Khalid bin al-Walid, Pakar Strategi Perang!


Oleh: takusahrisau

 

Keperwiraan, kegagahan, keberanian, kebijaksaan merancang strategi sememangnya menjadikan panglima Khalid al-Walid dikagumi oleh umat Islam dan digeruni oleh para kafir laknatullah. Keperwiraan Khalid diwarisi sejak daripada beliau kecil lagi. Diriwayatkan bahawa, ketika kanak-kanak, Khalid sering memenangi setiap pergaduhan dengan sepupu rapatnya, Umar al-Khattab. Umar yang juga terkenal sifat beraninya menjadi individu yang disegani kemudian harinya sepertimana Khalid.

Semenjak kecil, Khalid sememangnya meminati kuda dan seni pertarungan pedang. Beliau juga dikatakan belajar ilmu strategi perang. Ini telah memberi manfaat kepadanya kerana ia menjadi tunjang kepada setiap kemenangan beliau dalam setiap peperangan yang dipimpinnya.

Apa yang mengkagumkan mengenai Khalid adalah beliau kelihatan bijak menerapkan strategi perang para pemimpin perang terdahulu. Malah, beliau mengadaptasinya menjadi lebih efektif dan inovatif. Sememangnya beliau seorang genius perang yang patut dikagumi oleh umat Islam.

Mengikut analisa, Khalid menggunakan strategi yang berlainan dalam satu-satu pertarungan. Dalam menghadapi musuh, beliau sering dilihat terlebih dahulu akan mengkaji rupa bentuk bumi, arah angin, iklim dan kekuatan pasukan musuh. Jika berkesempatan, beliau akan melantik beberapa tentera yang berani dan cekap untuk melakukan gerakan pengintipan dan sabotaj.

Di bawah merupakan analisa beberapa peperangan besar yang disertai Khalid dan strategi yang digunakannya. Semoga ia memberi manfaat kepada semua pembaca.InsyaAllah.

 

Perang Mu’tah,629M

Perang ini merupakan perang yang terawal yang disertai Khalid untuk berjihad menentang Rom Byzantine.

Strategi Khalid-Menggunakan perang psikologi

Berikutan gugur syahidnya tiga sahabat nabi iaitu Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harithah, tentera muslim berpandukan kepada pesanan Rasullulah saw yang berbunyi;

Sekiranya Zaid Bin Harisah terbunuh ketika memimpim peperangan itu, Saidina Jaafar hendaklah mengambil tempat sebagai gantinya. Sekiranya Saidina Jaafar terbunuh juga, tempatnya hendaklah diganti dengan Abdullah Bin Rawahah. Jika dia juga terbunuh maka terserahlah kepada kaum muslimin untuk melatik penggantinya.”

Maka tentera muslimin sepakat memilih Khalid sebagai komander setelah Tsabit ibn Arkan menolak tawaran. Khalid yang ketika itu sedar tentera muslim hampir tewas tangkas melaksanakan strategi hebatnya.

Beliau menyusun kembali tentera-tentera muslim yang berbaki tidak kurang daripada 3000 orang bagi menentang 200,000 tentera Romawi. Dalam satu malam, Khalid berjaya menyusun tentera infantri dengan sisi kiri(left flank) diganti ke sisi kanan(right flank) dan bergitulah sebaliknya. Tentera muslim dibariskan memanjang oleh Khalid sepanjang kawasan Karak dan disuruh membuat bising. Manakala tentera berkuda pimpinan beliau sendiri ditempatkan di sebelah belakang bukit untuk menunggu waktu tengahari.

Segala strategi Khalid hanya satu sahaja; mengelirukan musuh. Khalid menyusun kembali formasi tentera dari sisi kiri(left flank) diganti ke sisi kanan(right flank)  bagi membolehkan tentera Romawi tidak mengecam wajah mereka dan beranggapan tentera yang mereka hadapi adalah tentera bantuan dari Madinah. Bergitu juga arahan Khalid untuk berbaris memanjang dan membuat bising, ia untuk mengelirukan musuh bahawa jumlah mereka adalah ramai. Selain itu, tentera berkuda pimpinan Khalid yang bersembunyi di belakang bukit dan keluar apabila matahari naik adalah bertujuan untuk menimbulkan suasana huru-hara disebabkan debu-debu yang bertembangan. Tentera infantry juga disaran oleh Khalid untuk turut membuat debu bagi menambahkan kesan ‘penipuan’.

Strategi Khalid berjaya meruntuhkan moral musuh dan akhirnya kedua-dua pasukan berundur dari medan perang. Selepas Perang Mu’tah, Khalid digelar Rasullulah saw sebagai pedang Allah ataupun Saifullah kerana keberanian dan kebijaksanaannya di medan pertempuran.

 

Perang Yamamah,632M

Perang ini melibatkan pasukan kelolaan Khalid bin al-Walid di bawah arahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dengan pasukan Musailmah al-Khazzab. Musailamah mendakwa bahawa beliau adalah nabi yang diutuskan Allah  bersama-sama Rasullulah saw. Beliau yang mempunyai kehebatan sihir telah berjaya memikat kabilah bani Hunaifah.

Strategi Khalid-Membahagi pasukan mengikut suku kaum

Pada mula, tentera Muslim pimpinan Khalid al-Walid berjaya mengasak tentera Musailamah sehingga memaksa Musailamah berundur dan bertahan. Bani Hunaifah yang dipimpin Musailamah terkenal dengan semangat juang dan kepahlawanannya telah mengasak kembali tentera Muslim dengan tentera Musailamah daripada sisi menyerang jantung pasukan Muslim. Akibatnya, ramai tentera muslim syahid dan ramai di antara mereka adalah hafiz(penghafal al-Quran).

Khalid segera mengarahkan mereka berundur dan beliau mula menyusun kembali formasi. Beliau merasakan beliau membuat kesalahan formasi dengan mencampur-adukkan pelbagai suku kaum dalam satu pasukan. Dengan itu, beliau terus menyusun kembali formasi dengan mengasingkan pasukan mengikut suku kaum. Seorang ketua dilantik menjadi ketua unit.

Strategi Khalid ternyata berhasil apabila moral pasukan terus naik mendadak. Tentera Muslim menyerang kembali tentera murtad Musailamah sehingga mengasak mereka ke sebuah kubu yang dinamakan Taman Maut kerana ramainya tentera di kedua belah pihak meninggal di sini termasuklah Musailamah.

 

 

Perang Berantai,April 633M

Juga dikenali dengan Perang Salassil melibatkan Pasukan tentera pimpinan Khalid al-Walid menentang Tentera Sassanid Parsi pimpinan Hormuz. Hormuz gugur di medan perang selepas Khalid membunuhnya dalam pertarungan dual.

Strategi Khalid-Perdayakan musuh sehingga kepenatan

Tentera Sassanid Parsi adalah antara tentera yang terkuat di dunia ketika itu. Tentera mereka memiliki pelbagai alatan perang dan kekuatan jumlah tentera yang ramai. Namun kelemahan tentera Sassanid adalah tentera berkuda dan infantri mereka yang berat. Kebanyakkan tentera mereka dilengkapi dengan baju zirah gangsa dan besi dan oleh sebab itulah, pergerakan mereka agak terbantas. Jadi, ia telah memberi kelebihan kepada tentera muslim yang lebih ringan dan pantas.

Strategi kali ini, Khalid sekali lagi memperdayakan pasukan pimpinan Hormuz itu. Untuk pengetahuan anda, kem Hormuz berada di Uballa. Untuk ke Uballa, terdapat DUA jalan untuk ke sana iaitu jalan Kazima dan jalan Hufeir. Hormuz terpedaya dengan helah Khalid kerana beliau beranggapan Khalid akan melalui jalan Kazima kerana ketika itu Khalid dari Yamamah(laluan Kazima lebih dekat dengan Yamamah).

Namun, Khalid telah melalui jalan Hufeir. Ketika itu, Khalid telah berada hampir 21km daripada kem Uballa. Namun, Khalid tidak menyerangnya. Khalid lantas ke jalan Kazima sebaik sahaja pasukan Hormuz hampir sampai. Melihat tiada tentera Muslim, perisik dihantar. Perisik melaporkan Khalid telah berada di Kazima. Lantas, Hormuz bergerak kembali dengan infantrinya yang berat ke sana kerana tidak mahu kehilangan Bandar Kazima ke tangan Muslim. Sesampai di sana, tentera Hormuz kelihatan sangat penat. Ini telah memberi peluang kepada Khalid untuk menyerang habis-habisan.

Namun tentangan Hormuz tetap kuat. Mereka merantaikan diri mereka menandakan mereka tidak akan lari walaupun kalah. Miskipun kelihatan kukuh, sebenarnya rantai inilah yang membelenggu mereka. Akhirnya tentera Sassanid pimpinan Hormuz tersungkur dengan pemimpin mereka sendiri gugur di tangan Khalid al-Walid.

 

Perang Sungai,April 633M

Sejurus selepas kemenangan dalam Perang Berantai, Perang Sungai seterusnya tiba. Di namakan Perang Sungai kerana perang ini berlaku tempat bernama Madhar berhampiran Sungai Eupharates. Komander bagi tentera Parsi Sassanid adalah Karinz ibn Karianz. Selain itu, panglima tentera yang terselamat di Perang Berantai iaitu Qubaz dan Anusjan telah bergabung dengan beliau. Beliau telah menyediakan beratus-ratus buah kapal di tepi sungai Euphrates bagi tujuan melarikan sekiranya tentera Muslim pimpinan Khalid al-Walid dapat menewaskan mereka. Khalid yang dapat sumber risikan yang bahawa Karinz akan ke Madhar, telah tiba awal di sana bagi tujuan persediaan ketenteraan.

Strategi Khalid- Pertarungan handicap antara Khalid dengan Karinz dan Maakal ibn al-Acha

Sebelum peperangan bermula, dengan sombongnya, Karinz mencabar Khalid untuk pertarungan dual. Khalid langsung tidak gentar dengan cabaran itu, menerimanya. Walaubagaimanapun, seorang lagi panglima unit Sassanid iaitu Maakal ibn al-Acha mencabar Khalid. Khalid turut menerima cabarannya. Dengan itu, berlakulah pertarungan handicap antara Khalid dan panglima-panglima Sassanid itu. Namun, kegagahan mereka belum cukup untuk menandingi Khalid, kedua-duanya tersungkur menyembah bumi. Ini terus menaikkan moral pasukan Muslim dan seterusnya meruntuhkan psikologi pasukan Parsi Sassanid.

Bagi mengembalikan moral pasukan, Qubaz dan Anusjan telah mara mencabar panglima muslim. Kemudian, tampil panglima yang setaraf Khalid iaitu Assim ibn Amr dan Addi bin Hatim. Mereka berjaya membunuh kedua-dua panglima Sassanid itu dalam pertarungan dual. Kemenangan mereka telah memudahkan tentera Muslim memenangi peperangan.

 

Perang Walaja,Mei 633M

Perang pertama di antara tiga perang di bulan Mei. Selain perang Walaja, Perang Ullais dan Perang Hirah juga berlaku di bulan Mei. Perang ini berlaku di tempat bernama Walaja,Mesopotamia(Iraq sekarang). Perang ini antara tentera Muslim pimpinan Khalid menentang tentera Sassanid pimpinan Andarzaghar.

Strategi Khalid- taktik pergerakan apit(pincer movement)

Pincer movement atau pergerakan apit yang digunakan Khalid dalam peperangan Walaja menunjukkan Khalid adalah komander yang bijaksana. Bukan mudah untuk melaksanakan pergerakan sedemikian rupa tambahan pula bilangan tentera Sassanid adalah besar berbanding tentera Khalid sendiri.

Sebelum peperangan bermula, Khalid telah awal-awal mengarahkan Suwaid bin Muqarrin untuk mengawal bahagian luar kawasan Walaja bagi mengelakkan kemasukkan tentera bantuan.

Setelah itu, Khalid mengarahkan tentera berkudanya yang pantas berada di belakang rabung membelakangi tentera Sassanid. Tentera berkuda ini dipecahkan Khalid kepada dua bahagian yang setiap satunya berjumlah 2000.

Khalid sendiri memimpin tentera berkuda yang berada di kalangan infantri. Manakala tentera berkuda di bahagian kedua-dua sayap di bawah pimpinan panglima Assim ibn Amr dan Addi bin Hatim.

Khalid memperdayakan musuh supaya mengasak bagi membolehkan musuh bergerak lebih luas di kawasan lapang Walaja. Selepas melihat musuh sudah berada di tempat lapang, Khalid memberi lampu hijau kepada tentera berkudanya di belakang rabung untuk membuat pincer movement. Dengan itu, musuh terperangkap di dalam bulatan yang dibuat oleh tentera muslim. Dikatakan lebih 20,000 daripada 25,000 orang tentera Sassanid mati akibat keberkesanan strategi yang dilaksanakan Khalid.

Strategi yang dilaksanakan Khalid dalam Perang Walaja turut digunakan terlebih dahulu oleh panglima Hannibal of Carthage dalam Perang Punic II pada 216BC. Namun, Khalid adalah antara segelintir panglima yang mampu melaksanakan pergerakan sukar ini selepas Hannibal.

 

Perang Yarmouk,15-20 Ogos 636M

Perang Yarmouk juga dikenali dengan Perang Hieromyax atau Battle of Hieromyax oleh cendiakiawan barat. Perang Yarmouk dikenang sebagai antara perang bersejarah di dunia kerana perang ini bukan sahaja menandakan kemerosotan empayar Byzantine di tanah Arab tetapi menunjukkan angkatan tentera yang besar tidak sepertinya akan memenangi peperangan. Ini sememangnya terbukti dalam Perang Yarmouk di mana tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid hanya mempunyai kekuatan sekitar 30,000-40,000 manakala tentera Rom Byzantine pimpinan Theodore Trithyrius dan Vahan dengan kekuatan sehingga 240,000. Peperangan ini berlangsung sehingga 6 hari. Dalam peperangan ini, keperwiraan dan kegeniusan Khalid bin al-Walid tersebar ke seluruh tanah Arab.

Strategi Khalid- Perang 6 hari dengan pelbagai corak taktik

Selaku komander pasukan, Khalid sedar bahawa pasukannya tidak akan mudah memenangi peperangan dalam masa sehari atau dua hari memandangkan pasukan musuh mempunyai kekuatan melebihi 10 kali ganda. Oleh itu, Khalid dan panglima-panglimanya, Abu Ubaydah ibn Jarrah, Amr ibn Ash, Shurahbil al-Hassana, dan Yazid ibn Sufian bersepakat melengahkan musuh-musuh bagi membuatkan mereka kepenatan.

Hari pertama – hari keempat:

Tentera infantri Muslim diatur oleh Khalid memanjang sejauh 18km bagi menghadapi tentangan musuh. Formasi yang dilakukan Khalid mirip formasi tentera Hoplite iaitu Phalax. Skuad berkuda di tempat paling belakang bagi menyokong tentera infantri di hadapan. Dengan keyakinan bahawa mereka mampu menewaskan tentera pimpinan Khalid dalam masa sehari, tentera pimpinan Theodore Trithyrius dan Vahan serta panglima-panglima sekutu menyerang habis-habisan ke jantung pasukan Muslim. Namun, ia tidak mampu memecah-belahkan pasukan Muslim. Pasukan berkuda musuh pula langsung tidak berfungsi sebagaimana tentera berkuda Muslim yang sentiasa bergerak ke sayap kiri dan sayap kanan infantri. Itulah kelemahan ketara pasukan Rom Byzantine yang berjaya dimanfaatkan oleh Khalid. Tentera Muslim akan memulakan serangan minor menjelang tengahari dan petang. Pertempuran sedemikian rupa berlarutan sehingga hari keempat pertempuran.

Terdapat cerita hebat disebalik pertempuran hari pertama Perang Yarmouk. Seorang panglima pasukan Rom Byzantine mencabar Khalid untuk pertempuran dual. Khalid bersetuju dengan cabaran itu. Diriwayatkan nama panglima itu adalah George atau Georgius. Maka terjadilah perdebatan di antara kedua-dua panglima besar ini. Perbualan mereka langsung tidak didengar oleh kedua-dua pasukan dek kerana bising bunyi ketukan besi dan pekikan. Masing-masing bertanya apakah yang dibual oleh kedua-duanya. Tentera Muslim terkejut apabila panglima bernama George itu bergerak bersama-sama Khalid memasuki khemah tentera Muslim. Rupa-rupanya George telah menerima seruan syahadah daripada Khalid. Kemudian George mendirikan solat sunat bersama-sama Khalid dan seusai solat, beliau berjuang di sisi Khalid sehingga syahid.

Hari ke-lima:

Tentera Rom Byzantine cuba untuk berdamai dengan melakukan gencatan senjata namun gagal.

Hari ke-enam:

Sedar tentera Romawi mula hilang motivasi, Khalid mengarahkan tenteranya melakukan serang major ke arah jantung tentera Romawi. Khalid pula mengetuai serangan di bahagian sayap dengan melakukan serangan pantas bagi mengejutkan musuh. Serangan seperti ini biasa dipratikkan oleh Alexander the Great yang terkenal dengan kekuatan tentera berkudanya, Hetairoi. Dalam serangan hari terakhir ini, Theodore Trithyrius dan Vahan tersungkur di medan perang.

 

Penutup

Tidak salah dikatakan bahawa Khalid adalah salah seorang tokoh genius dunia peperangan. Malah beliau berada di tahap yang tersendiri dek kerana sering membawa kemenangan dalam peperangan yang dipimpinnya. Malah, jika dicabar untuk pertempuran dual, beliau juga berjaya mengalahkan musuh. Dengan ketinggian dan badan yang sasa sepertimana sepupunya Umar al-Khattab, Khalid mampu mengalahkan siapa sahaja yang mencabarnya. Kemahiran berkuda dan kelancaran permainan pedangnya mengerunkan setiap musuh-musuhnya. Maka tidak hairanlah apabila, Hormuz(panglima Perang Berantai),Abdul Aswad(penglima perang Ullais), Salma(panglima Perang Zafar) dan Karinz bin Karianz(panglima Perang Sungai) maut di tangannya.

Khalid boleh dikatakan berada sebaris dengan Subutai, Alexander the Great, Julius Caesar dan Hannibal of Carthage. Malah kemungkinan lebih genius daripada panglima-panglima itu tambah-tambah dengan moral dan budi pekerti yang mulia. Dalam satu peristiwa akibat pemecatan beliau sebagai panglima oleh Umar ra, beliau langsung tidak memberontak malah berkata kepada sahabatnya yang bertanya tentang perasaannya;

Aku berperang bukan kerana Umar

Bergitulah tingginya budi perkerti insan yang diberi jolokan Pedang Allah ini.

Dalam satu riwayat menceritakan bagaimana Khalid berasa sungguh sedih apabila melihat beliau akhirnya akan meninggal dunia di atas katil. Diceritakan lagi bahawa di tubuh Khalid tiada satu pun yang kosong kecuali hirisan pedang,tusukan panah dan tombak dan luka-luka perang yang lain. Cuma wajah beliau Allah peliharakan daripada luka-luka perang. Khalid ibn al-Walid meninggal dunia pada usia menjangkaui 50 tahun pada 642M.

 

 

About these ads

Tags: ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

3 responses to “Khalid bin al-Walid, Pakar Strategi Perang!”

  1. hairi says :

    Wow. Hebat!!

  2. farhaniza says :

    assalamualaikum..semua data ni dr sumber mana ye…

Trackbacks / Pingbacks

  1. (Video) Hukum Hudud di Madinah.. « Takusahrisau's Blog! - April 9, 2012

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 848 other followers

%d bloggers like this: