Garricha, bintang yang dilupakan..


Oleh: takusahrisau

 

Antara bintang bolasepak terbesar satu ketika dahulu yang sering dilupakan oleh peminat adalah tidak lain dan tidak bukan, Garricha. Garricha atau nama sebenarnya, Manuel Francisco dos Santos pernah membawa Brazil menjulang Piala Dunia dua edisi berturut-turut iaitu pada tahun 1958 di Sweden dan 1962 di Chile. Piala Dunia 1962 menaikkan nama Garricha apabila menyumbang empat gol miskipun bertindak sebagai pemain sayap.

 

Garricha

 

 

Profil Garricha

Garricha dilahirkan pada 38 Oktober 1933 di Pau Grade. Beliau digelar Garricha sejak zaman kanak-kanak yang membawa maksud ‘burung kecil’ yang mana merujuk kepada fizikalnya.

Beliau dilahirkan daripada keluarga yang agak bermasalah. Bapanya adalah peminum arak jenis Cachaca yang tegar. Sikap bermasalah bapanya kemudiannya dituruti beliau kemudian harinya.

Disebalik keluarganya yang bermasalah, ia tidak menghalang Garricha daripada menceburi sukan yang menjadi hobinya daripada kecil iaitu Bola Sepak. Apa yang menarik mengenai Garricha adalah beliau sebenar cacat daripada segi fizikal iaitu kaki kirinya lebih pendek enam sentimeter berbanding kaki kanan dan sedikit bengkok ke dalam. Kaki kirinya pula sedikit bengkok ke luar. Kecacatan ini membuatkan ramai yang sangsi dengan kebolehan Garricha.

Walaubagaimanapun, Garricha bukanlah calang-calang ahli sukan. Miskipun beliau boleh dikategorikan cacat, namun dengan kekuatan stamina dan kekentalan menahan asakan lawan membolehkan beliau mencapai satu tahap di mana bukan semua dapat mengecapinya.

 

Karier bersama Botafogo

Kemahiran individu dan tahap stamina yang tinggi membuatkan ramai kagum dengan kehebatan Garricha. Semasa bermain dengan kelab di Pau Grade iaitu kelab di kampung halamannya, beliau sering menggunakan kebolehannya mengelecek lawan sebelum meledak dengan menggunakan samaada kaki kiri atau kaki kanan ke gol lawan.

Namun, ia masih dipandang sepi oleh pencari bakat di Brazil. Sebenarnya, ramai tidak yakin dengan Garricha memandangkan fizikalnya kecil. Sehingga usianya mencecah 20 tahun, beliau telah didekati oleh sebuah kelab di Rio de Janeiro, Botafogo. Tanpa berfikir panjang, Garricha setuju untuk beraksi secara professional dengan kelab tersebut. Miskipun buta huruf, Garricha telah menandatangani kontrak bersama kelab yang berjersi hitam putih tersebut.

 

Memukau mata

Semasa sesi pertama latihan bersama skuad Botafogo, Garricha dengan sekelip mata memukau mata pemain dan jurulatih kelab tersebut. Garricha dengan mudah melepasi sejumlah pemain kelab tersebut termasuk pemain pertahanan kental Brazil yang beraksi dengan Botafogo ketika itu, Nilton Santos.

Nilton Santos yang diperdayakan Garricha dengan membawa bola melepasi celah kakinya telah terpukau dengan aksi Garricha dan tidak membuang masa untuk mencadangkan nama Garricha bagi skuad utama Brazil selepas daripada detik itu.

Aksi pertama Garricha berlanjutan semasa perlawanan sebenar apabila membantu skuad simpanan Botafogo memenangi perlawanan sebanyak 5-0 dengan beliau sendiri menjaringkan hat-trick.

Garricha bermain untuk Botafogo selama 12 tahun iaitu daripada tahun 1953 sehingga 1965 dengan 236 penampilan dan 85 jaringan secara keseluruhannya.

Kemahiran Garricha dalam memperdayakan pemain pertahanan lawan sangat mengagumkan.

 

 

Setaraf Pele

Ramai di Brazil beranggapan Pele adalah raja bolasepak. Namun, segelintir peminat bolasepak Brazil sering menamakan Garricha adalah raja bolasepak di sana. Ia adalah penarafan yang agung bagi seorang yang bernama Garricha.

Tidak dinafikan bahawa Pele adalah pemain Brazil paling berkaliber semasa kejohanan Piala Dunia namun kehadiran Garricha tidak boleh dinafikan. Bersama-sama Garricha, Pele menjadi lebih efektif kerana corak permainan mereka yang sama dan saling menyerang untuk memberi kemenangan kepada Brazil.

Sebenarnya, apa yang lebih penting adalah kehadiran kedua-dua individu hebat ini telah berjaya mengubah corak permainan Brazil secara total. Samaada Pele dan Garricha, mereka telah mengubah corak seakan-akan permainan gaya Eropah kepada gaya permainan yang kini dikenali Samba. Gaya permainan Samba adalah gaya permainan yang mementingkan kelebihan individu untuk memecah benteng lawan. Permainan ini sinonim dengan skuad Brazil sehingga ke hari ini.

Pada Piala Dunia edisi 1962 di Chile, Garricha telah membantu Brazil untuk terus mara ke perlawanan akhir tanpa kehadiran Pele yang terpaksa memanaskan bangku simpanan akibat kecederaan teruk selepas dirempuh secara agresif oleh pemain Czechoslavakia.

Menurut statistik, semasa Garricha dan Pele beraksi bersama-sama, mereka tidak pernah kalah dalam mana-mana perlawanan di peringkat antarabangsa.

Garricha bermain sebanyak 50 perlawanan antarabangsa bersama Brazil sejak mencapai caps pertama pada 1955 semasa perlawanan persahabatan Brazil menentang Chile di Rio de Janeiro. Garricha menyumbang 12 gol secara keseluruhannya untuk Brazil.

Bersama-sama Pele meraikan gol.

 

 

 

 

Diintai kelab utama Eropah

Pada 1954, Juventus telah cuba untuk mendapatkan khidmatnya susulan penampilan hebatnya dalam beberapa siri perlawanan yang disaksikan oleh ejen pencari bakat daripada Turin.

Pada 1959, Real Madrid pula cuba untuk menandatangani Garricha untuk menguatkan bahagian sayapnya yang mana mungkin akan membantu Ferenc Puskas dan Alfredo de Stafeno di bahagian hadapan. Garricha sebenarnya telah berjaya menarik minat ejen pencari bakat setelah bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan di Eropah bersama Brazil.

Tidak terhenti di situ, sekitar tahun 1962 dan 1964, kelab daripada Itali, Inter Milan, AC Milan dan Juventus telah cuba memikat Garricha untuk bermain dengan kelab mereka susulan penampilan hebatnya di dua edisi Piala Dunia iaitu pada 1958 dan 1962.

Namun, di sebalik tawaran-tawaran hebat daripada kelab-kelab kaya tersebut, Garricha tidak pernah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan bumi Brazil. Sehingga tahun 1966, beliau masih bermain untuk Botafogo.

 

Kejatuhan karier

Garricha boleh dikatakan tidak bernasib baik berbanding Pele yang lebih berdisplin dalam kehidupan luar. Miskipun di dalam padang Garricha menunjukkan komitmen dan disiplin yang hebat, namun di luar padang beliau tidak sebergitu. Beliau dilingkari dengan kehidupan yang penuh cacar-marba.

Beliau adalah seorang peminum arak yang tegar, kaki perempuan dan sering mengunjungi kelab malam di sekitar Rio de Janeiro.

Garricha pernah dilaporkan mempunyai 14 orang anak hasil daripada hubungannya dengan beberapa orang wanita sama ada melalui pernikahan dan skandal. Garricha berkahwin sebanyak dua kali iaitu dengan pekerja kilang pada usia 17 tahun dan penari Samba, Elza Soares pada usia 33 tahun.

Garricha menceraikan isterinya yang pertama setelah berkenalan dengan Elza Soares buat kali pertama semasa Garricha dan rakan pasukannya menyambut kemenangan Piala Dunia 1958 di bilik persalinan. Daripada detik itu, bermula keretakan rumah tangga Garricha sehingga membawa kepada penceraian dan pelbagai hubungan skandal kemudian harinya.

Populariti Garricha yang kian mencanak naik selepas membawa kemenangan Brazil semasa Piala Dunia 1958 dan 1962 membawa kepada kehidupan beliau yang sangat liar. Kehidupan beliau yang berfoya-foya akhirnya membawa gelaran ‘people of joys’. Seorang rakannya, Milvina telah merakamkan ingatannya mengenai Garricha,

“He played for the joy, he played for love,”

“Garrincha could drink the night before and go and play the next day in the Maracana Stadium.  After the match, back here for a drink. Can you see David Beckham going back to his hometown on Saturday night to play with his mates?”

 

Akibat kehidupan beliau yang dipenuhi dengan alkohol, beliau pernah terlibat dalam beberapa kemalangan dan salah satunya hampir meragut nyawanya. Dalam satu kemalangan, ia telah meragut nyawa ibu mertuanya. Kemalangan itu berlaku sekitar tahun 1969.

Elza Soares

 

 

 

Dijual Botafogo

Sepertimana pemain bolasepak yang bermasalah sepertinya, George Best, karier mereka merudum dek kerana leka dengan kehidupan malam. Karier Garricha merudum pada usia 33 tahun iaitu pada tahun 1966. Prestasinya terjejas bukan sahaja disebabkan usianya yang mencecah veteran tetapi juga disebabkan pengambilan alkohol secara berlebihan yang menjejaskan stamina yang telah menjadi nadi kekuatannya 10 tahun yang lalu.

Garricha akhirnya dijual kepada kelab Corinthians pada 1967 tetapi gagal mencapai impak sepertimana bersama kelab Botafogo. Beliau hanya beraksi 4 perlawanan tanpa menyumbang sebarang gol sebelum dijual ke kelab Portuguesa Carioca pada musim berikutnya. Selepas itu, Garricha bertukar beberapa kelab sebelum menamatkan karier bolasepaknya pada tahun 1972 di kelab kecil, Olaria.

 

11 tahun terakhir

Sejak menggantung but pada 1972, Garricha terlibat secara pasif termasuklah perlawanan testimonial untuk dirinya pada 19 Disember 1973 di antara pasukan FIFA yang terdiri daripada pemain daripada Argentina dan Uruguay melawan pasukan yang diketuai Garricha, Pele dan Carlos Alberto. Perlawanan tersebut dihadiri lebih 131,000 penonton di Stadium Maracana.

Selepas itu, Garricha hanya terlibat dalam bidang kejurulatihan secara tidak aktif. 5 tahun terakhir kehidupannya diselubungi dengan kesedihan. Garricha yang pada satu masa dahulu adalah bintang yang sering dilimpah wang dan populariti telah jatuh miskin. Lebih memeritkan apabila beliau ditinggalkan isterinya sendiri, Elza Soares pada 1977 yang pernah dinikahinya secara kontroversi satu ketika dahulu.

Sekitar tahun 1980-an, beliau telah dikesan menghidap penyakit Liver Cirrhosis. Penyakit ini disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan pada usia mudanya. Beliau dilaporkan ditahan sebanyak 4 kali di hospital akibat penyakit ini. Pada tahun 1983, Garricha telah koma akibat pengambilan alkohol. Ia adalah kemuncak kepada penyakitnya.

Pada 19 Januari 1983, bintang bolasepak yang paling berjaya pada Piala Dunia 1962 ini telah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang cukup naif dan daif.

Garricha hampir tidak meninggalkan apa-apa kecuali video rakaman aksi menarik beliau semasa beraksi untuk Botafogo dan skuad Brazil. Untuk mengingati jasa Garricha yang bukan sedikit itu, Persatuan Bolasepak Brazil(CBF) dengan kerjasaman kerajaan Brazil telah menamakan bilik persalinan untuk pasukan Brazil di Stadium Maracana dengan nama Garricha manakala bilik persalinan untuk pasukan pelawat dengan nama lagenda hidup bolasepak dunia, Pele.

 

Garricha menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 49 tahun.

 

 

Advertisements

Tags:

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: