Taktik dan Strategi yang digunakan dalam sukan Bolasepak..


Oleh: takusahrisau

 

Bolasepak mempunyai sejarah yang cukup panjang. Menurut badan rasmi bolasepak, FIFA bolasepak telah dipercayai bermula sejak kurun ke-3 sebelum masihi di China. Walaubagaimanapun, bolasepak yang kita lihat hari ini adalah bolasepak yang bermula pada abad ke-19 di England hasil inovasi permainan ‘rakyat’ warga British pada abad pertengahan.

Bolasepak terus tersebar dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan empayar British pada abad ke-19 sehingga ke abad ke-21. Bolasepak terus diminati di kawasan jajahan British kerana bolasepak dianggap cukup menyeronokkan dan mempunyai konsep kerjasama berpasukan yang jelas.

Jesteru itu, satu peraturan khas telah dikemaskini bagi memberi panduan semasa perlawanan berlangsung. Peraturan yang dikenali sebagai Cambridge Rule telah pun diperkenalkan pada 1848. Namun, peraturan ini tidak menjadi peraturan tunggal pada masa itu. Banyak kelab dan pasukan yang ditubuhkan telah menggunakan peraturan yang mereka cipta sendiri sepertimana Kelab Sheffield United. Peraturan tersebut kemudiannya dikenali dengan Sheffield Rule.

Peraturan bolasepak yang dicipta oleh kelab Sheffield United ini banyak diadaptasi ke dalam peraturan FIFA kemudian harinya. Sheffield United telah menubuhkan persatuan bolasepak mereka sendiri yang dikenali sebagai Sheffield FA pada 1867. Sheffield FA adalah persatuan bolasepak pertama di dunia.

Hari ini, bolasepak telah dimain secara professional di seluruh dunia dengan keuntungan berlipat ganda. Persatuan rasmi bolasepak iaitu FIFA adalah persatuan terkaya di dunia dengan keuntungan hasil daripada pengiklanan, yuran persatuan dan pelbagai sumber lagi memberi pulangan secara tahunan berbilion-bilion dolar.

Sebagai sukan paling berpengaruh dan diminati di dunia, bolasepak memberi persembahan yang menakjubkan sejak ia ditubuhkan. Perlibatan seluruh rakyat di dunia dalam sukan ini memberi kelainan kepada cara permainannya. Pasukan terhebat di dunia iaitu Brazil memberi dimensi baru kepada sukan bolasepak. Gaya individu yang dimiliki oleh setiap pemainnya telah membuka kelompak mata pasukan-pasukan Eropah pada awal 1950-an.

Sebagai sukan yang mementingkan gaya permainan secara berpasukan, pelbagai strategi dan formasi telah dicipta. Setiap negara mempunyai gaya permainan dan strategi permainan yang tersendiri. England sebagai contohnya, telah menginovasi formasi 4-4-2 secara efektif dan praktikal. Pada awal sukan ini popular, banyak negara mempunyai formasi yang memberi kelebihan kepada posisi penyerang. Kadang-kala, posisi penyerang diisi empat orang penyerang berbanding posisi pertahanan yang hanya disi dua orang sahaja.

Bergitulah ‘besar’nya kesenian dalam bolasepak. Hari ini, pelbagai strategi dan formasi telah tercipta dan diinovasikan. Oleh yang demikian, untuk kali ini penulis akan menulis beberapa strategi yang paling popular pernah dipraktikkan di dunia.

 

Flo Pass

Flo Pass diberi nama berdasarkan nama penyerang antarabangsa Norway, Jostein Flo. Strategi ini. Strategi yang kebiasaan diasaskan oleh bekas jurulatih Norway, Egil Olsen sering dikombinasikan dengan formasi 4-5-1. Seorang penyerang tunggal yang mempunyai kelebihan fizikal dan perebutan udara akan berada di bahagian pertahanan bagi mengucar-kacirkan sistem pertahanan lawan.

Jostein Flo(kanan) mempunyai kelebihan fizikal dan kekuatan lompatan untuk membawa kejayaan pada pasukannya.

 

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi Flo Pass bermula dengan hantaran daripada pemain pertahanan yang mempunyai kelebihan hantaran tepat. Hantaran tersebut akan disambar oleh penyerang yang mempunyai kelebihan tandukan untuk menyambar hantaran tersebut untuk mendapatkan gol.

Kejayaan

Strategi ini ternyata berkesan untuk negara yang mempunyai kekurangan pemain berskil dan kemahiran teknikal seperti Norway. Norway ternyata mampu mempratikkan strategi ini dengan berkesan sehingga mampu berada di ranking kedua selepas Brazil pada 1997. Norway juga satu-satunya negara yang tidak pernah kalah kepada Brazil dalam mana-mana perlawanan termasuklah perlawanan persahabatan.

 

Revie Plan

Revie Plan adalah nama taktik dan strategi yang dipraktikkan secara efektif oleh kelab Manchester City  dan Hungary pada dekad 50an. Revie Plan diberikan nama sedemikian berdasarkan kepada nama penyerang prolifik Manchester City tahun 50-an, Donald George ‘Don’ Revie.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi ini bermula dengan seorang penyerang yang mempunyai kelebihan teknikal dan stamina turun jauh ke bawah untuk mendapatkan bola. Kemudian, penyerang tersebut akan membawa bola sambil pemain sayap dan rakan penyerangnya membuka ruang bagi membolehkan penyerang yang membawa bola tadi membuat hantaran atau lorongan pendek.

Pemain seperti Don Revie dan penyerang Hungary, Nándor Hidegkuti berkebolehan mempraktikkan strategi ini dengan bergitu baik sehingga mampu mengucar-kacirkan pemain pertahanan lawan dan strategi lawan.

Pada hari ini, strategi ini diinovasi oleh Manchester United, AS Roma, Real Madrid dan banyak lagi kelab lain yang mempunyai pemain berkemahiran tinggi. Wayne Rooney, Francisco Totti, Ronaldo dan Messi adalah antara pemain yang dipertanggungjawabkan melaksanakan taktik Revie Plan dalam skuad mereka wakili pada hari ini.

Don Revie adalah individu yang mempelopori sistem Revie Plan.

 

Kejayaan

Pada era 1950-an, Manchester City dan Hungary telah berjaya mempraktikkan strategi ini dengan baik. Manchester City telah berjaya merangkul Piala FA pada 1956 setelah menewaskan Birmigham pada perlawanan akhir. Don Revie adalah watak utama yang menyumbang kejayaan kelabnya. Manakala Hungary juga adalah antara contoh terbaik kepada kejayaan mengaplikasikan strategi ampuh ini. Mereka telah menewaskan pasukan terkuat dekad itu, England dengan jaringan yang cukup besar, 6-3. Nándor Hidegkuti adalah penyerang yang bertanggungjawab melaksanakan strategi ini bagi memberi ruang kepada Ferenc Puskas untuk menjaringkan gol. Hidegkuti sendiri menjaringkan hatrik dengan aksi dam skil yang bergitu menarik.

 

Push and Run

Turut dikenali dengan nama one-two dan give and go. Ia diasaskan oleh jurulatih lagenda Totenham Hotspur, Artur Rowe pada tahun 1949.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi Push and Run sudah tidak asing pada hari ini. Namun pada 1940-an, ia adalah sesuatu yang baru. Strategi ini mementingkan pergerakan pemain untuk melancarkan serangan ke arah gol. Seseorang pemain hanya perlu membuat hantaran kepada rakan sepasukan dan pemain tersebut terus berlari sebaik bola dihantar. Pemainan one-two terus popular ke dalam pasukan-pasukan lain memandangkan ia mudah dipraktik dan cukup efektif.

Kejayaan

Kelab Totenham Hotspur mengecapi kejayaan pada 1951 apabila kelab ini mampu merangkul Kejuaraan Liga di bawah kendalian Artur Rowe.

 

Arthur Rowe adalah pengendali Totenham Hotspur era 1950-an.

 

One-Touch

Taktik paling lama dan paling ampuh yang telah dicipta dalam sukan bola sepak. Taktik ini mula dipraktikkan oleh skuad England. Cara permainan yang mudah dan laju telah memberi corak kepada gaya permainan Inggeris sehingga ke hari ini. Taktik ini banyak diadaptasi kemudian harinya ke dalam strategi-strategi lain. Sebagai contohnya adalah One-two atau Push and Run yang telah dibincangkan sebelum ini.

(Ingin sertai takusahrisau’s blog di Facebook?Klik SINI)

 

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi ini perlu dipraktikkan oleh kesemua pemain dalam sistem. Pemain tidak akan membawa atau menyimpan bola terlampau lama. Setiap pemain akan segera membuat hantaran sebaik menerima bola dan bergitu juga pemain-pemain lain. Permainan kelihatan cukup mudah serta laju dan ia sangat menghiburkan.

Kejayaan

Pasukan paling berjaya yang mempraktikkan taktik ini adalah tidak lain dan tidak bukan skuad England sendiri. England telah merangkul Piala Dunia pada tahun 1966 dengan menewaskan Jerman Barat sebanyak 4-2. Skuad yang diwakili oleh Bobby Moore sebagai kapten telah memberi satu dimensi baru kepada seni pemainan dalam bolasepak.

 

Total Football

Taktik hebat ini diasaskan oleh Jack Reynold semasa mengendalikan pasukan gergasi daripada Belanda, Ajaz Armsterdam pada 1915–1925, 1928–1940, dan 1945–1947. Kemudian ia diimprovisasikan oleh Rinus Michels yang juga mengendalikan Ajax Armsterdam pada era 1970-an. Michels kemudian mengaplikasikan sistem ini ke dalam skuad Belanda semasa beliau diangkat menjadi pengurus pasukan tersebut pada dekad 70-an. Komponen utama Total Football adalah lagenda Belanda iaitu Johann Cruyff.

Gaya pemainan yang menghiburkan oleh pasukan Belanda dipelopori oleh lelaki ini, Rinus Michels.

 

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Konsep Total Football bertumpu kepada pergerakan pasukan tanpa mempunyai posisi yang tetap. Ini bermakna seorang penyerang tidak semestinya menjadi penyerang pada setiap masa. Bergitu juga dengan pemain pertahanan dan pemain di bahagian tengah. Pergerakan tanpa posisi yang tetap ini membuatkan pemain-pemain lawan mempunyai kekangan untuk menyekat pergerakan seseorang pemain yang menggunakan sistem ini.

 

Kejayaan

Pasukan paling berjaya yang menggunakan sistem ini adalah tidak lain dan tidak bukan kelab gergasi Ajax Armsterdam dan Belanda pada era 70-an. Ajax berjaya merangkul kejuaraan liga dua musim berturut-turut iaitu pada 1971-1972 dan 1972-1973. Pada musim 1971-1972, kelab Ajax Armsterdam hanya kalah satu kali sahaja. Pada musim 1972-1973, Ajax Armsterdam berjaya merangkul lima kejuaraan besar iaitu Netherlands National League, KNVB Cup, European Cup, European Super Cup dan Intercontinental Cup.

Pasukan Belanda pula tidak kurang hebatnya. Di bawah kendalian Rinus Michels, Belanda berjaya mengecapi kegemilangan yang belum pernah dirangkul sebelum daripada itu. Antaranya adalah Juara Eropah 1988 dan Finalis Piala Dunia 1974(kalah kepada Jerman hanya 2-1). Belanda adalah satu-satunya negara yang hebat dalam sukan bola sepak yang belum merangkul Piala Dunia.

 

Anti-Football

Satu-satunya taktik bolasepak dalam senarai ini yang tidak mementingkan kemenangan secara total. Frasa Anti-Football dimulakan oleh Gary Armstrong dan Richard Giulianotti pada 2001 semasa mengulas kemenangan pasukan bukan pilihan(underdog), Estudiantes de La Plata kepada pasukan gergasi, Manchester United pada Copa Intercontinental tahun 1968.

Frasa ini banyak kali digunakan oleh individu berpengaruh dalam bolasepak seperti Johann Cruyff, Lionel Messi, Frank Rijkaard dan Cesc Fabregas semasa mengulas sistem yang digunakan oleh pasukan-pasukan bawahan.

Frasa Anti-Football juga dikenali sebagai Ultra-defensive. Namun, ia tidak sama dengan sistem dan taktik yang digunakan oleh pasukan antarabangsa Itali dan kelab-kelab daripada Seria A iaitu Cantenaccio.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Taktik ini bergantung kepada situasi dan lawan yang dihadapi. Kebiasaannya sesebuah pasukan lemah sering menggunakan taktik ini ketika menghadapi pasukan kuat. Strateginya cukup mudah iaitu sesebuah pasukan akan bermain secara bertahan untuk 90 minit tanpa cubaan untuk menyerang. Pemain di posisi serangan dan tengah akan menolong pemain pertahanan untuk bertahan secara efektif.

Kejayaan

Miskipun taktik ini langsung tidak menghiburkan, namun kejayaan yang diperolehi hasil daripada taktik ini usah dinafikan. Pasukan yang berjaya menggunakan taktik ini adalah pasukan bukan pilihan seperti Ranger ketika menentang Barcelona semasa edisi Kejuaraan Juara-Juara Eropah tahun 2007 yang akhirnya berakhir seri 0-0.

 

Catenaccio

Istilah Catenaccio adalah istilah bahasa Itali yang membawa makna selak pintu. Sepertimana namanya, sistem ini bertujuan mengunci pergerakan pihak lawan daripada terus menyerang dan mengelak daripada sesebuah pasukan dibolosi gol. Sistem ini diamalkan secara meluas oleh pasukan antarabangsa Itali dan kelab-kelab daripada negara tersebut seperti Internazionale FC, AC Milan, Juventus, AS Roma pada era dekad 1960-an sehingga 1990-an.

Ia diasaskan oleh seorang jurulatih Internazionale, Helenio Hererra pada 1960-an. Sistem ini dipengaruhi oleh sistem dan taktik yang diamalkan oleh jurulatih pasukan antarabangsa Austria tahun 1940-an, Karl Rappan. Taktik yang dipratikkan oleh Karl Rappan dikenali sebagai Verrou yang juga membawa maksud yang sama dengan Catenaccio.

Helenio Hererra adalah pengasas kepada sistem Catenaccio yang kita kenali hari ini.

 

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Sistem ini digabungkan dengan formasi asas dengan empat atau tiga posisi pemain pertahanan akan dikukuhkan dengan seorang penyapu(sweeper) di belakang posisi tersebut. Posisi sweeper turut dikenali dengan libero.

Sistem Catenaccio sangat dikaitkan dengan man-to-man marking dengan gaya yang cukup agresif. Namun, tidak semestinya gaya defensif ini tidak mempunyai gaya serangan yang bagus. Pasukan antarabangsa Itali tahun 70-an membuktikan bahawa sistem Catenaccio mempunyai mutu yang tinggi apabila mereka sering membolosi gol pihak lawan melalui penyerang dan playmaker hebat seperti Paolo Rossi. Sistem Catenaccio lazimnya digabungkan dengan taktik counter-attack dengan pemain pertahanan akan membuat hantaran panjang untuk mencari target-man yang dipertanggungjawabkan mencetak gol.

Sistem Catenoccio telah melahirkan ramai pemain pertahanan bertaraf dunia seperti Paolo Maldini, Fabio Cannavaro, Alessandro Costacurta, Alessandro Nesta, Franco Baresi, Giuseppe Bergomi, Claudio Gentile, Metarazzi dan ramai lagi.

Kejayaan

Pasukan paling berjaya yang mengamalkan sistem ini adalah pasukan antarabangsa Itali dan kelab gergasi Itali, Internazionale. Itali telah merangkul Piala Dunia edisi 1982 di Sepanyol selepas menewaskan Jerman Barat dengan 2-1. Itali juga telah merangkul Piala Eropah pada tahun 1968 buat kali pertama apabila turut menggunakan sistem ini.

 

Tiki-taka

Tiki taka adalah istilah yang merujuk kepada gaya permainan hantaran pendek, pergerakan pasukan secara total dan mengekalkan penguasaan bola. Sistem dan taktik Tiki-taka digunakan secara efektif oleh kelab gergasi daripada Sepanyol, FC Barcelona dan skuad antarabangsa Sepanyol. Istilah Tiki-taka dimulakan oleh juruhebah sukan daripada Sepanyol, mendiang Andres Montes semasa mengulas perlawanan semasa Piala Dunia FIFA edisi 2006.

Sistem Tiki-taka berasal daripada sistem dan taktik yang diamalkan oleh skuad Belanda dan FC Barcelona era Johann Cruyff dan Rinus Michels iaitu Total Football. Walaubagaimanapun, Tiki-taka sedikit berbeza berbanding Total Football yang mementingkan pergerakan posisi pemain kerana Tiki-taka mementingkan pergerakan pasukan secara total. Namun, kadang-kala corak pemainan Total Football kerap ditampilkan dalam sistem ini apabila pemain pertahanan kerap kelihatan mengambil peranan pemain sayap dan pemain tengah.

Tiki-taka sangat sesuai diamalkan bagi pasukan yang mempunyai pemain tengah yang bersaiz kecil dan sederhana kerana corak hantaran melalui sistem ini bersifat pendek dan mudah. Sepertimana sistem Total Football, kelebihan kepada sistem ini adalah komponen-komponen pemain yang mempunyai kelajuan dan kemahiran teknikal yang tinggi. Jika Total Football mempunyai Johann Cruyff, Johann Neskeens dan Arie Hann Sepanyol juga mempunyai pemain berskil tinggi seperti Xavi, Iniesta, Cesc Fabregas, David Villa dan Silva.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Tidak perlu disangkal lagi bahawa corak Tiki-taka memerlukan tahap stamina yang tinggi tambahan pula apabila bersaing di peringkat paling tinggi. Gaya permainan Tiki-taka mementingkan hantaran tepat yang rendah bagi menguasai permainan. Sepertimana Total Football, sistem Tiki-taka tidak bercorak counter-attack. Mereka menyerang dengan berbalas-balas hantaran sambil para pemain lain khususnya striker cuba mencari ruang bagi memudahkan seorang atau dua playmaker membuat lorongan terhadapnya.

Gaya permainan FC Barcelona sedikit berbeza dengan gaya permainan skuad antarabangsa Sepanyol. Ini kerana, FC Barcelona kerapkali menggunakan kelebihan teknikal pemain seperti Messi, Pedro dan Dani Alves untuk bergerak solo menerombos kubu lawan. Sepanyol bagaimanapun lebih mementingkan corak pemainan mudah dan lorongan-lorongan membahaya.

Gaya permainan Tiki-taka sangat menghiburkan kerana ia bersifat menyerang dan penguasaan bola secara total. Tiki-taka sebenarnya adalah adaptasi kepada semua sistem yang pernah popular sebelum ini seperti one-touch, Ravie Plan dan Push and Run namun sistem Total Football adalah paling berpengaruh terhadapnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa pasukan FC Barcelona adalah pasukan paling berjaya dalam dekad terdekat ini.

 

 

Kejayaan

Skuad Sepanyol dan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona adalah paling berjaya yang menggunakan sistem ini. Antara kejayaan Sepanyol adalah berjaya merangkul Piala Eropah pada tahun 2008 dan Piala Dunia FIFA pada edisi 2010. Kejayaan Sepanyol menamatkan kemarau anugerah selepas berpuluh tahun penyertaan mereka dalam Piala Eropah dan Piala Dunia FIFA.

FC Barcelona di bawah kendalian Pep Guardiola pula mengecapi kejayaan yang lebih besar apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga tiga musim berturut iaitu pada musim 2008-2009, 2009-2010, dan 2010-2011. FC Barcelona juga merangkul Copa De la Rey pada musim 2008-2009 dan finalis musim 2010-2011.

Apa yang paling membanggakan adalah FC Barcelona berjaya merangkul Piala Juara-juara Eropah pada musim 2008-2009 dan 2010-2011.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa corak permainan pass and move milik FC Barcelona dan Sepanyol ini membawa kejayaan yang besar dan apa lebih penting ialah ia sangat menarik untuk ditonton.!

About these ads

Tags: , , , ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

3 responses to “Taktik dan Strategi yang digunakan dalam sukan Bolasepak..”

  1. ren says :

    macam2 lah syed

  2. Awish says :

    Tahniah di atas artikel yg menarik..variasi info yang padat & informatif. Saya sebenarnya mencari-cari info berkaitan perbandingan kelab bolasepak di malaysia dan di luarnegara. Jika anda mempunyai sesuatu utk dilontarkan..sila share.. saya akan melawat lagi :)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 855 other followers

%d bloggers like this: