut dianggap berpunca daripada letupan meriam. Dengan itu, sekumpulan kecil tentera telah mara daripaa Yogyakarta dengan menjangkakan pos jiran telah diserang. Sepanjang pantai, bot telah meronda untuk mencari mana-mana kapal yang dalam kesusahan.”(Diari Stamford Raffles)

Dengan kekurangan kemudahan teknologi komunikasi pada masa itu, Stamford Raffles telah terpedaya dengan letupan kuat tersebut.

Kemusnahan tiga kerajaan

Menurut beberapa catatan terutama buku yang ditulis oleh Haris Firdaus, Misteri-Misteri Terbesar Indonesia(2008), tiga buah kerajaan telah musnah sama sekali akibat impak daripada gas panas, abu-abu dan batu-batuan gunung berapi. Tiga kerajaan tersebut adalah Pekat yang berada 30 kilometer sebelah barat Tambora, Sanggar yang berada 35 kilometer sebelah timur Tambora dan Tambora yang berada 25 kilometer daripada Gunung Tambora. Hampir keseluruhan penduduk di kawasan tersebut gagal menyelamatkan diri dan tertimbus ditimpa debu-debu panas gunung berapi.

Kekalahan Nepoleon Bonaparte

Kekalahan Nepoleon Bonaparte telah dikaitkan dengan cuaca yang tidak mengizinkan. Nepoleon kalah ke atas tentera Inggeris pimpinan Duke Wellington dalam peperangan Waterloo pada 18 Jun 1815. Peperangan tersebut berlangsung tidak sampai tiga bulan selepas letusan Tambora.

Cuaca yang tidak menentu semasa perang tersebut berlangsung menyebabkan skuad artileri Nepoleon gagal memberikan tentangan kepada tentera Inggeris yang lebih bersedia. Skuad Artileri Napoleon tenggelam ke dalam lumpur dan berhempas-pulas semasa dalam peperangan tersebut.

Langit yang mendung miskipun siang hari mengundang penglihatan kabur dan berkabus kepada skuad Nepoleon. Akhirnya, reputasi Nepoleon sebagai janeral paling hebat pada zamannya tercalar apabila tewas kepada tentera pimpinan Duke Wellington hanya kerana cuaca yang langsung tidak menyebelahi beliau. Nepoleon telah dihukum buang negeri ke pulau St. Helena di tengah Lautan Atlantik yang tidak berpenghuni. Nepoleon mengakhiri riwayatnya di sini pada tahun 1821.

Sebenarnya, faktor perubahan cuaca akibat letusan Tambora telah diakui oleh seorang pakar geologi, Kenneth Spink. Dalam satu persidangan saintifik di Warwick, England, Kenneth Spink telah mengutarakan pendapatnya bahawa letusan Tambora pada 1815 telah memberi impak yang cukup besar kepada iklim bumi dan perubahan sosio-politik semasa. Kekalahan Nepoleon kepada Duke Wellington yang langsung tidak disangka adalah antara impak letusan Tambora yang paling besar walaupun ramai yang kurang mempercayainya.

Wabak Tifus

Akibat daripada debu-debu gunung berapi Tambora masih lagi melindungi sinaran cahaya matahari, suhu bumi mendadak jatuh. Pada musim panas di Eropah, musim sejuk telah mengambil ganti. Hujan dingin turun saban hari pada ‘musim panas’ tersebut. Tanaman juga tidak menjadi akibat hujan yang membawa bersama debu beracun. Akibat kesan yang berpanjangan ini, wabak Tifus telah muncul sehingga menyebabkan hampir 200,000 penduduk Eropah dan Mediterranean menemui ajal.

 

Banjir Besar dan wabak Taun

Dilaporkan bahawa banjir besar telah berlaku di Asia seperti di Pakistan, India, China dan Bangladesh. Perubahan cuaca yang mendadak dengan hujan turun mencurah-curah menyebabkan negara yang mempunyai tanah pamah yang rendah mengalami bah besar. Lebih teruk daripada itu, pada 1817, wabak taun telah dilaporkan berlaku di Calcutta dan menyebar sehingga ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Timur Tengah. Wabak Taun ini adalah wabak taun pertama yang melanda secara meluas di seluruh benua Asia. Britain mengambil berat tentang wabak ini kerana ramai tentera mereka yang berkhidmat di benua Asia maut akibat wabak Taun. Dianggarkan ratusan ribu menjadi korban akibat wabak ini. Wabak ini dikatakan telah dapat dihentikan penularan menjelang tahun 1824.

Salji

Di Hungary, pada tahun 1816 salji telah dilaporkan turun dengan warna coklat manakala di Itali, salji turun dengan warna merah. Ramai mengaitkan ia dengan debu Tambora yang menyebar jauh sehingga ke Eropah.

Novel misteri

Terdapat satu kisah menarik di mana empat watak utama iaitu Lord Byron, Percy Shelley, Mary Shelley, dan doktor peribadi Lord Byron, Dr. Polidori telah bercuti bersama-sama di Switzeland. Mereka menginap di Diodati Villa pada Julai 1816. Pada satu petang, dalam keadaan cuaca yang redup dan mendung membuatkan mereka berempat timbul idea untuk bercerita tentang hantu sambil membaca dengan kuat buku Tales of the Dead, sebuah novel yang menghimpunkan beberapa cerita hantu.

Selepas daripada itu, Lord Byron yang sememangnya meminati alam mistik telah mencabar keempat-empat mereka untuk menulis novel berunsurkan misteri paling menarik. Masing-masing menyahut cabaran sehingga lahirlah novel Frankenstein(hasil karangan Mary Shelly pada 1818), novel The Vampyre(hasil karangan Dr. Polidori pada 1819) dan puisi Darkness(hasil karangan Lord Byron pada 1816).

Draf awal novel Frankenstein karangan Mary Shelly.

Ketiga-tiga karya tersebut berjaya menjadi sebuah karya epik. Namun, daripada ketiga-tiga karya tersebut, karya Lord Byron, Darkness menggambarkan seratus peratus keadaan dan suasana Eropah pada 1816 yang mendung dan redup. Inspirasi daripada letusan Tambora rupa-rupanya telah berjaya menghasilkan novel yang sangat tinggi nilai mutunya.

______________________

Segalanya lebih menarik di