Lagenda dan Mitos Kisah ‘Pembuangan/Pembunuhan Bayi’


Oleh: takusahrisau

Sejak kebelakangan ini, kes buang bayi semakin menjadi-jadi di Malaysia. Saban hari dikejutkan dengan penemuaan bayi yang dibuang di tong sampah, masjid dan surau. Malah yang lebih memeritkan apabila banyak di antara penemuaan bayi yang dibuang adalah sekujur mayat yang kaku. Hati mana yang boleh tahan apabila melihat manusia berperlakuan bak binatang. Binatang pun pandai menjaga anak-anaknya.

Baru-baru ini, Kerajaan melaungkan nada tegasnya dengan mengarahkan persalah yang membuang bayi wajib dibicarakan di bawah Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan yang boleh membawa gantung sampai mati jika sabit bersalah. Sebelum ini, ‘binatang-binatang’ ini hanya dibicara di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang mana jika sabit bersalah akan dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda maksimum sebanyak RM20,000.00 atau kedua-duanya sekali. Apa yang boleh pembaca rasakan, hukuman gantung adalah memang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Ini berdasarkan firman Allah swt:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”. 

Apapun, sebenarnya bukan ini yang penulis mahu tulis untuk entry kali ini. Penulis ingin pembaca semua bersama-sama penulis menyelongkari kisah-kisah mengenai lagenda ‘pembuangan bayi’. Jom sama-sama..

Lagenda Remus dan Romulus- Pengasas Rom

Ramai tidak mengetahui bahawa siapakah sebenarnya pengasas tamadun Rom. Sebenarnya pengasas Tamadun Rom adalah seorang lelaki bernama Romulus. Diriwayatkan bahawa Romulus  mempunyai seorang saudara kembar bernama Remus. Romulus dan Remus adalah anak kepada Rhea Silvia,seorang paderi wanita dan Tuhan Perang, Mars. Dengan itu, Romulus dan Remus adalah separa dewa atau lebih dikenali sebagai demigod. Namun, kelahiran Romulus dan Remus tidak direstui oleh bapa saudaranya dan ia telah memaksa ibunya untuk membuang bayi kembarnya itu ke dalam sungai.

Tetapi, kedua-dua ini diselamatkan oleh seekor serigala betina. Serigala betina inilah yang bertanggungjawab membesarkan Romulus dan Remus sehingga dewasa. Bagi mengingati mitos ini, simbol serigala yang menyusukan bayi diabadikan dalam bendera Bandar Rom.

Jata Kelab AS Roma juga tertera simbol serigala menyusukan kembar Remus dan Romulus.

Apabila semakin meningkat dewasa, nafsu untuk berkuasa semakin berleluasa dalam diri kedua-dua kembar ini. Akhirnya Remus dibunuh oleh Romulus dalam saingan untuk mengasaskan sebuah negara kota bernama Rom.!

Serigala menyusukan Remus dan Romulus.

 

Mitos Perseus-Sang Pembunuh Medusa

Seorang lagi watak demigod dalam mitos dunia barat. Perseus adalah watak popular dalam tamadun Yunani. Ini adalah kerana beliau adalah manusia pertama yang membunuh banyak raksasa mitos Yunani terutamanya mitos pembunuhan Medusa. Medusa adalah seekor raksasa berupa seorang wanita yang berambut ular. Kekuatan Medusa yang utama adalah berkebolehan menukarkan sesiapa yang melihat matanya kepada batu.

Diriwayatkan bahawa Perseus dilahirkan melalui Dewa Zeus yang menghamilkan Danea,puteri Raja Akrisios tanpa kerelaan.Ketika Danea diperkosa, Danea sebenarnya berada dalam kurungan kerana Raja Akrisios bermimpi bahawa beliau akan dibunuh oleh cucunya sendiri yang bakal dilahirkan oleh Danea.

Berang dengan tindakan Dewa Zeus, Raja Akrisios telah membunuh puterinya itu dan meletakkan bayi yang baru dilahirkan iaitu Perseus ke dalam keranda bersama-sam ibunya. Keranda itu kemudian dibuang ke laut dan akhirnya dijumpai oleh seorang nelayan. Perseus kemudian dibesarkan olehnya dan kemudian membesar menjadi seorang pahlawan.

Perseus memenggal kepala Medusa yang dipenggal.

 

Moses- Pembawa ajaran Taurat

Moses atau Nabi Musa as adalah watak utama dalam tiga agama langit iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Moses adalah pengasas kepada agama Judaism ataupun agama Yahudi. Daripada Moses, diturunkan kitab Taurat padanya yang kemudian menjadi pegangan kepada penganut agama Judaism. Kitab Taurat merupakan satu daripada empat kitab yang wajib dipercayai oleh orang Islam.

Diriwayatkan bahawa Moses dilahirkan pada waktu yang tegang di mana Firaun Mesir ketika itu ingin membunuh setiap bayi warga Israel yang baru dilahirkan. Ini adalah kerana Firaun yang zalim ini mempercayai mimpinya yang mana mengkhabarkan bahawa seorang bayi daripada Bani Israel akan bangun menentangnya.

Ibu Moses iaitu Yukabab binti Qahat (Jochabed) telah menghayutkan Moses ke dalam sungai Nil ketika Moses berumur 3 bulan. Moses akhirnya tersangkut ke dalam tempat mandian isteri Firaun iaitu Asiah. Tertarik dengan kecomelan bayi itu, Asiah mengambilnya sebagai anak angkat dan membesarkannya.

Kemudian apabila dewasa, Moses mula sedar tentang kezaliman dan kejahilan Firaun laknatullah itu. Beliau bangkit menentang Firaun dengan menyeru beliau untuk mengikut agama Allah. Akan tetapi, Firaun engkar dan menyebabkan Moses dan beribu-ribu Bani Israel dihambat oleh tentera Firaun ke segenap ceruk Mesir. Akhirnya, Moses dan pengikutnya berjaya merentasi Laut Merah bagi mengelak daripada terus diburu oleh Firaun dan tentera-tenteranya.

Kotak yang membawa Moses tersangkut di dalam tempat mandian isteri Firaun.

Ciung Wanara- Dari Sungai Citanduy ke Tampuk Pemerintahan

Ciung Wanara adalah nama lain bagi Sang Manarah dan Prabu Suratama, atau Prabu Jayaprakasa Mandaleswara Salakabuwana. Dipercayai beliau memerintah Galuh tahun 739 – 783 Masehi. Galuh adalah pecahan daripada Kerajaan Sunda semenjak kejatuhan Kerajaan Tarumanagara. Pada masa sekarang, Kerajaan Galoh berada di Kota Kawali, Kabupaten Ciamis.

Diriwayatkan secara turun-temurun bahawa Ciung Wanara adalah anak kepada Prabu Adimulya Permanadikusuma. Namun, Prabu Adimulya Permanadikusuma meninggal dunia sebelum Ciung Wanara dilahirkan akibat dibunuh oleh Tamperan. Ibu Ciung Wanara adalah isteri pertama kepada Prabu Adimulya Permanadikusuma iaitu Dewi Pohaci Naganingrum.

Ditakdirkan bahawa isteri kedua Prabu Adimulya Permanadikusuma iaitu Dewi Pangrenyep juga turut mengandung ketika Dewi Pohaci Naganingrum mengandung. Namun isteri kedua Prabu melahirkan bayinya terlebih dahulu dan diberi nama Harian Banga manakala isteri pertama Prabu yang bakal melahirkan Ciung Wanara hanya  melahirkan beliau setelah kandungan berusia 12 bulan.

Ketika saat hendak melahirkan Ciung Wanara, Dewi Pangrenyep membantu Dewi Pohaci Naganingrum. Akan tetapi, ia hanyalah tipu muslihat isteri kedua Prabu kerana beliau ingin menggantikan bayi yang akan dilahirkan oleh Dewi Pohaci Naganingrum dengan seekor anjing. Beliau berhasil melakukan tindakan terkutuk itu. Beliau membuang bayi iaitu Ciung Wanara ke dalam Sungai Citanduy dalam Kandaga(kota kecil berhias) bersama-sama sebiji telur.

Namun, bayi malang ini diselamatkan oleh pasangan nelayan, Aki & Nini Blangantran. Bayi ini membesar menjadi seorang yang gagah perkasa manakala telur yang bersama-sama dengannya turut menetas menjadi ayam laga yang hebat. Dengan ayam laga inilah beliau berjaya menemui semula asal-usulnya dan seterusnya merebut takhta daripada adik tirinya.

Tempat yang dipercayai makam Ciung Wanara di Bogor,Indonesia.

 

Bayi Sparta- Dilahirkan hanya untuk menjadi Pahlawan Sparta

Sparta Purba sangat mementingkan kekuatan ketenteraan berbanding ilmu pengetahuan sepertimana jirannya, Athen. Sparta menitik-beratkan rakyatnya yang lelaki supaya menjadi tentera. Kerahan tenaga untuk menjadi tentera Sparta diwajibkan bagi setiap warganya. Diriwayatkan bahawa jika terdapat sebarang kelahiran baru di Sparta, maka akan datang wakil tentera Sparta ke rumah itu untuk memeriksa kesihatan bayi. Sekiranya bayi itu sihat walafiat, maka bayi itu akan diwajibkan memasuki akademi latihan ketenteraan seawal usia 7 tahun. Namun, bagi bayi yang cacat dan berpenyakit, bayi itu akan dibiarkan mati di lereng bukit di Sparta atau dilatih untuk menjadi hamba sahaya(Helot).

Tentera Sparta adalah antara tentera terkuat satu ketika dahulu.

About these ads

Tags: , ,

About takusahrisau

Hakikatnya,manusia adalah sama namun yang membezakan adalah niat.. Apabila niat berbeza..maka berbezalah sifat manusia itu.. Rasulullah saw pernah bersabda yang membawa maksud; "Segala sesuatu amalan bermula dengan niat" Maka niat penulis di sini tidak lebih hanya untuk berkongsi ilmu.. Harapan penulis agar curahan ilmu penulis di sini akan mendapat manfaat untuk anda semua miskipun ia sekelumit sahaja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 855 other followers

%d bloggers like this: