(Part 1) Pembuktian bahawa Isra’ dan Mi’raj memang benar-benar berlaku!


Oleh: takusahrisau

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa paling besar kepada umat Islam secara keseluruhannya. Ini adalah kerana melalui peristiwa inilah difardhukan kepada umat Muhammad untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Ibadah yang menjadi tiang agama ini menjadi penanda aras kepada tahap keimanan dan ketaatan seorang muslim kepada Allah swt.

Banyak riwayat yang berhubung dengan sebab musabab berlakunya peristiwa Rasulullah saw dibawa naik ke Saddratul Muntaha ini. Antara riwayat menyatakan bahawa makhluk Allah iaitu langit berasa iri hati dengan bumi. Allah swt yang Maha Mendengar telah mendengar rintihan langit lalu mengangkat darjatnya melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Riwayat lain pula menyatakan bahawa Allah swt ingin mengubat hati Rasulullah saw yang bersedih dengan dua peristiwa besar yang meragut motivasinya iaitu kematian dua orang yang disayangi baginda, isteri tercintanya, Siti Khadijah bin Khuwailid dan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Abdul Mutalib.

Menurut satu riwayat lain, Rasulullah saw turut dikatakan bersedih kerana Allah swt tidak menurunkan wahyu kepada baginda dalam satu tempoh yang cukup lama. Hati Rasulullah diselubungi perasaan gundah sebagaimana individu yang cukup lama tidak berjumpa sang kekasih.

Isra’ adalah istilah yang bersandarkan kepada peristiwa Nabi Muhammad saw dibawa oleh Jibrail as(sesetengah pendapat menyatakan Mikail as turut ikut serta) menunggang buraq dari syurga daripada Mekah menuju ke Baitul Maqdis di Palestin. Nabi saw dan Jibrail as dikatakan bersolat dua rakaat di beberapa tempat persinggahannya seperti di Madinah, Madyan, Bukit Tursina dan di dalam Baitul Maqdis dengan diimani oleh baginda sendiri. Semasa Isra’, Nabi saw memperolehi beberapa pengalaman rohaniah untuk menguatkan lagi iman baginda.

Manakala Mi’raj pula istilah yang bersandarkan kepada peristiwa Nabi Muhammad saw dinaikkan ke langit dengan menggunakan tangga emas dan perak yang terpaut daripada langit dan bumi. Ia dimulai dengan langit pertama, seterusnya ke langit kedua hingga ke langit ketujuh yang menempatkan Baitul Makmur dan diakhiri dengan Sidratul Muntaha. Setiap langit dilengkapi dengan pintu yang dihuni oleh malaikat-malaikat. Rasulullah saw disambut oleh setiap Rasul yang Allah swt pernah utuskan ke atas umat manusia sebelumnya di setiap langit yang ditempuhi. Di langit ketujuh, Rasulullah saw disambut oleh moyang baginda sendiri iaitu, Nabi Ibrahim as yang dilihat sedang bersandar di Baitul Makmur. Rasul junjungan kita ini menyatakan rupa Nabi Ibrahim persis sepertinya(dalam perawakan dan rupanya).

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah dua peristiwa yang berbeza tetapi terjadi dalam satu malam. Ia adalah kekuasaan Allah Taala yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Peristiwa ajaib ini hanya dianugerah kepada Rasulullah saw sebagai salah satu mukjizat baginda dan ia tidak sama dengan peristiwa yang berlaku kepada Nabi Isa as, Nabi Idris as mahupun Nabi Ilyas as.

Baitul Madqis di Juruselam,Palestin.

Peristiwa besar tapi ramai meraguinya

Beruntung benar umat Islam masa kini dianugerah iman sejak daripada kecil. Bayangkan bagaimana kedudukan kita apabila berada di awal penyebaran Islam apabila menerima perkhabaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Perlu diketahui bahawa Islam pada masa itu belum lagi stabil dan Rasulullah saw belum lagi berhijrah ke Madinah. Ramai sedia maklum bahawa Islam mula stabil dan kukuh apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah(masa itu dikenali Yathrib). Lagipun Islam baru sahaja berusia 10 hingga 11 tahun sejak Rasullulah saw diangkat menjadi Rasul ketika umurnya 40 tahun.

Rasulullah pernah menyatakan kerisauan dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad daripada jalur Ibnu Abbas ra,

“Pada malam aku di-isra’-kan, aku telah kembali di Makkah di saat menjelang subuh. Aku diselimuti rasa takut yang mendalam kerana aku tahu orang-orang pasti akan mendustakanku(tidak mempercayai baginda).”

 

Pembuktian melalui perdebatan Rasullulah saw dengan Abu Jahal dan kaumnya.

Seusai pengalaman Isra’ dan Mi’raj yang dialami oleh Rasulullah saw pada malam hari, Rasulullah telah nekad menceritakan pengalamannya kepada sahabat-sahabat baginda serta kaumnya sesuai dengan tugasnya sebagai utusan Allah pada siang keesokkannya.

Sahabat-sahabat Rasulullah saw yang paling awal membenarkan apa yang berlaku semasa Isra’ dan Mi’raj adalah Abu Bakar as-Siddiq. Gelaran as-Siddiq yang membawa maksud membenarkan berasal daripada peristiwa beliau membenarkan setiap kata-kata Rasulullah saw.

Ia bersesuaian dengan satu riwayat apabila beliau ditanya tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada Nabi saw, beliau menjawab:

 “Ya, aku membenarkan baginda (Rasulullah saw), malah terhadap apa yang lebih jauh daripada itu. Aku membenarkan khabar langit (yang Rasulullah bawa).”

Miskipun bergitu, tidak semua yang mampu menerimanya sebagaimana penerimaan Abu Bakar as-Siddiq. Diriwayatkan bahawa, sangat banyak sahabat baginda mulai ragu-ragu dengan peristiwa tersebut. Tetapi mereka mulai menerima dan mengimaninya setelah satu persatu pertanyaan dijawab dengan tepat oleh Rasulullah saw. Namun menurut riwayat melalui jalur Aisyah ra terdapat beberapa orang yang sebelumnya beriman kepada Allah swt telah murtad kerana mempercayai peristiwa tersebut adalah khayalan dan penipuan semata-mata.

Sekarang, Rasulullah saw perlu berdepan pula dengan golongan kafir Quraisy yang dikepalai oleh bapa saudara baginda sendiri, Abu Jahal. Abu Jahal seperti yang umum ketahui adalah kayu api neraka yang sentiasa memarakkan api kebencian golongan musyrik kepada kekasih kita, Rasulullah saw.

Ketika Rasulullah saw sedang menceritakan segala macam peristiwa ketika baginda di-isra’ dan di-mi’raj-kan berhampiran Hijr Ismail, datanglah musuh Islam yang digelar Abu Jahal itu. Beliau telah menghampiri Rasulullah saw lantas bertanya,

Apakah ada sesuatu?

Jawab Rasulullah saw, “Ya”

Abu Jahal lalu berkata, “ Apakah itu?”

Rasulullah saw menjawab, “Sesungguhnya malam tadi aku telah diperjalankan(merujuk kepada peristiwa Isra’ bersama Jibrail as.”

Abu Jahal bertanya lagi, “Kemanakah kamu diperjalankan”?

“Ke Baitul Maqdis”, Jawab Rasulullah saw dengan tenang.

“Kemudian di waktu paginya kamu telah kembali dan berada di tengah-tengah kami?”,tanya Abu Jahal.

“Ya”, jawab Rasulullah saw tanpa ragu-ragu lagi.

Maka Abu Jahal tidak terus mendustakan Rasulullah saw tetapi beliau telah mempunyai buah fikiran yang lain iaitu dengan memanggil lebih ramai orang untuk mendengar ucapan Rasulullah saw.

“Bagaimana andai aku memanggil kaummu, apakah kamu akan akan menyampaikan sebagaimana yang kamu sampaikan padaku sebentar tadi”. tanya Abu Jahal sinis.

Rasulullah saw menjawab, “Ya”

Abu Jahal terus pergi ke tengah-tengah masyarakat Bani Ka’b bin Lu-ay dan mempelawa mereka datang berkumpul di Hijr Ismail. Maka mereka pun pergi ke tempat yang dikatakan Abu Jahal tersebut dan berkumpul untuk mengetahui apa yang dikatakan oleh Rasulullah saw.

“Ceritakan kepada kaummu sekarang apa yang baru kamu ceritakan kepadaku”, perintah Abu Jahal dengan tegas.

“Sesungguhnya malam tadi aku diperjalankan(merujuk kepada peristiwa Isra’)”, sahut Rasulullah saw.

Mereka bertanya, “Ke manakah?”

Rasulullah terus menjawab, “Ke Baitul Maqdis”

Mereka yang masih lagi ragu-ragu bertanya, “Dan pada pagi harinya kamu kembali ke tengah-tengah kami?”

“Ya”, jawab Rasulullah saw.

Lantas datang seorang daripada mereka yang pernah pergi ke Baitul Maqdis dan tahu mengenai tempat tersebut secara terperinci.

“Dapatkah kamu gambarkan kepada kami Masjidil Aqsa”?, tanya mereka kepada Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda, “Maka aku  pun mengambarkan kepada mereka seperti apa Masjidil Aqsa itu, hingga aku nyaris terkeliru. Maka saat itu didatangkan Masjidil Aqsa itu dan diletakkan berdekatan rumah Uqail, tepat pada pandanganku. Aku kembali menggambarkan Masjidil Aqsa kepada mereka tentang sesuatu yang sebelumnya tidak aku ketahui”.

Setelah Rasulullah saw selesai menjawab semua pertanyaan mereka dengan tepat, lalu berkatalah mereka,

“Semua yang dia katakan tentang Masjidil Aqsa, demi Allah memang benar adanya”

Peristiwa perdebatan Rasulullah saw dengan Abu Jahal serta kaumnya dirakamkan oleh Abdullah bin Abbas ra dan diriwayat pula oleh An-Nasa-I dan Al-Baihaqi. Satu versi sama juga dirakamkan oleh Abu Hurairah ra dan diriwayat pula oleh Imam Muslim dalam Shahih Muslim.

Bersambung.. (Part 2)Pembuktian melalui perdebatan Abu Sufyan dengan Panglima Heraclius!

 

Tags: ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: