Tag Archive | Kisah Ashabul Kahfi

Siri Terakhir: Kebijaksanaan Allah swt dalam peristiwa Ashaabul Kahfi

Oleh: takusahrisau

 

Kebijaksanaan Allah swt dalam peristiwa Ashaabul Kahfi

 

Ulama tafsir seperti Ibnu Kathir menyamakan firman yang berbunyi “Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur”  dengan perilaku serigala yang hanya menutup sebelah mata dan membuka mata yang sebelah lagi semasa tidur. Ini adalah salah satu kebijaksaan Allah swt yang mengatur setiap kejadian menurut kemahuan-Nya.

 

 

 

 
 
 

Tabiat serigala yang tidur dengan membuka mata dan menutup di sebelah lagi dijadikan perbandingan dengan Kisah Ashaabul Kahfi

 

 

 

Menurut ulama tafsir terkenal tersebut, ketika Allah swt menutup telinga mereka ketika tidur sepertimana firman Allah swt dalam ayat 11 surah al-Kahfi(rujuk di bawah),mata ketujuh-tujuh pemuda tersebut tidak terpejam penuh. Mata itu tetap tampak terbuka untuk menerima oksigen. Dengan itu, ia lebih dapat membuatkan mereka bertahan lama sehingga beratus-ratus tahun.

 

Kemudian Allah swt berfirman  “Dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri”, Ibnu Abbas ra berkata;

Seandainya mereka tidak dibolak-balikkan, nescaya bumi akan memakan mereka

 

Secara saintifiknya, bergitulah hakikatnya. Jika tubuh manusia hanya terlentang di sebelah tubuhnya sahaja, maka tidak bergeraklah aliran darahnya secara normal. Jika keadaan berlaku sebaliknya, maka akan berlakulah masalah penyakit seperti gangrene,  kekebasan dan sebagainya akibat aliran darah yang tersekat. Itulah kebijkasanaan Allah swt yang membuat aturannya.

 

Tempoh Para Ashaabul Kahfi tidur di Gua

 

 

Dalam ayat di atas, ia berkaitan dengan tempoh masa para pemuda beriman tersebut tidur di dalam gua, iaitu daripada tempoh masa mereka tidur sehingga detik mereka dibangkitkan Allah swt daripada tidur.

Allah swt menyebut bahawa tempoh masanya adalah Tiga Ratus Tahun ditambah Sembilan Tahun Hilaliyah(Qamariyyah). Sedangkan dalam hitungan tahun Syamsiyah lama tempohnya adalah Tiga Ratus Tahun.

Bagi yang tidak memahami Tahun Qamariyyah dan Tahun Syamsiyah, penulis hanya boleh beritahu bahawa Tahun Qamariyyah memiliki tambahan tahun sebanyak TIGA tahun setiap kali genap satu abad(100 tahun). Ini bermakna, jika Tahun Syamsiyah adalah 300 tahun atau tiga abad, ia adalah bermakna 309 tahun Qamariyah akibat penambahan 3 tahun setiap kali genap 100 tahun.

 

Berapa ramaikah Ahli Ashaabul Kahfi yang sebenar-benarnya?

 

 

Allah swt berfirman yang memberitahu tentang perbezaan pendapat manusia mengenai jumlah Ashaabul Kahfi. Dalam ayat 22 Surah al-Kahfi, kita dapat menemui Allah swt memberi TIGA pendapat berbeza. Namun, tiada pula pendapat keempat.

Allah swt menyatakan kelemahan DUA pendapat yang terawal yang menyebut tentang terkaan terhadap yang ghaib. Ibnu Kathir menyatakan bahawa ia sama seperti seseorang membaling batu ke dalam belukar yang gelap. Tidak diketahui samaada ia dapat ditemui lagi atau tidak. Dua pendapat nyata sangat lemah dan hanya timbul akibat perbalahan sesama ahli kitab.

Seterusnya Allah swt menyatakan jumlah bilangan pada rangkap terakhir. Para ulama salafi menafsirkan bahawa pendapat terakhir adalah jumlah sebenar-benarnya ahli Ashaabul Kahfi iatu Tujuh Orang ditambah dengan seekor Anjing.

Ia dikukuhkan lagi oleh beberapa testimonial daripada para tabiin sebagaimana berkata;

Daripada Qatadah mengatakan daripada Ibnu Abbas ra, beliau berkata;

Aku termasuk yang sedikit yang dikecualikan oleh Allah swt, dan yang benar, mereka berjumlah tujuh orang.

  

 

 

 
 

Ketujuh-tujuh pemuda beriman ini disertai juga oleh anjing Qitmir.

  

 

Di sebalik ayat mengenai kisah Ashaabul Kahfi

Allah swt telah memperihalkan satu persatu kejadian yang berlaku kepada tujuh pemuda beriman itu. Ia dimulai dengan ayat 9 dalam surah al-Kahfi yang bermaksud:

Raqim dalam ayat tersebut telah ditafsirkan sebagai anjing Qitmir yang telah mengikut tujuh pemuda beriman tersebut ketika melarikan diri daripada raja yang zalim. Namun terdapat sebilangan ahli tafsir lain menafsirkan Raqim adalah batu bersurat.  Sesetengah pendapat mengatakan ia adalah nama tempat yang menempatkan mereka bertujuh ketika bersembunyi. Walaubagaimanapun pendapat yang mengatakan Raqim adalah anjing Qitmir diterima sebagai pendapat yang utama kerana kesesuaian faktanya dengan situasi kisah Ashaabul Kahfi.

Kisah Ashaabul Kahfi sebenarnya kisah misteri yang sentiasa menjadi pendebatan ahli-ahli kitab iaitu Kristian dan Yahudi. Mereka kerap bertengkar mengenai hal-hal yang kecil seperti jumlah bilangan mereka dan beberapa lama mereka ditidurkan di dalam gua. Mereka tidak pula mengambil pengajaran daripada kisah tersebut. Teguran Allah dapat disaksikan di dalam ayat 12 Surah al-Kahfi ini:

Kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lama mereka tinggal (dalam gua itu). 

Ayat kedua golongan itu bermaksud dua golongan yang bertelagah hanya disebabkan oleh berapa hari mereka tinggal di dalam gua.

Sebenarnya, iktibar utama dalam kisah Ashaabul Kahfi ini adalah mengenai kekuasaan Allah swt untuk membangkitkan dan mematikan hamba-Nya. Surah al-Kahfi diturunkan adalah disebabkan bergitu ramai ahli kitab pada waktu itu tidak yakin tentang kehidupan selepas kematian dan juga alam Roh. Pelbagai pertikaian mengenai alam roh yang mereka kemukakan seperti kebangkitan ketika di hari kiamat nanti hanya adalah roh bukannya jasad, di sebelah lagi membangkang dengan menyatakan kebangkitan nanti akan disertai roh dan jasad. Perbalahan mereka tiada penghujungnya. Maka dengan turunnya surah al-Kahfi dan kisah Ashaabul Kahfi maka terjawablah segala persoalan yang sering bermain di fikiran mereka. Waallahualam..

 

 

 

 

~Kisah Ashaabul Kahfi turut dikenali oleh penganut Kristian sebagai Seven Sleepers. Kisah ini mula tersebar ke seluruh wilayah taklukan Kristian apabila Paul the Deacon(720-799) dan Gregory the Tours(538-594) menulis sebuah kisah mengenai keajaiban yang berlaku kepada tujuh orang pemuda berserta seekor anjing. Kisah ini berdasarkan kisah benar yang menjadi kisah turun temurun di Ephesus, Turki. Ajaibnya adalah kisah ini 100% sama seperti kisah Ashaabul Kahfi yang diceritakan daripada ayat 9 hingga ayat 26. 

  

Kembali ke SIRI 1

Kembali ke SIRI 2

SIRI 2: Gua Yang Menjadi Tempat Persembunyiaan 7 Pemuda Beriman

Oleh: takusahrisau

 

Gua Yang Menjadi Tempat Persembunyiaan

Menurut ayat 17 surah al-Kahfi di atas, kita dapat mengambil beberapa fakta untuk dijadikan bahan kajian. Antara ayatnya adalah:

Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.

 

Menurut Ibnu Kathir dalam bukunya Shahih Ibnu Kathir halaman 502, Ibnu Kathir telah dengan panjang lebar menghuraikan mengenai kedudukan sebenar gua tersebut namun Ibnu Kathir tidak pula memberitahu nama tempat persembunyiaan ketujuh-tujuh pemuda tersebut.

Menurut Ibnu Kathir, pintu gua yang menjadi tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara. Ia didasarkan dengan firman Allah swt memberitahu ‘Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan’ yang membawa maksud jika sinar matahari menyinarinya saat matahari terbit, matahari akan dilihat condong dari gua itu dalam sebelah kanan mereka.

Ingatan bahawa, condong yang dimaksudkan bukannya bayangan tetapi condong yang dimaksudkan adalah penglihatan mereka. Ini kerana ramai yang beranggapan condong dalam firman Allah swt itu adalah bayangannya sedangkan ayat tazawarru yang membawa maksud condong dalam bahasa Melayu itu jika ditafsirkan berdasarkan linguistik Arab adalah kecondongan penglihatan.

 

Bagaimana pula dengan ayat “dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu” dalam ayat 17 surah al-Kahfi?

 

Menurut Ibnu Kathir dalam kitabnya, Shahih Ibnu Kathir, cahaya matahari yang menyinari mereka akan beransur-ansur menjauhi mereka ke sebelah kiri ketika matahari hendak terbenam(merujuk kepada pintu gua yang menghadap ke selatan).

Dalam erti kata lain, bayangan akan jatuh ke sebelah timur apabila cahaya masuk ke dalam gua tersebut.

Dalam konteks ayat terakhir yang merujuk kepada tempat yang luas. Ia adalah kata kunci terakhir untuk mencari gua yang sebenar-benarnya yang mana telah menjadi tempat persembunyian 7 pemuda beriman tersebut. Semestinya gua yang menempatkan mereka bertujuh adalah luas dan selesa untuk didiami oleh lelaki dewasa yang seramai tujuh orang.

Daripada ayat 17 surah al-Kahfi ini, penulis dapat simpulkan bahawa ayat ini mengandungi hikmah yang sungguh banyak. Ini kerana, seandainya pintu gua itu menghadap ke timur, nescaya tidak akan ada sinar yang masuk saat matahari terbenam.

Seandainya pintu gua itu menghadap ke selatan, nescaya sinar itu tidak dapat masuk ketika matahari terbit dan tidak pula ketika matahari terbenam bahkan bayangan pun tidak condong ke kanan atau kiri.

Seandainya pintu gua itu menghadap ke barat, nescaya sinar matahari pun tidak dapat masuk ketika matahari terbit tetapi hanya menyinari hanya setelah matahari tergelincir dan akan tetap menyinari sehingga terbenam.

Maka di situ letaknya hikmahnya. Allah swt sengaja memberi ilham kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah swt telah menetapkan aturannya. Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana. Allahuakbar.

 

Tempat yang dikaitkan dengan Gua Ashabul Kahfi

Telah menjadi perdebatan daripada zaman berzaman mengenai tempat persembunyian mereka. Walaubagaimanapun, Allah swt langsung tidak memperihalkan di mana tempat sebenar mereka bersembunyi. Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah hanya mahu hamba-Nya mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah.

Namun, itu tidak bermakna ulama-ulama Islam tidak mengkajinya secara khusus. Terdapat sekurang-kurangnya ENAM buah tempat yang sering dikaitkan dengan kisah Ashaabul Kahfi ini. Antara tempat yang dikaitkan adalah:

1.         Ephesus, Turki

2.         Kahramanmaras, Turki

3.         Mardin, Turki 

4.         Gua di Jabal Qassiyyun, Syria

5.         Abu Alanda, Jordan

6.         Maimuna, Afghanistan

Keenam-enam tempat yang dikaitkan dengan kisah Ashaabul Kahfi di atas mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun, apa yang pasti ialah tempat yang dikaitkan mesti pernah menjadi pusat pemerintahan Romawi Timur(Byzantine) satu ketika dahulu.

Gua di Jabal Qassiyyun, Syria langsung tidak bertepat dengan dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran.

 

Dalam enam tempat yang sering dikaitkan dengan gua persembunyiaan Ashaabul Kahfi ini hanya terdapat DUA sahaja yang sering diperkatakan iaitu Gua di Ephesus(Tarsus), Turki dan Gua di Abu Alanda, Jordan.

Gua di Ephesus, Turki

Gua di Abu Alanda, Jordan

 

Tidak menghairankan jikalau pertikaian ini sering berlaku kerana banyak peristiwa seperti makam para Rasul dan Nabi, makam para Wali Allah dan makam para Sahabat mempunyai lebih daripada dua tempat yang berlainan. Sebagai contoh makam seorang wali Allah Sheikh Yusuf al-Makasar mempunyai tiga makam yang berlainan iaitu di Sri Lanka, Cape Town, Afrika Selatan dan Lakiung, Indonesia.

Walaubagaimanapun, Gua di Ephesus mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana Ephesus sangat terkenal sebagai tempat pemerintahan Romawi Byzantine suatu ketika dahulu. Jika pembaca melawat ke Ephesus, masih terjaga dengan rapi tinggalan-tinggalan sejarah berunsur Romawi di Ephesus seperti Theater of Ephesus, Road of Accadian, Temple of Artemis,Temple of Handrian dan lain-lain lagi.

Theater of Ephesus. Di sinilah tempat dipercayai hawari Nabi Isa as, Yahya(John) berdebat dengan paderi agama Pagan.

Road of Accadia di Bandar Purba Ephesus.

4 tiang ini dipercayai dipacak bagi memperingati jasa hawari Nabi Isa as yang menyebar ajaran Tauhid di Tarsus(Ephesus)

 

Bukan sahaja dikaitkan dengan pemerintahan Romawi Byzantine, Ephesus juga dikaitkan dengan  penyebaran agama Nasrani oleh para hawari Nabi Isa as. Malahan pada 431AD, Ephesus telah dijadikan tempat untuk perbincangan keagamaan agama Nasrani yang dikenali sebagai General Council of Ephesus. Dalam perbincangan ini, tokoh Nasrani terkenal iaitu Nestorius telah diselar kerana mengamalkan ajaran Nasrani yang berlainan. Perbincangan keagamaan yang diketuai oleh pemimpin Romawi Byzantine(telah menganut agama Nasrani) iaitu Theodius telah sebulat suara menyatakan bahawa Mariam(Mary) adalah ibu kepada anak Tuhan(son of god) dan bukannya ibu kepada anak manusia(son of man) yang telah dipertahan habis-habisan oleh Nestorius dan pengikutnya.

Jika perbuktiaan mengenai gua di Ephesus dikaitkan dengan dalil-dalil daripada al-Quran, ia sangat bertepatan berbanding gua yang berada di Abu Alanda, Jordan. Ini adalah kerana pintu gua di Ephesus menghadap ke arah selatan(ke arah Mekah) berbanding gua di Abu Alanda yang terpesong sedikit menghadap ke Timur Laut.

Ruang di dalam gua di Ephesus yang cukup selesa dan luas amat bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Kahfi.

 

Walaubagaimanapun, tempat sebenar gua Ashaabul Kahfi hanya dalam pengetahuan Allah swt. Waallahualam.

Rasullulah saw pernah mengingatkan umatnya dalam sabdanya jika terdapat masalah berkaitan keagamaan. Sabda Rasulullah saw:

Tidaklah aku meninggalkan sesuatu yang dapat mendekatkan kalian ke Syurga dan menjauhkan kalian dari Neraka melainkan aku benar-benar telah memberitahunya kepada Kalian.

Antara lain hadis ini bermaksud bahawa Rasulullah saw telah pun memberitahu semua perkara yang berkaitan dengan Islam dan jika terdapat perkara yang tidak diberitahu maka ia adalah sesuatu yang tidak mempunyai kaitan dengan akidah dan iman kita. Maka, perkara yang berkaitan dengan tempat letaknya gua Ashaabul Kahfi tidak memberi kesan kepada iman dan akidah kita sama ada Rasulullah saw memberitahu tempatnya atau tidak memberitahunya.

 

 

Bersambung di Siri 3: Kebijaksanaan Allah swt dalam peristiwa Ashaabul Kahfi

Kembali ke SIRI 1

SIRI 1: Kisah Ashaabul Kahfi-Persoalan-persoalan membabitkannya..

Oleh: takusahrisau

 

SIRI 1: Persoalan-persoalan membabitkan Kisah Ashaabul Kahfi

Nota kaki: Artikel ini akan dikeluarkan dalam beberapa siri kerana dihambat oleh bebanan kerja penulis. Diingatkan sekali lagi bahawa bahan-bahan fakta yang dikemukakan adalah rujukan penulis sejak sekian lama termasuk daripada kitab-kitab ulama salafi dan ulama ketemporari. Namun terdapat juga beberapa fakta yang penulis tampilkan berdasarkan kajian penulis di dalam Al-Quran melalui surah al-Kahfi daripada ayat 9 hingga ayat 26.

 

Mukadimmah

Kisah Ashaabul Kahfi boleh diikuti di dalam al-Quran dalam surah al-Kahfi. Kisahnya diterang panjang lebar oleh Allah swt bermula daripada ayat 9 hingga ayat 26. Asbabul nuzul(sebab turunnya ayat) adalah kerana terdapat beberapa rabbi Yahudi yang mahu menguji kerasulan Rasullulah saw dengan menghantar beberapa orang Quraisy untuk menanyakan tiga perkara yang teramat sukar untuk diterangkan oleh manusia biasa. Malah kaum Quraisy ketika itu tiada langsung pengetahuan mengenainya. Tiga perkara tersebut adalah:

1.         Tentang alam Roh,

2.         Kisah Zulkarnain dan Yakjuk Makjuk

3.         Kisah Ashaabul Kahfi (penghuni gua)

Diriwayatkan bahawa beberapa golongan Quraisy datang kepada Rasulullah saw bertujuan menguji kenabian Rasul kesayangan kita ini. Namun Rasulullah saw memintanya untuk menunggu sehingga esok kerana mengharap turunnya wahyu pada keesokkan harinya. Namun, wahyu tetap tidak turun seperti yang diharapkan oleh Rasulullah saw. Oleh kerana itu, Rasulullah saw gagal menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh golongan kafir itu sehinggalah genap 15 hari kemudian.

Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, Ibnu Hatim, dan Ibnu Majah, mereka sama-sama sebulat suara berkata bahawa turunnya ayat 23 hingga ayat 24 dalam surah al-Kahfi adalah kerana Allah swt menegur Nabi Muhammad saw kerana tidak mengucapkan InsyaAllah  ketika berjanji. Dan dengan sebab itulah wahyu yang diturunkan menjadi lambat kerana kegagalan Rasulullah saw mengucap InsyaAllah. Ayat dimaksudkan adalah:

23. Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi, 

24. Kecuali (dengan menyebut): “Insya Allah” Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini.”

Turunnya ayat ini sebenarnya memberi pengajaran besar bukan sahaja buat Rasulullah saw tetapi juga kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Denga ayat ini, Rasulullah saw menyarankan umatnya untuk mengucap InsyaAllah ketika berjanji dan sentiasa berdoa mengharap petunjuk daripada Allah swt bagi mengharapkan keberkatan daripada-Nya.

Surah al-Kahfi adalah surah yang menunjukkan kitab al-Quran adalah mukjizat terbesar junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad saw. Manakan tidak, di dalamnya terkandung beberapa kisah yang ajaib dan penuh misteri seperti Kisah Zulkarnain, Kisah Zulkarnain dan Yakjuk Makjuk, Kisah Khidir as dan Musa as, Kisah Luqmanul Hakim dan semestinya kisah Ashaabul Kahfi. Kisah-kisah yang diceritakan dalam surah ini sebenarnya kisah yang sukar untuk diungkap dan hanya orang yang mempunyai pengetahuan yang tinggi sahaja mampu menceritakan satu persatu cerita tersebut. Ketepatan fakta yang dikemukakan dalam al-Quran mengenai kisah-kisah ini telah memberi tamparan hebat kepada golongan Yahudi yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada Islam.

 

Siapakah Pemuda-Pemuda Tersebut?

Di dalam al-Quran, Allah swt telah membentangkan satu kisah untuk tatapan umat Islam sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda-pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran keduniaan. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Ulama-ulama tafsir sebulat suara menyatakan jumlah mereka adalah tujuh orang kesemuanya. Mereka terdiri daripada:

  1. Maksalmina (Meksemlina)
  2. Tamlikha (Yemliha)
  3. Martunus (Mislina)
  4. Bainunus atau Nainunus (Mernuş)
  5. Sarbunus (Debernuş)
  6.  Dzunuanus (Sazenuş,)
  7. Kasyfitatanunus (Kefeştatayyuş)

 

Ilustrasi daripada seorang pelukis.

Zaman Ashaabul Kahfi

Pendapat pertama mengatakan ketujuh-tujuh pemuda ini dikatakan hidup di zaman pemerintahan Gaius Messius Quintus Decius atau Maharaja Decius. Maharaja Decius memerintah Rom Byzantine daripada 249AD sehingga 251AD. Maharaja Decius meninggal akibat dibunuh ketika peperangan dengan puak Goth pada 251AD.

Maharaja Decius

Maharaja Decius diriwayatkan sebagai penganut agama pagan(penyembah berhala) yang sangat taat. Disebabkan itu, beliau sangat zalim terhadap penganut-penganut yang menganut agama selain daripada agama pagan terutama agama Nasrani.

Manakala pendapat kedua mengatakan ketujuh-tujuh pemuda tersebut hidup ketika pemerintahan Maharaja Trajan. Maharaja Trajan memerintah sekitar 98AD sehingga 117AD. Sepertimana Maharaja Decius, Maharaja Trajan terkenal sebagai seorang raja yang zalim terhadap golongan Nasrani.

Maharaja Trajan

Penulis sebenarnya lebih menyasarkan bahawa ketujuh-tujuh wali Allah itu hidup di zaman Maharaja Decius kerana diriwayatkan bahawa Maharaja Decius pernah menyeksa dengan kejam setiap rakyatnya yang menganut agama Nasrani.

Tambahan pula, mazhab yang dianuti oleh ketujuh-tujuh pemuda tersebut lebih kepada mazhab Arianisme. Ini boleh dilihat dalam ayat 14, Surah al-Kahfi ketika perdebatan antara ketujuh-tujuh pemuda tersebut dengan Maharaja yang memerintah ketika itu.

Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”

Sepertimana Islam, mazhab Arianisme amat percaya kepada Allah yang Esa dan membangkang habis-habisan ajaran Triniti yang mengatakan Isa as anak Tuhan. Ramai cendiakiawan menyatakan bahawa mazhab Arianisme adalah mazhab agama Nasrani yang paling asli. Malah ia lebih mirip dengan Islam berbanding Kristian Katholik pada masa kini.

Jika dilihat daripada aspek itu, pemuda yang ditidurkan selama 306 tahun itu bakal Allah swt bangkitkan daripada tidurnya semasa pemerintahan telah bertukar tangan kepada Nasrani. Pemerintah tersebut mestilah seorang yang taat kepada ajaran Nasrani dan turut menganut ajaran monoteisme dan bukannya ajaran Triniti yang dipelopori oleh Maharaja Constantine. Diingatkan bahawa bukan semua Maharaja selepas Constantine menganut ajaran Kristian Triniti bahkan anak Constantine sendiri iaitu Constantine II menganut ajaran Arianisme.

Jika dihitungkan semasa mereka hidup sekitar pemerintah Maharaja Decius:

249AD+ 306 tahun =555AD

Maharaja yang memerintah sekitar tahun 549AD adalah Justinian I. Justinian I terkenal sebagai maharaja Nasrani yang bergiat cergas dalam penyebaran agama samawi itu. Lebih menarik adalah Maharaja Justinian turut menganut agama Nasrani orthodox yang kemungkinan besar adalah mazhab Arianisme. Justinian juga terkenal sebagai salah seorang yang diberi taraf saint oleh Church of the East.

Maharaja Justinian I

Sebagai perbandingan pula. Jika ketujuh-tujuh pemuda tersebut hidup di zaman Maharaja Trajan, maka mereka akan dibangkitkan daripada tidurnya sekitar 404AD. Lihat pengiraan ini:

98AD+306 tahun=404AD

Maharaja yang memerintah sekitar 404AD adalah Theodius II. Theodius II adalah maharaja yang beragama Nasrani. Tetapi ketaatannya terhadap agama Allah ini dipertikaikan. Ini adalah kerana terdapat riwayat menyatakan beliau melakukan beberapa kontroversi berkaitan agama Nasrani terutama kepada yang bermazhab Nestorian. Theodius II juga dikatakan seorang pemerintah yang lemah.

 

Maharaja Theodius II

 

Pemburuan terhadap tujuh Pemuda

Dan bergitulah yang terjadi kepada pemuda-pemuda tersebut. Mereka diburu dan ditangkap. Malah, penduduk-penduduk tempatan juga memberi tekanan kepada pemuda-pemuda tersebut. Mereka bukan sahaja diburu oleh tentera Rom bahkan turut diburu oleh penduduk tempatan yang berpegang kuat terhadap agama nenek moyang mereka.

Namun mereka diberi kekuatan oleh Allah swt ketika berhadapan dengan Maharaja Decius yang kafir itu. Ia telah terakam dalam ayat 14- ayat 15 surah al-Kahfi:

‘Dan Kami meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka)? Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah’

Dengan kepetahan ketujuh-tujuh pemuda tersebut berdebat di hadapan Maharaja Decius itu, Maharaja Decius dan pengikut-pengikutnya gagal menjawabnya. Walaubagaimanapun, Maharaja Decius telah menggunakan kekuasaan yang ada padanya untuk memaksanya meninggalkan agamanya dalam masa beberapa hari. Jika gagal membuat demikian, mereka akan dipaksa murtad dan jika enggan, mereka akan dibunuh.

Sehubungan dengan itu, ketujuh-tujuh duduk berbincang dan akhirnya mereka sebulat suara bertekad melarikan diri.

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: ayat 16)

Ketujuh-tujuh mereka turut disertai oleh anjing yang digelar Qitmir. Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik salah seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut iaitu Tamlikha.

 

 

 

Bersambung di Siri 2: Gua yang Menjadi tempat Persembunyian 7 Pemuda

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 858 other followers

%d bloggers like this: