Tag Archive | maksud nama surah dalam al-quran

Part 1: Di sebalik nama surah-surah al-Quran

Oleh: takusahrisau

 

Al-Quran adalah kitab yang sangat sempurna. Tidak seperti Injil dan Taurat yang dianuti oleh orang Nasrani dan Yahudi, kitab ini adalah seratus peratus kalam Allah swt. Kitab Injil dan Taurat atau lebih dikenali dengan New Tastement dan Old Tastement adalah himpunan tiga elemen iaitu; kalam Allah swt, kisah-kisah daripada ahli sejarah dan hadis-hadis atau nasihat-nasihat daripada para Nabi. Ramai cendiakiawan Islam mendakwa kitab Injil dan Taurat telah diselewengkan dengan penambahan cerita-cerita dogeng oleh ahli sejarah dan perkara-perkara yang berkaitan hukum asas agama Yahudi dan Nasrani.

Ayat pertama yang diturunkan adalah surah Al-Alaq. Melalui surah ini, Nabi Muhammad saw dipertemukan pertama kalinya dengan Jibrail as. Kerana ketakutan, Rasul junjungan kita ini mengigil ketakutan. Melalui ayat ini, Nabi Muhammad telah disuruh baca oleh Jibrail as. Namun, Rasulullah adalah ummi iaitu tidak pandai menulis dan membaca hingga membuatkan baginda terkedu dan ketakutan.

Bermula daripada detik itu, Rasulullah saw telah kerap kali diberi wahyu oleh Allah swt dan dihimpun oleh para sahabat untuk dicatit di pelepah tamar serta tulang belulang. Pelbagai cara Rasulullah saw menerima wahyu. Ia berdasarkan hadis berikut:

Dari Aisyah Ummul Mukminin r.a. bahwa Harits bin Hisyam r.a. bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Ya Rasulullah, bagaimana caranya wahyu turun kepada Anda?” Rasulullah menjawab, “kadang-kadang wahyu itu datang kepadaku seperti bunyi lonceng. Itulah yang sangat berat bagiku. Setelah bunyi itu berhenti, aku baru mengerti apa yang disampaikannya. Kadang-kadang malaikat menjelma seperti seorang laki-laki menyampaikan kepadaku dan aku mengerti apa yang disampaikannya,” Aisyah berkata, “Aku pernah melihat Nabi ketika turunnya wahyu kepadanya pada suatu hari yang amat dingin. Setelah wahyu itu berhenti turun, kelihatan dahi Nabi bersimpah peluh.”

Melalui hadis ini, dapat digambar bahawa sangat berat tanggungan Rasulullah saw apabila menerima satu-satu wahyu. Namun, inilah saat-saat yang dinantikan oleh Rasulullah saw dan para sahabat kerana jika terdapat satu-satu wahyu turun, maka ia bermakna mesti ada perkhabaran baru oleh Allah swt kepada umat Islam berkenaan syariat, kisah para nabi terdahulu, hukum hakam, celaan kepada orang kafir dan sebagainya . Pendek kata, Islam akan sempurna dari semasa ke semasa.

Untuk kali ini, penulis akan membincangkan perihal apa yang disebalik nama satu-satu surah di dalam al-Quran. Kekadang, sesetengah umat Islam langsung tidak tahu apa yang di maksudkan dengan al-Baqarah, al-Alaq, al-Hujuraat mahupun al-Hadid. Jadi, apa kata pembaca semua hayati artikel yang dinukilkan khas oleh penulis ini. Semoga pembaca semua mendapat manfaat daripadanya.

 

Surah al-Fatihah

Surat al-Fatihah membawa maksud pembukaan. Surah ini diturunkan di Mekah dan terdiri dari 7 ayat. Surah ini adalah surah yang pertama diturunkan dengan lengkap berbanding surah-surah yang terdapat di dalam al-Quran. Surah yang tergolong dalam golongan surah Makkiyyah ini disebut al-Fatihah kerana dengan surah ini dibuka dan dimulainya al-Quran.

Surah ini dinamakan dengan beberapa gelaran seperti Ummul Quran (ibu al-Quran) atau Ummul Kitaab (ibu al-Kitab) kerana surah ini merupakan induk kepada semua isi Al Quran. Surah ini juga digelar As Sab’ul matsaany yang membawa maksud ‘tujuh yang berulang-ulang’ kerana ayatnya mengandungi tujuh yang dibaca berulang-ulang dalam sembahyang.

 

Surah al-Baqarah

Surat ini dinamai al-Baqarah kerana di dalamnya disebutkan kisah penyembelihan lembu betina yang diperintahkan Allah swt kepada Bani Israil. Kisah tersebut diceritakan oleh Allah swt daripada ayat 67 sehingga ayat 74, Dalam ayat tersebut dijelaskan watak sebenar orang Yahudi.

Surat al-Baqarah yang mengandungi 286 ayat ini turun di Madinah. Sebahagian besar diturunkan pada permulaan tahun Hijrah, kecuali ayat 281 yang diturunkan di Mina pada Haji Wadaa’ (Haji Wadaa’ adalah haji Rasulullah saw yang terakhir). Keseluruhan ayat daripada surat al-Baqarah termasuk golongan Madaniyyah.

Surah al-Baqarah terkenal sebagai surah yang terpanjang di antara surah-surah dalam al-Quran. Di dalam surah ini, terkandung ayat terpanjang iaitu pada ayat 282.

Surah ini digelar dengan Fusthaatul-Quran yang membawa maksud ‘puncak al- Quran’. Ia dinamakan sedemikian kerana di dalamnya memuatkan beberapa hukum yang tidak disebutkan dalam surat yang lain. Surah ini juga dinamai dengan nama surah alif-lam-mim kerana surah ini dimulai dengan Alif lam mim pada permulaan ayatnya.

 

Surah Ali Imran

Surah Ali ‘Imran yang terdiri dari 200 ayat ini adalah surat Madaniyyah. Dinamakan Ali ‘Imran adalah kerana memuatkan kisah keluarga Imran. Imran adalah bapa kepada Maryam iaitu ibu kepada Nabi Isa as.

Dalam surah ini disebutkan kelahiran Nabi Isa as yang mempunyai persamaan kejadiannya dengan Nabi Adam as. Selain itu dikisahkan juga mengenai kenabian dan beberapa mukjizat yang dianugerah kepada baginda. Surah ini ada menyebut kelahiran Maryam, puteri Imran yang juga ibu Nabi Isa as.

Surat al-Baqarah dan Ali Imran ini dinamakan Az-Zahrawaani (dua yang cemerlang), kerana kedua-dua surat ini menyingkapkan hal-hal yang disembunyikan oleh para Ahli Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa a.s serta kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. dan sebagainya.

 

Surah An-Nisaa’

Surah An-Nisaa’ yang terdiri dari 176 ayat adalah surat Madaniyyah. Surah ini adalah surah yang terpanjang selepas surah al-Baqarah. Dinamakan An Nisaa’ adalah kerana di dalam surah ini banyak dibicarakan hal-hal yang berhubungan dengan wanita serta merupakan surah yang paling membicarakan hal itu berbanding dengan surah-surah yang lain.

Selepas surah An-Nisaa’, surah ath-Thalaq juga banyak membicarakan perihal wanita. Dalam hubungan ini, surat An Nisaa’  lazim disebut dengan gelaran: Surat An Nisaa’ Al Kubraa (surat An Nisaa’ yang besar), manakala surat ath-Thalaq disebut dengan gelaran: Surat An Nisaa’ Ash Shughraa (surat An Nisaa’ yang kecil).

 

Surah al-Maa’idah

Surat al-Maa’idah terdiri dari 120 ayat. Ia termasuk kategori surah Madaniyyah. Walaupun terdapat beberapa ayatnya turun di kota Mekah, namun kebanyakan ayat dalam surah ini diturunkan selepas Rasulullah saw berhijrah ke Medinah, iaitu ketika nabi melakukan haji wadaa’.

Surah ini digelar al-Maa’idah (hidangan) kerana memuatkan kisah hawari-hawari Nabi Isa as meminta kepada Nabi Isa as agar Allah menurunkan untuk mereka al-Maa’idah (hidangan makanan) dari langit. Ia dikisahkan Allah swt pada ayat ke-112.

Surah al-Maa’idah juga dinamakan Al Uqud (perjanjian), kerana istilah itu terdapat pada ayat pertama surah ini. Dalam ayat ini, Allah swt menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji setia kepada Allah dan perjanjian-perjanjian yang mereka lakukan sesama mereka.

Ia juga dinamakan al-Munqidz (yang menyelamatkan), kerana pada akhir surah ini mengandungi kisah tentang Nabi Isa as yang berdoa untuk menyelamatkan pengikut-pengikut setianya dari azab Allah swt.

 

Surah al-An’aam

Surah al-An’aam yang terdiri atas 165 ayat termasuk kategori surah Makkiyah. Hampir seluruh ayat-ayat dalam surah ini diturun di kota Mekah sebelum Hijrah. Al-An’aam membawa maksud binatang ternak seperti unta, sapi, biri-biri dan kambing.

Dinamakan Al An’aam kerana di dalamnya disebut kata An’aam yang berkaitan dengan adat-istiadat kaum musyrikin, yang mana menurut mereka binatang-binatang ternak itu dapat dipergunakan untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Dalam surah ini juga disebutkan hukum-hakam yang berkenaan dengan binatang ternak tersebut.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 856 other followers

%d bloggers like this: