Perbezaan antara Penganut Islam dan Bukan Islam..


Oleh: takusahrisau

Islam telah meletakkan satu prinsip dan peraturan agama yang penting iaitu kewajipan yang jelas berbeza daripada amalan golongan bukan Islam baik daripada segi kepercayaan, cara ibadat mahupun budaya hidup. Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas dalam al-Quran dan al-Hadis.

Dalam surah al-Jaathiah ayat 18, Allah swt telah memberitahu orang Islam bahawa mereka telah diberi syariat yang tersendiri.

Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.

 

Melalui ayat ini, Allah swt sendiri telah menyeru orang Islam supaya mengikut syariat yang disediakan oleh Allah swt melalui Nabi Muhammad saw dan tidak sesekali meniru atau mencampur-adukkan dengan syariat dan peraturan agama umat terdahulu.

Umat Islam mempunyai peraturan yang cukup berbeza berbanding Umat Yahudi dan Kristian.

Hikmah daripada syariat yang Allah swt sediakan khusus kepada umat Islam adalah untuk mengelakkan golongan Yahudi dan Kristian mempunyai alasan untuk terus merosakkan kepercayaan umat Islam pada waktu itu mahupun pada masa kini.

Sejarah sendiri mencatatkan bagaimana perisitiwa orang Yahudi mengeji Rasulullah saw kerana mengadap kiblat ke arah Baitul Maqdis ketika mengerjakan solat yang mana turut menjadi kiblat mereka. Sedangkan, ia sebenarnya adalah perintah Allah swt. Berkat kesabaran dan doa Rasulullah saw, maka turunlah ayat untuk mengubah arah kiblat daripada Baitul Maqdis ke Baitul Haram iaitu Kaabah. Masjid Kiblatain menjadi saksi kepada peristiwa tersebut.

Sesungguhnya, peraturan dasar dalam ajaran Islam benar-benar tidak dipengaruhi oleh mana-mana agama terdahulu samaada Yahudi, Kristian, Majusi mahupun Paganisme sepertimana yang sering diperkatakan oleh pakar-pakar orientalis barat. Namun, sebagai salah satu agama samawi, Islam tidak boleh lari daripada mengungkap berkenaan tauhid(monotheisme) sepertimana ajaran-ajaran agama samawi yang lain. Jesteru itu, di bawah adalah beberapa perbezaan ketara antara Penganut Islam dan Bukan Islam yang mana menjadi sempadan jelas antara dua golongan ini:

  • Larangan Rasulullah saw terhadap umatnya daripada menggunakan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Kristian. Seruan Azan akhirnya digunakan oleh Rasulullah saw berdasarkan mimpi yang dialami oleh salah seorang sahabat baginda.(Shahih Sunan Abi Dawud, no. 498)
  • Larangan Rasulullah saw daripada mengerjakan solat pada waktu matahari terbit dan waktu ia sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari.(Shahih Muslim, no. 832)
  • Larangan Rasulullah saw daripada  menjadikan perkuburan para Anbiya’ dan Shalihin sebagai tempat ibadat kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Kristian.(Shahih Muslim, no. 530-532)
  • Larangan Rasulullah saw daripada bersolat berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi.(Shahih Sunan Abi Dawud, no.635)
  • Suruhan Rasulullah saw untuk memakai selipar atau khuf(yang terjamin sucinya) ketika melaksanakan ibadat solat adalah kerana golongan Yahudi tidak mengharuskannya. (Shahih Sunan Abi Dawud, no.652)

 

  • Larangan Rasulullah saw daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi.(Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar’ah,hal:175)

 

  • Peringatan Rasulullah saw terhadap umatnya supaya bersahur apabila berpuasa kerana golongan Ahli Kitab berpuasa tanpa bersahur.(Shahih Muslim no.1096)
  • Saranan Rasulullah saw terhadap umatnya supaya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Ahli Kitab melewatkannya.(Musnad Ahmad)
  • Saranan Rasulullah saw supaya umatnya berpuasa Asyura(10 Muharram) iaitu sebanyak dua hari, hari ke-9 dan hari ke-10 kerana golongan Ahli Kitab berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja.(Shahih Muslim no.1134)
  • Saranan Rasulullah saw supaya jemaah haji bergerak daripada Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin lazimnya bergerak selepas matahari terbit sehingga sinarnya melepasi puncak Bukit Thubair di Mekah.(Shahih Bukhari no. 3626)

Tags: ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

Leave a comment